ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


PERANAN ASMA’ DALAM PERISTIWA HIJRAH














PERANAN ASMA’ DALAM PERISTIWA HIJRAH :
RELEVANNYA DENGAN PERJUANGAN MUSLIMAH MASA KINI


Peristiwa Hijrah


Peristiwa Hijrah adalah satu titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam secara amnya dan khususnya ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alihi wa Sallam. Nama-nama seperti Abu Bakar as-Siddiq, Ali dan Asma’ begitu sinonim dengan peristiwa Hijrah. Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam peristiwa agung ini.

Perisitwa Hijrah juga boleh dikatakan sebagai klimaks kepada penentangan Kuffar Quraisy terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alihi wa Sallam di mana bukan lagi penderaan fizikal yang difokuskan malah lebih hebat dari itu iaitu nyawa baginda Rasulullah yang menjadi taruhan mereka. Pemuka Quraisy telah berkumpul di Daar an-Nadwah pada hari yang dikenali sebagai Hari Az-Zahmah untuk bermesyuarat sesama mereka bagaimana cara yang paling baik untuk menghalang Rasulullah dan mematahkan pengikut-pengikut Rasulullah yang semakin ramai bilangannya.  Iblis laknatullah telah menyertai mesyuarat tersebut dan menyamar menjadi seorang tua yang terhormat dan meminta agar nasihat dan pandangannya diikuti.  Dua usulan telah ditolak iaitu untuk memenjarakan Rasulullah dan membuang negeri.  Usulan ketiga dari Abu Jahal disambut baik oleh Iblis yang menyamar tadi iaitu usulan agar Rasulullah dihabiskan riwayatnya. Setelah itu mereka semua bersurai dan sepakat untuk mengadakan perancangan untuk membunuh Rasulullah.

Setelah itu beberapa orang pemuda Quraisy yang telah dipilih pergi ke rumah Rasulullah bertujuan untuk mengepung baginda dan membunuhnya sebaik sahaja baginda keluar dari rumah.  Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah dan berkata kepada baginda Rasul agar jangan tidur di perbaringan yang biasa baginda beradu.  Rasulullah tahu bahawa di luar rumahnya ada pemuda-pemuda Quraisy bersama Abu Jahal yang sedang mengintip baginda.  Baginda kemudian memerintahkan Ali agar tidur di peraduan baginda dan mengenakan selimut yang biasa baginda gunakan ketika tidur.  Pemuda-pemuda Quraisy masih berada di luar rumah Rasulullah dan menunggu saatnya Rasulullah keluar dari rumah agar mereka dapat memenggal kepala Rasulullah.  Dengan izin Allah jua, Rasulullah keluar dari rumah baginda, dengan mengambil segenggam tanah dan menaburkan ke atas kepala pemuda-pemuda Quraisy bersama-sama Abu Jahal yang sedang menunggu untuk membunuh baginda.  Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala telah menutup mata mereka sehingga mereka tidak sedar Rasulullah telah keluar dari rumahnya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah membaca surah Yaa Siin ayat 1-9 sambil menaburkan tanah di atas kepala mereka.  Mereka semua berada dalam keadaan tidak sedar sehingga datang seorang lagi pemuda dan bertanya kepada mereka apa yang sedang mereka tunggu?  Mereka menjawab bahawa mereka menunggu Muhammad.  Orang muda itu berkata lagi bahawa Muhammad telah keluar dari rumahnya dan menaburkan tanah di atas kepala mereka.  Mereka tidak percaya dan setiap mereka meletakkan tangan ke atas kepala untuk kepastian, ada tanah di atas kepala masing-masing.  Mereka masih tidak percaya Muhammad telah keluar, mereka menyangkakan Muhammad masih di perbaringan walhal Ali yang telah menggantikan baginda Rasulullah.  Setelah melihat dengan pasti bahawa di perbaringan itu adalah Ali dan bukannya Muhammad, barulah mereka percaya kata-kata pemuda tadi.

Allah Subhanahu wa Taala telah merakamkan peristiwa ini dalam firmanNya dalam surah Al-Anfal ayat ke 30: “Dan ingatlah ketika orang-orang kafir memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu.  Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya”







Rasulullah berada di Gua Tsur


Ketika Rasulullah memutuskan keluar dari Mekah dan hijrah ke Madinah beliau pergi ke rumah Abu Bakar bin Abu Quhafah, kemudian kedua-dua sahabat ini keluar dari pintu rahsia rumah Abu Bakar.  Mereka bergerak menuju Gua Tsur dan mendiami gua tersebut.  Mereka tiba di gua tersebut di malam hari dan Abu Bakar terlebih dahulu memasuki gua untuk memastikan tidak ada binatang buas di dalam gua tersebut.  Perkara ini dilakukan oleh Abu Bakar untuk menjamin keselamatan Rasulullah.  Untuk mendapatkan maklumat tentang perancangan Kuffar Quraisy seterusnya ke atas Rasulullah, Abu Bakar telah mengarahkan anaknya Abdullah bin Abu Bakar untuk mendengar perbualan mereka dan memerintahkan mantan budaknya (bekas hamba) untuk mengembala kambing di sekitar Gua Tsur, agar jejak mereka tidak dapat dikesan oleh Kuffar Quraisy.  Manakala anak perempuannya, Asma’ telah ditugaskan untuk menghantar bekalan makanan kepada dirinya dan Rasulullah yang sedang bersembunyi di dalam gua.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari.  Ketika orang-orang Quraisy kehilangan Rasulullah, mereka  telah menawarkan imbuhan yang lumayan kepada sesiapa yang mengetahui di mana tempat persembunyian Rasulullah dengan menawarkan seratus ekor unta.







Asma’ dan peranannya dalam peristiwa Hijrah


Kuffar Quraisy terus menjejaki dan mencari tempat persembunyian Rasulullah, setelah tiga hari berlalu, mereka masih tidak berjaya menemukannya. Mereka tidak lagi bercakap-cakap tentang perancangan mereka ke atas Rasulullah. Walaupun Kuffar Quraisy telah menghentikan pencarian mereka, keadaan masih cemas dan langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk melindungi perjalanan hijrah Rasul ke Madinah.  Tiba masanya Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari persembunyian dan memulakan perjalanan menuju ke Madinah.  Dengan langkah yang penuh berhati-hati, Asma’ perlu memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahandanya dan baginda Rasulullah, pada masa yang sama jejaknya mesti dihapuskan agar tidak dapat dijejaki oleh Kuffar Quraisy.  Asma’ telah membawa bekalan makanan dan pada masa yang sama mengembala kambing di belakangnya. Dengan cara ini jejaknya akan terhapus oleh jejak-jejak kambing yang digembalanya.

Dengan tabah dan penuh keberanian Asma’ telah menjalankan satu misi yang besar, di saat nyawa baginda Rasulullah diancam oleh Kuffar Quraisy, Asma’ perlu memastikan langkahnya tidak dapat dikesan oleh kaum Kuffar yang ingin membunuh Rasulullah.  Asma’ berjaya membawa bekalan makanan untuk hijrah Rasulullah dan ayahandanya, namun terlupa untuk membawa tali pengikat makanan tersebut.  Mungkin juga keadaan cemas membuatkan beliau terlupa akan ikatan makanan.  Dengan kecerdasan akalnya, beliau telah membelah dua tali ikat pinggangnya dan digunakan untuk mengikat makanan bekalan.  Asma’ telah diberi gelaran Dzatu An-Nithaqaini (wanita yang memiliki dua tali pinggang) berikutan peristiwa tersebut dan Rasulullah telah mendoakan semoga beliau diberi ganti dengan tali pinggang yang lebih baik di syurga kelak.

Setelah Rasulullah dan Abu bakar berangkat ke Madinah, Asma’ pulang ke rumah.  Sekembalinya Asma’ ke rumah, beliau telah didatangi oleh Abu Jahal dan beberapa Kuffar Quraisy yang lain, mereka bertanyakan kepada Asma’ di mana ayahnya, Abu Bakar berada. Dengan tenang Asma’ menjawab, “Demi Allah aku tidak tahu ke mana ayahku pergi”. Abu Jahal berasa tidak puas hati dan sangat marah, dia menampar pipi Asma’ sehingga anting-anting yang dipakai di telinganya tercabut dek tamparan tersebut.  Setelah itu, mereka berlalu pergi. Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq, sesungguhnya Asma’ tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah pada satu hari datang seorang penyair mendendangkan dalam bait-bait syairnya yang mengisyaratkan tentang penghijrahan Rasulullah bersama Abu Bakar dan bekas hambanya serta seorang si penunjuk jalan. Dari bait-bait syairnya barulah Asma’ tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah. Bayangkan anak-anak pada hari ini yang tidak mengetahui kemanakah gerangan ayahandanya atau diluar pemantauan ibu-bapa mereka, dapatkah mereka menjaga diri, maruah keluarga, agama?







Relevannya Peranan Asma’ dalam Dakwah Hari Ini


Setelah mengikuti secebis dari coretan rentetan peristiwa Hijrah Rasulullah yang penuh getir dan cabaran khususnya peranan seorang muslimah yang unggul dalam kisah ini iaitu Asma’ binti Abu Bakar, mungkin satu persoalan timbul di benak kita, apakah relevannya peranan Asma’ dalam kisah peristiwa Hijrah dengan peranan muslimah dalam misi dakwah masa kini?  Apakah bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh Asma’?  Untuk apakah Asma’ sanggup mempertaruhkan keselamatan dirinya, adakah semata-mata untuk bekalan makanan selamat sampai?  Atau untuk sesuatu yang jauh lebih besar dari itu?

Muslimah yang dirahmati Allah sekalian,

pengorbanan yang dilakukan oleh Asma’ ini bukanlah untuk ayahandanya atau untuk baginda Rasulullah samata-mata, malah pengorbanan ini adalah untuk Islam, Deen yang mulia yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Taala. Intipatinya di sini, Asma’ telah menyelamatkan Islam dari musuh-musuh Islam, dari orang-orang yang berniat untuk mengkhianati agama Allah.  Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam surah Muhammad ayat 7: “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”

Surah Muhammad adalah kumpulan surah-surah Madaniyah yang mana nuzulnya berlaku selepas peristiwa Hijrah. Dalam erti kata lain, Asma’ telah menolong agama Allah dengan sepenuh hati meskipun janji Allah dalam ayat ini belum dinuzulkan.  Begitulah hebatnya keimanan Saidatina Asma’, puteri kepada sahabat karib Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq.

Justeru, apakah peranan kita, generasi Muslimah masa kini, setelah lebih seribu empat ratus tahun ayat ini diturunkan? Apakah cukup hanya sekadar melagukan ayat-ayat Allah dengan penuh taranum syahdu tanpa memahami dan menghayati maksudnya?  Asma’ binti Abu Bakar merupakan orang yang ketujuh belas memeluk Islam, sekaligus meletakkan dirinya di barisan ikon-ikon pejuang Muslimah sejati. Peristiwa Hijrah sendiri telah menampakkan ciri-ciri ketegasan, kematangan, kecerdasan minda dan keberanian yang dimiliki oleh wanita beriman ini. Dari sini, sama-sama kita cermin diri sendiri, adakah kita memiliki sifat-sifat yang ada pada Asma’?

Satu kesalahfahaman yang besar jika kita mengatakan bahawa perjuangan seperti yang ditunjukkan Asma’ dalam peristiwa hijrah sudah tidak berlaku sekarang sehingga pengorbanan  Asma’ yang telah menunjukkan contoh bagaimana beliau membela agama Allah di hadapan Kuffar Quraisy menjadi satu sejarah untuk dijadikan bahan kajian semata-mata dan bukannya untuk dijadikan pencetus atau ‘trigger point’ untuk melakukan satu tindakan. Persoalan pokok di sini ialah adakah kita, generasi hari ini telah membuat yang sepatutnya untuk membela agama Allah? Adakah kita telah melaksanakan tugas dakwah yang difardhukan ke atas setiap umat Islam lelaki dan wanita semaksimanya? Apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan semula Deen yang mulia di atas muka bumi ini?







Peranan Muslimah dalam misi Dakwah Masa Kini


Musuh Islam ada di mana-mana, sama ada musuh itu terdiri daripada orang-orang bukan Islam atau musuh di kalangan yang mengaku Islam sendiri. Terserah kebijaksanaan seseorang individu untuk mengenalpasti musuh Islam. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120:“Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu (wahai Muhammad) sehinggalah kamu mengikuti jejak langkah mereka”

Dari ayat ini, jelas kepada kita musuh Islam yang nyata adalah dari kalangan Yahudi dan Nasrani, tidak dapat dipertikaikan lagi.  Berapa ramai pula dari kalangan orang-orang Islam sendiri yang menjadi boneka atau alat kepada Yahudi dan Nasrani dan mereka ini memusuhi saudara seIslam mereka, baik secara sedar mahupun tidak?  Paling ketara dalam kehidupan kita hari ini ialah kedudukan Islam sebagai “second class” di dalam masyarakat. Sistem yang ada pada hari ini telah mengangkat sistem Sekular-Kapitalis sebagai pegangan utama dalam hidup. Cara hidup sekular yang diajar oleh Kuffar penjajah kepada kita ialah memisahkan agama dari kehidupan, sedangkan ajaran Islam mengajar kita bahawa agama (Islam) adalah perkara yang perlu diletakkan di atas, bukannya perlu dipisahkan dari sistem-sistem kehidupan yang lain seperti ekonomi, perundangan, politik, pendidikan dan sosial. Semuanya perlu dibangunkan berdasarkan Islam dan bukan yang selain Islam.

Kesan dari sistem kapitalis sekular ini, lihatlah apa yang terjadi di dalam masyarakat hari ini?  Dari segenap aspek kehidupan pasti ada masalah yang timbul.  Justeru, peranan kita sebagai Muslimah amat penting dalam menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada kehidupan Islam secara keseluruhannya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan....”

Muslimah yang dirahmati Allah sekalian,

Tanyakan kepada diri kita, beranikah kita menggantikan sistem yang diperkenalkan oleh kaum Kuffar dalam kehidupan kita hari ini kepada sistem Islam yang syumul yang dibawa oleh Rasulullah? Kaum Kuffar telah melenyapkan perundangan Islam yang kita gunakan, mereka gantikan dengan perundangan sivil yang tidak menjanjikan peyelesaian jitu kepada permasalahan undang-undang yang kita hadapi. Kaum Kuffar telah menguburkan sistem ekonomi Islam yang kita amalkan, mereka menghidupkan sistem ekonomi kapitalis yang berteraskan riba, amalan yang haram di sisi Islam. Kaum Kuffar telah mengunci mati sistem pergaulan (sosial) yang diajar dalam Islam, mereka membuka sistem sosial berteraskan kebebasan yang tiada hadnya kepada muda-mudi Islam.  Kaum Kuffar telah menjauhkan umat Islam dari sistem politik Islam yang suci, mereka dekatkan, perkenalkan sistem politik kotor kepada pemimpin-pemimpin Islam, sehinggakan mereka (pemimpin) lebih mementingkan habuan dunia dari tanggungjawab kepimpinan yang ada di bahu mereka.

Inilah cabaran yang menanti Muslimah dalam misi dakwah hari ini untuk mengembalikan kalimah La ila ha ilallah di muka bumi ini. Roda Islam berada di bawah, masanya kita semua memainkan peranan untuk menempatkan semula Islam di kedudukannya yang haqq.  Jika Asma’ ditampar pipinya oleh Abu Jahal, hari ini kita juga akan ditempelak jika kita berusaha untuk membela agama Allah. Tugas kita bukan sekadar memberi peringatan atau tazkirah agama berupa pesanan dan nasihat, soal hukum hakam fiqh dan perbincangan sekitar persoalan ruhiyah sepertimana ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang dibenarkan muncul di kaca televisyen, malah tugas pendakwah adalah lebih besar dari itu, tugas pendakwah adalah untuk menegur pemerintah yang tidak melaksanakan sistem Islam, membongkar tipu daya sistem Kuffar yang ada pada hari ini dan menggantikan dengan sistem Islam secara keseluruhan. Memang berat kepada yang tidak sanggup melakukannya tetapi kepada yang redha dan yakin dengan janji Allah, peluang ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan mereka akan melaksanakan misi dakwah dengan segera, tanpa bertangguh. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133: “Dan bersegeralah kepada ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa...”







Khatimah


Muslimah yang dirahmati Allah,

Semoga kisah Asma’ di atas memberi inspirasi kepada kita akan peri pentingnya peranan setiap dari individu Muslimah untuk menolong agama Allah kerana natijah akhir adalah kewujudan Islam Kaffah sesuai dengan firman Allah Azza wa Jalla dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 ”Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan”. Selagi agama Allah tidak tertegak semula, selagi sistem Kuffar masih bermaharajalela, selagi itulah umat Islam akan hidup dilambung duka, hina dan tersiksa bukan sahaja di negara ini malah di belahan bumi yang lain. ”Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit” [TMQ Taha: 124]. Islam hanya akan kembali tertegak dengan adanya seorang pemimpin yang akan membela nasib setiap umat Islam, yang memerintah negara dengan sistem yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Walaubagaimanapun, kewujudan pemimpin yang akan menjadi perisai kepada umat Islam dan memerintah berdasarkan sistem khilafah di atas jalan kenabian sebagaimana hadis riwayat Ahmad "Kemudian akan kembali khilafah di atas jalan kenabian.." tidak akan berlaku dengan sekelip mata seperti magis tanpa peranan para Muslimah bersama-sama dengan para Muslimin untuk mengwujudkannya. Wallahu a’lam. 


0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR