ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


ISTILAH DAR AL-ISLAM



Untuk mengkaji "Negara Islam" sebagai wacana politik dan kenegaraan dalam perspektif Islam, maka perlu mengkaji beberapa persoalan penting yang berkenaan dengan sejarah penggunaan istilah "Negara Islam" dalam wacana pemikiran Islam. Dari sini, perlu dianalisis penggunaan istilah dawlah, dawlah Islamiyyah, al-khilafah, dar al-Islam dan bilad Islamiyyah, yang semuanya sering digunakan untuk menjelaskan maksud yang sama. Dengan demikian akan nampak perbezaan atau persamaan istilah berkenaan, serta ciri masing-masing wacana berkenaan sebagai sebuah hakikat. 

Tulisan ini berusaha menjelaskan hakikat "Negara Islam" yang sebenarnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Islam berdasarkan analisis penggunaan istilah, ketika ada pihak yang menuduh bahawa Islam tidak pernah menjelaskan tentang "Negara" kerana istilah berkenaan (dawlah) tidak ada dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, dan ketika ada pihak yang menggunakan istilah "Negara Islam" dengan gambaran yang bercanggah dengan Islam. 



Perkataan dawlah dalam bahasa Arab yang digunakan untuk menerjemahkan perkataan state dalam bahasa Inggeris belum pernah digunakan oleh orang Arab, khususnya pada zaman permulaan Islam, iaitu abad ke-1 H/ke-7 M. Ini dapat dibuktikan dalam al-Qur’an dan as-Sunnah, yang masing-masing tidak pernah menggunakan istilah tersebut dengan pengertian state. Al-Qur’an menggunakan perkataan: dulah dalam konteks mal (kekayaan), iaitu: Kay la yakuna dulatan bayn al-aghniya’ minkum (supaya kekayaan itu tidak bergilir-gilir di tangan orang-orang kaya di antara kamu). 

Ibn al-Manzur (w. 711 H/1211 M) yang menghimpun semua perkataan orang Arab asli (iqhah) dalam karya monumentalnya, Lisan al-’Arab, juga membuktikan, bahawa perkataan dawlah tidak pernah digunakan oleh orang Arab dengan pengertian state. Menurutnya, perkataan dawlah dan dulah bererti sama, iaitu al-’uqbah fi al-mal wa al-harb (pusingan kekayaan dan peperangan). Dawlah (jamaknya duwal) digunakan untuk "peperangan" yang bererti, salah satu kumpulan bergilir untuk menggantikan kumpulan yang lain. Sedangkan dulah (jamaknya dulat dan duwal) digunakan untuk "kekayaan" yang bererti, kekayaan tersebut digilirkan sekali untuk ini, dan sekali untuk yang lain.  

Terakhir perkataan dawlah dan dulah dikatakan sebagai dua perkataan yang berbeza maknanya (lughatan). Di antaranya ada yang bermakna al-idalah al-ghalabah (kemenangan). Adalana Allah min ‘aduwwina (Allah telah memenangkan kami dari musuh kami) adalah makna perkataan dawlah. 

Dengan demikian, dapat disimpulkan, bahawa perkataan dawlah dengan pengertian state tersebut sebenarnya merupakan perkataan yang diterjemahkan dari perkataan asing. Setelah mengkaji buku-buku rujukan klasik, perkataan state tersebut akan ditemukan dalam karya Plato dan muridnya, Aristotle. Plato mempunyai buku Republic (Republik) dan Statesman (Negarawan) yang memuat gagasan tentang state, sedangkan anak muridnya, Aristotle memuat gagasan tersebut dalam buku Politic. 

Akan tetapi, tidak jelas apabila perkataan dawlah dengan pengertian state tersebut diperkenalkan kepada kaum muslimin. Jika merujuk kepada orang yang mula-mula menggunakan perkataan state tersebut adalah Plato dan muridnya, maka tidak menutup kemungkinan perkataan tersebut diperkenalkan ketika buku-buku falsafah diterjemahkan pada zaman ‘Abbasiyyah. Dalam laporan an-Nadim (w. 380 H), buku Politic Plato telah diterjemahkan oleh Hunain bin Ishaq (w. 260 H). Ini bererti sekitar pertengahan abad ke-3 H, istilah berkenaan baru dikenali oleh kaum muslimin.  

Bukti yang lebih pasti berkenaan dengan penggunaan istilah tersebut dapat ditemukan dalam kitab Muqaddimah Ibn Khaldun yang ditulis pada tahun 779 H atau sekitar pertengahan abad ke-8 H. Sekalipun demikian, Ibn Khaldun telah mengasingkan pembahasan ad-dawlah (negara), al-mulk (kerajaan) dengan al-khilafah wa al-imamah. Pembahasan yang terakhir ini, beliau jadikan satu sub-pembahasan dengan tajuk: fi ma’na al-khilafah wa al-imamah. 

Sedangkan maksud perkataan tersebut dapat diterangkan mengikut penggunaan pencetusnya. Kerana perkataan tersebut mula-mula dipergunakan oleh ahli falsafah, maka dapat dikatakan bahawa lafaz (perkataan) ini merupakan haqiqah ‘urfiyyah khasah (kenyataan mengikut kebiasaan khas), yang merujuk kepada ahli falsafah.  

Dalam pandangan mereka, perkataan state diertikan dengan:  

1. Peringkat, tingkatan, kedudukan sesuatu, terutama dalam urutan dan          .....hirarki.
2. kualiti wujud dan atau kedudukan dalam kehidupan.  

Plato dan Aristotle tidak menakrifkan perkataan state (negara), kecuali menerangkan gagasan umum tentang sebuah negara yang mereka idam-idamkan. Plato menerangkan, bahawa negara lahir sebagai akibat dari perasaan manusia yang saling memerlukan (interdependency) dan pembahagian kerja secara sosial (social division of labour). Plato kemudian berangan-angan, bahawa negara yang baik adalah negara yang dipenuhi kebajikan, sementara negara yang dipenuhi kebajikan hanya negara yang dipimpin oleh orang yang baik. Kerana itu, menurutnya, ketua negara mestilah seorang raja yang baik (the Philosopher king). Sementara Aristotle berpendapat, bahawa negara merupakan organisme tubuh, dengan desa-desa yang terdiri dari keluarga-keluarga sebagai komponennya. Di samping itu, Aristotle menggambarkan, bahawa negara merupakan institusi politik yang paling berdaulat, yang bertujuan untuk mensejahterakan rakyatnya. 

Mungkin kerana perkataan state mempunyai ciri-ciri pembahagian kerja, kekuasaan politik yang berkuasa dan sebagainya, maka perkataan tersebut kemudian diterjemahkan dengan lafaz dawlah, yang mempunyai ciri-ciri al-uqbah (pergiliran) dan al-ghalabah (kemenangan atau kekuasaan), seperti yang dinyatakan di atas. Dengan demikian, perkataan dawlah (negara) tersebut bukan merupakan perkataan yang dinyatakan oleh nas, sama ada al-Qur’an dan as-Sunnah. Dan untuk menakrifkannya, tidak dapat menggunakan kedua nas tersebut, kecuali berpandukan pada realiti bahawa negara merupakan kumpulan manusia. Atau dengan lain perkataan untuk menakrifkannya, mestilah melihat realiti manusia dengan pelbagai ciri-cirinya. 

Manusia adalah makhluk yang diberi akal oleh Allah. Oleh kerana itu, ia mampu melahirkan dan memahami pemikiran. Pemikiran dalam diri manusia sangat penting, kerana pemikiranlah yang mengawal perasaan dan tingkah lakunya dalam kehidupan. Dari segi pemikiran, pemikiran manusia dapat dikelompokkan menurut fungsinya menjadi tiga jenis, iaitu: mafahim (pemahaman), maqayis (standard) dan qana’ah.  

Disebut mafahim kerana pemikiran berkenaan mempunyai realiti yang dapat dijangkau oleh pancaindera manusia, yang dibenarkan kerana tidak bercanggah dengan realitinya. Contohnya adalah pemikiran akidah, yang dibenarkan kerana realitinya dapat dijangkau oleh pancaindera manusia. Pemikiran ini berfungsi menjadi asas dalam membina standard perbuatan dan benda, tetapi tidak dapat dijadikan sebagai standard itu sendiri. Kerana itu, diperlukan pemikiran yang berfungsi sebagai standard untuk menentukan perbuatan dan benda, dan yang pasti ia bukan pemikiran akidah. Pemikiran ini disebut hukum, yang berfungsi sebagai miqyas (jamaknya maqayis), iaitu standard. Dalam Islam, ia berupa hukum halal-haram, sedangkan dalam Kapitalisme dan Sosialisme, ia berupa maslahat dan mudarat. Baik pemikiran akidah dan hukum syarak tidak akan mendorong orang yang memilikinya untuk berkorban demi mewujudkan dan mempertahankannya, sekiranya pemikiran tersebut tidak menjadi qana’ah, iaitu menjadi pemikiran yang diyakini dan diterima secara penuh, kerana dapat dibuktikan berdasarkan hujah-hujah yang logik. 

Di sudut lain, sekalipun kekuatan (al-ghalabah) atau kekuasaan (as-sultah) dijalankan oleh orang tertentu, tetapi yang pasti ia bukan berasal dari seorang, melainkan dari sekelompok orang yang semuanya tadi merupakan satu entiti atau struktur. Dengan kedua realiti ini, iaitu realiti manusia dan tabiat kekuasaan, maka perkataan dawlah (negara) dapat ditakrifkan sebagai:  

Entiti dan struktur (kiyan) pentadbiran yang berfungsi untuk menerapkan kumpulan pemahaman (mafahim), standard (maqayis) dan qana’ah yang diterima oleh umat.  

Oleh kerana ini merupakan takrifan tentang realiti sebuah negara, berdasarkan realiti negara sebagai entiti dan struktur kekuasaan serta kumpulan manusia yang mempunyai pemikiran, maka takrifan ini boleh digunakan secara umum untuk semua negara, sama ada negara Kapitalis, Sosialis ataupun Islam. Jika semuanya tadi dilihat berdasarkan realiti di atas, maka masing-masing mempunyai gambaran yang sama. Sedangkan sifat Kapitalis, Sosialis dan Islam baru wujud apabila pemahaman, standard dan qana’ah masing-masing negara tersebut adalah Kapitalis, Sosialis atau Islam. Berdasarkan perbezaan pemahaman, standard dan qana’ah inilah, maka identiti sesebuah negara dapat ditentukan. 

Dengan demikian dapat dikatakan, bahawa perkataan dawlah memang tidak dinyatakan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah, atau nas syarak. Akan tetapi, tidak bererti bahawa keterangan yang berkenaan dengan realiti tersebut tidak ada dalam Islam. Atau dengan lain perkataan, Islam tidak membahas realiti berkenaan, sebagaimana yang dituduhkan oleh Ali bin Abdurraziq (intelektual Mesir). Ini kerana tuduhan tersebut jelas bercanggah dengan nas al-Qur’an yang qat’i, bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Yang benar, realiti yang dimaksudkan oleh perkataan dawlah (negara) tersebut telah diterangkan oleh Islam, tetapi dengan menggunakan istilah yang unik, iaitu al-khilafah. 

Perkataan al-khilafah ini terdapat dalam hadith hasan riwayat al-Bazzar yang menyatakan: 

"Sesungguhnya permulaan (urusan) agama kamu adalah bermula dengan kenabian dan rahmat, kemudian akan ada khilafah dan rahmat, kemudian akan ada kerajaan dan kesengsaraan (jabariyyah)."  

Perkataan khilafah dalam hadith di atas menunjukkan sistem pemerintahan, yang merupakan pewaris pemerintahan kenabian.  

Ini juga diterangkan dalam hadith sahih riwayat Muslim yang menyatakan: 

"Dahulu Bani Israel dipimpin (dan diuruskan) oleh para nabi. Apabila para nabi itu telah wafat, mereka digantikan oleh nabi yang baru. Sedangkan setelahku, tidak ada lagi seorang nabi, dan akan ada khalifah yang banyak."  

Hadith yang kedua ini menerangkan, bahawa fasa pemerintahan yang pertama adalah fasa pemerintahan dengan sistem kenabian, tetapi setelah tidak ada lagi nabi yang diutus, sistem kenabian tersebut diteruskan oleh para khalifah (jamaknya khulafa’), iaitu orang yang menjawat jawatan pengerusi al-khilafah. Berdasarkan hadith di atas, juga dapat difahami, bahawa sistem yang diwariskan oleh Nabi saw. untuk menguruskan urusan umatnya adalah sistem al-khilafah, yang menjadi pewaris Nabi saw. dalam urusan pemerintahan, bukan dalam urusan kenabian. Ini kerana urusan kenabian adalah masalah pelantikan dari Allah, sedangkan urusan pemerintahan adalah masalah pelantikan dari manusia.  

Bahawa al-khilafah merupakan sistem pemerintahan yang diwariskan oleh Nabi saw. dapat dibuktikan melalui lafaz hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim di atas. Dalam hadith berkenaan disebutkan: Kanat bani Isra’il tasusuhum al-anbiya’ (dahulu Bani Israel dipimpin dan diuruskan oleh para nabi). Lafaz: tasusuhum al-anbiya’ (dipimpin dan diuruskan oleh para nabi) menunjukkan, bahawa para nabi tersebut memegang jawatan politik (siyasah), seperti yang dipegang oleh Nabi Dawud dan penerusnya, Sulaiman alyhima as-salam, ketika mereka bukan hanya menjadi Nabi, tetapi juga memegang jawatan pemerintahan. Apabila sampai pada Nabi Muhammad saw., baginda bersabda: Kullama halaka nabiyy khalafahu nabiyy wa innahu la nabiyya ba’di (Apabila para nabi itu telah wafat, mereka digantikan oleh nabi yang baru. Sedangkan setelahku, tidak ada lagi seorang nabi) yang dapat dipahami, bahawa Nabi saw. merupakan pengganti para nabi sebelumnya dalam urusan politik (siyasah) di samping pengganti dalam urusan kenabian. Ini sebagaimana yang ditunjukkan dalam sirah Nabi saw., mulai dari menubuhkan parti, mengambil kuasa untuk menerapkan Islam di Madinah, membuat perjanjian dengan pihak Yahudi, kafir Quraisy, melakukan siri peperangan dan sebagainya. Semuanya ini merupakan aktiviti politik, sementara aktiviti kenabian dinyatakan oleh al-Qur’an sebagai aktiviti tabligh (penyampaian risalah). 

Dengan demikian, dapat disimpulkan, bahawa realiti yang dimaksudkan oleh perkataan dawlah (bahasa Arab) atau state (bahasa Inggeris) tersebut dibahas oleh Islam dalam sebuah wacana yang unik, yang disebut oleh nas syarak dengan al-khilafah. Ibn Khaldun juga menggunakan perkataan dawlah Islamiyyah (negara Islam), iaitu perkataan dawlah (negara) yang disifatkan dengan Islamiyyah (Islam) untuk menyebut al-khilafah. Bahkan berkemungkinan Ibn Khaldun adalah sarjana Islam yang pertama menggunakan perkataan dawlah Islamiyyah untuk menyebut al-khilafah, sekalipun pada masa yang sama, beliau tetap menggunakan perkataan al-khilafah ini. 

Dalam konteks ini, Ibn Khaldun memberikan sifat Islamiyyah kepada perkataan dawlah, kerana perkataan tersebut bermakna umum, meliputi Islam dan bukan Islam. Ini kerana beliau membezakan antara siyasah ‘aqliyyah (politik dan pemerintahan akal) dengan siyasah syar’iyyah (politik dan pemerintahan syarak). Dikatakan siyasah ‘aqliyyah kerana kanun yang diterapkan oleh negara berkenaan bersumber dari akal dan tokoh-tokoh negara, dan dikatakan siyasah syar’iyyah kerana kanun yang diterapkan oleh negara bersumber dari syariat Allah. Negara yang pertama, beliau sebut al-mulk (kerajaan) atau dawlah (negara), sedangkan yang kedua beliau sebut al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah. 

Oleh kerana itu, perkataan dawlah Islamiyyah (negara Islam) hanya mempunyai satu makna, iaitu al-khilafah, sebagaimana maksud yang dikehendaki oleh sarjana yang pertama menggunakan perkataan ini. Jika logik Ibn Khaldun ini digunakan, bererti selain al-khilafah bukan negara Islam. Sedangkan apa yang berlaku pada hari ini, iaitu penggunaan perkataan "negara Islam" dengan makna selain al-khilafah merupakan suatu kekeliruan, sama ada kerana ketidaktahuan tentang makna perkataan dawlah Islamiyyah yang hanya dapat diertikan dengan al-khilafah, ataupun kerana berniat jahat untuk menipu umat Islam dan menyesatkan mereka dari realiti yang sebenar. 

Ini berkenaan dengan penggunaan istilah dawlah, dawlah Islamiyyah dan al-khilafah. 

Dalam konteks ini, ada perkataan lain yang digunakan oleh ahli fikah, yang juga perlu diterangkan maksudnya dengan tepat, iaitu dar al-Islam dan bilad al-Islam atau untuk yang kedua ini lebih tepat digunakan dengan sebutan bilad al-muslimin. Kedua perkataan tersebut sering digunakan untuk menyebut negara Islam, sehingga adakalanya tidak dibezakan dengan perkataan dawlah Islamiyyah atau al-khilafah.
 
Perkataan dar al-Islam sesungguhnya merujuk kepada nas syarak, iaitu as-Sunnah. Untuk menjelaskan maksud penggunaan perkataan ini, perlu diterangkan makna lafaz dar itu sendiri. Dari segi bahasa, lafaz dar bererti al-mawdi’ (tempat) dan al-qabilah (kabilah). Al-Qur’an menggunakan perkataan dar yang secara keseluruhan digunakan mengikut makna bahasa (al-haqiqah al-lughawiyyah), iaitu tempat. Begitu juga as-Sunnah, menggunakan perkataan dar, sebahagian dengan makna bahasa, iaitu tempat, kabilah dan sebahagian lagi dengan makna syarak (al-haqiqah as-syar’iyyah). 

Dar al-Islam iaitu lafaz dar yang disandarkan kepada al-Islam adalah perkataan yang mempunyai makna syarak (al-haqiqah as-syar’iyyah), sehingga dikenali dengan istilah syarak (istilah syar’i). Makna tersebut, sebagaimana yang dibahas oleh ahli fikah, dapat dikembalikan kepada nas as-Sunnah.  

Pertama, hadith riwayat an-Nasa’i yang menyatakan:  

"Dahulu Madinah adalah dar syirk (negeri kufur)."  

Kedua, hadith riwayat Muslim dari Sulaiman bin Buraidah, yang menyatakan: 

"Ajaklah mereka kepada Islam. Jika mereka memenuhi ajakanmu, terimalah mereka, dan cegahlah (tanganmu) untuk (memerangi) mereka. Kemudian ajaklah mereka untuk berhijrah daripada negeri mereka (negeri kufur) kepada negeri kaum Muhajirin (Madinah/negeri Islam), dan beritahukanlah kepada mereka, jika mereka melakukan perkara berkenaan, mereka berhak memperolehi hak dan kewajiban yang sama dengan kaum Muhajirin."  

Nas as-Sunnah yang pertama menerangkan, bahawa: "Dahulu Madinah adalah negeri atau wilayah kufur, tetapi sekarang tidak." Kenyataan Nabi saw. ini diungkapkan setelah Madinah menjadi dar al-Islam, yang sebelumnya berstatus sebagai dar al-syirk (negeri kufur), iaitu setelah wilayah (tempat) yang bernama Madinah itu di dalamnya diterapkan hukum Islam secara menyeluruh oleh Nabi saw. dengan baginda saw. dan kaum muslimin sebagai pemegang "keamanan" untuk urusan dalaman dan luaran. Di sinilah, rahsia perintah baginda kepada orang yang telah masuk Islam agar berhijrah ke negeri Muhajirin (Madinah) setelah ia menjadi dar al-Islam, dari negeri mereka (darihim), walhal mereka sudah memeluk Islam. Ini kerana hukum yang diterapkan di negeri mereka bukan hukum Islam, dan mereka yang memeluk Islam bukan sebagai pemegang "keamanan" di negeri mereka. 

Berdasarkan hadith di atas, ulama fikah menerangkan status dar al-Islam (negeri Islam) dan dar al-kufr (negeri kufur) dengan standard penerapan hukum Islam dan keamanan. Jika hukum Islam diterapkan dalam suatu wilayah (tempat) dan keamanan untuk melindungi rakyatnya baik dari gangguan dalaman mahupun luaran dipegang oleh kaum muslimin, maka ia disebut dar al-Islam (negeri Islam). Sebaliknya, jika hukum Islam tidak diterapkan, atau keamanannya bukan di tangan kaum muslimin, maka ia disebut dar al-kufr (negeri kufur). 

Dari sini dapat disimpulkan, bahawa perkataan dar al-Islam (negeri Islam) bererti bilad (negeri), wilayah atau daerah yang diterapkan hukum Islam, dan keamanannya di tangan kaum muslimin. Negeri, wilayah atau daerah ini tidak pernah wujud, tanpa adanya al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah. Dengan keterangan ini, dapat disimpulkan, bahawa dar al-Islam atau bilad al-Islam adalah negeri, wilayah atau daerah yang menjadi negeri, wilayah atau daerah al-khilafah. Dengan alasan ini, juga boleh dinyatakan, bahawa negeri, wilayah atau daerah yang layak untuk dijadikan sebagai al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah adalah negeri, wilayah atau daerah yang mempunyai kekuasaan yang merdeka dari semua bentuk pengaruh asing dalam mewujudkan "keamanan" dalam urusan dalaman dan luaran, yang di dalamnya hukum Islam diterapkan secara menyeluruh dan sekaligus. 

Dengan demikian, perkataan dar al-Islam mempunyai makna yang berbeza dengan al-khilafah atau al-dawlah al-Islamiyyah, sekalipun kedua-duanya merupakan istilah syarak. Dar al-Islam bermakna tempat di mana hukum Islam secara menyeluruh diterapkan, dan tempat tersebut dilindungi oleh kekuasaan kaum muslimin, sedangkan al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah bermakna institusi (yang berupa entiti dan struktur) pentadbiran yang menerapkan hukum Islam secara menyeluruh, dan juga bererti kekuasaan politik yang menerapkan hukum dan melindungi rakyat. 

Sedangkan perkataan bilad adalah bukan istilah syarak, kerana perkataan ini tidak digunakan oleh nas syarak, sama ada al-Qur’an ataupun as-Sunnah, kecuali dengan makna bahasa, iaitu tempat. Penggunaan perkataan bilad tersebut kemudian disifatkan dengan Islamiyyah (Islam) atau kufr (kufur), bukan kerana standard hukum dan keamanan, sebagaimana standard dar. Akan tetapi, sifat berkenaan dikembalikan kepada hiyazah (penguasaan) dan milk (hak milik). Dengan demikian, bilad Islamiyyah (negeri Islam) ada dua bentuk: 

1) Wilayah yang pernah dikuasai oleh kaum muslimin atau tunduk di bawah al-khilafah, walaupun ketika ini dikuasai oleh orang kafir, seperti Andalusia. Wilayah ini tetap disebut bilad Islamiyyah kerana status asal, iaitu sebagai wilayah yang dikuasai oleh kaum muslimin, dan kerana kewajiban pada masa yang akan datang untuk mengambilnya semula dari tangan orang kafir.  

2) Wilayah yang menjadi milik kaum muslimin, disebabkan oleh seluruh atau majoriti penduduknya pada ketika ini adalah muslim, sekalipun secara politik, pengerusi wilayahnya atau ketua negaranya adalah orang bukan Islam, seperti Lebanon. 

Sifat Islam pada negeri ini tetap, sekalipun hukum yang diterapkan bukan hukum Islam, atau keamanan untuk melindungi urusan dalaman dan luaran bukan di tangan kaum muslimin. Ini kerana sifat "Islam" tersebut dikembalikan kepada hiyazah (penguasaan) dan milk (hak milik), bukan kepada hukum dan keamanan. Dari sini, bilad Islamiyyah tersebut dapat disebut dar al-Islam, jika bergabung dengan al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah, sehingga hukum Islam diterapkan di sana secara menyeluruh dan keamanannya di tangan kaum muslimin. Sebaliknya, dapat disebut dar al-kufr, jika tidak bergabung dengan al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah, kerana hukum Islam tidak diterapkan secara menyeluruh dan keamanannya bukan di tangan kaum muslimin.  

Untuk memperjelaskan lagi makna seluruh istilah di atas, dapat dibuat andaian ketika al-khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah telah berdiri. Al-Khilafah atau ad-dawlah al-Islamiyyah adalah institusi politik dan pentadbirannya yang meliputi seluruh negeri dan wilayah, sedangkan negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang diperintah dan tunduk kepadanya disebut dar al-Islam, sama ada yang ketika ini berstatus sebagai bilad Islamiyyah atau bilad kufur, sedangkan bilad Islamiyyah adalah negeri atau wilayah yang pernah diperintah atau tunduk kepadanya, atau majoriti penduduknya beragama Islam, sama ada ketika itu mereka bergabung dengan al-khilafah ataupun tidak. Ketika bergabung dengannya, ia disebut dar al-Islam, dan ketika tidak atau belum bergabung dengannya, maka ia disebut dar al-kufr.  

Berdasarkan huraian di atas, dapat disimpulkan, bahawa ketika ini tidak wujud satupun negara yang menepati realiti yang dimaksudkan oleh perkataan ad-dawlah al-Islamiyyah (negara Islam) atau al-khilafah (kekhilafahan Islam). Begitu juga, ketika ini tidak wujud satu negeri atau wilayah pun yang menepati realiti yang dimaksudkan oleh perkataan dar al-Islam (negeri Islam). Yang ada ketika ini hanyalah realiti yang dimaksudkan oleh perkataan bilad Islamiyyah. 

Wallahu a’lam bi as-sawab.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR