ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


HIJRAH & PENGORBANAN







HIJRAH & PENGRONBANAN :
FIZIKAL DAN MENTAL


Mukadimah

Disember adalah bulan terakhir dalam kalendar Masehi dan secara kebetulan Disember 2009 berada dalam bulan Zulhijjah 1430, iaitu bulan terakhir dalam kalendar hijriyah.  Penghujung tahun amat sinonim dengan kompilasi pelbagai peristiwa dan kisah yang berlaku dalam tahun tersebut, begitu juga dengan tahun 2009M/1430H yang kita sedang lalui ini. Dalam bulan terakhir kalendar Islam, kita menyambut perayaan kedua umat Islam iaitu sambutan Eidul Adha atau Hari Raya Korban. Lazimnya, tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam di tanah suci menyempurnakan ibadah Haji mereka dan berkorban tanda kesyukuran. Begitu juga ummat Islam yang lain yang di muka bumi ini yang ‘mampu’ untuk melakukan ibadah korban. Signifikan kepada ibadah korban ini adalah kisah pengorbanan suci Nabi Ibrahim Alaihissalam mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam demi mentaati perintah Rabbnya.

Manakala selepas sahaja mentari merah Zulhijjah 1430 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1431H segera menjelma. Dalam bulan Muharam ada pula sambutan Ma’al Hijrah yang disambut sempena tahun baru kalendar Islam dan sebagai mengenang satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah ini telah direkodkan dalam catatan mutawatir tentang bagaimana peristiwa tersebut telah menjadi momentum kepada sejarah keunggulan dan keagungan Islam. Kehebatan dan keunggulan Islam yang pernah menggegar dunia satu ketika dulu telah dibuktikan secara historik dan empirik oleh para sejarawan. “Di sini di bumi Turki, kami merasa puas hati. Kami memiliki harta yang melimpah ruah, banyak emas dan perak dalam kekuasaan kami. Kami tidak dizalimi dengan cukai yang membebankan dan kami bebas berdagang dan tidak dikekang. Muka bumi juga subur dan mengeluarkan hasil serta kekayaan. Semua barang mampu dimiliki dengan harga murah dan setiap orang hidup secara bebas. Disini, orang Yahudi tidak dipaksa memakai bintang kuning sebagai simbol memalukan seperti di Jerman yang mana kekayaan dan kemakmuran adalah satu sumpahan kepada orang Yahudi kerana menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan orang Kristian yang akan berusaha merompak kekayaan orang Yahudi. Bangkitlah saudaraku, kuatkan semangatmu, mantapkan barisanmu  dan datanglah kepada kami” [Rabbi di Turki menulis surat kepada saudara-saudaranya di Eropah yang sedang hebat dihukum selepas 1453 Masehi dalam buku ‘Constantinople, Philip Mansel]. Peristiwa Hijrah juga adalah berkenaan dengan konsep ketaatan kepada perintah Rasulullah Sallallahu Alihi wa Sallam demi memastikan kesinambungan Islam itu terus menyinar. Menghayati dan mengambil iktibar dari dua peristiwa ini sudah cukup membuktikan dan mencerminkan betapa hebatnya nilai keimanan seorang hambanya terhadap segala perintah yang ditentukan. Sebagai wanita dan ibu, persoalan yang mesti dileraikan adalah bagaimana dan setakat mana pula kefahaman kita untuk mendalami konsep hijrah dan pengorbanan dalam realiti hari ini?


Realiti hari ini


Menelusuri segala kisah dan peristiwa yang berlaku cukup mencerminkan betapa parahnya institusi masyarakat dan negara pada masa ini. Ada yang berpendapat bahawa setiap individu sebenarnya bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku. Benarkah begitu? Mari kita lontarkan sejenak pemikiran kita kepada petikan-petikan akhbar sepanjang tahun 2009. Petikan akhbar ini adalah berkaitan dengan kes salah laku, dan juga jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan remaja perempuan. Berikut adalah sebahagian dari paparan akhbar yang mewarnai 2009.

1.    JOHOR BAHRU 31 Dis. - Seorang guru sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol pelajarnya sehingga mengandung yang didakwa dilakukan pada 24 Mei 2007[UM 01/01/09]

2.    KUANTAN 30 Jun - Seorang gadis berusia 14 tahun menjadi mangsa nafsu serakah bapa tirinya apabila dirogol di tepi semak di Perkampungan Orang Asli Sak Betau, Kuala Lipis, Jumaat lalu [UM 01/07/09].

4.    Ibu tinggal bayi pada pelajar perempuan

KUANTAN 1 Sept. — Seorang pelajar perempuan tergamam apabila didatangi seorang wanita yang memintanya menjaga seorang bayi berusia beberapa hari di Kampung Sungai Karang Darat di sini, dua hari lepas [UM 01/09/09].


Pelbagai kisah dan peristiwa yang berkaitan dengan masyarakat dan masalah sosial yang melibatkan anak-anak kecil mahupun remaja, sama ada melakukan jenayah ataupun menjadi mangsa kepada jenayah merupakan tajuk wajib di akhbar-akhbar juga media arus perdana seperti laman sesawang, blog dan sebagainya.  Dek kerana terlalu kerap permasalahan ini berlaku, ia seolah-olah tiada penghujungnya lagi bagi segala kisah duka dan sedih ini. Satu persoalan yang mungkin muncul di benak kita, apa yang akan terjadi kepada anak-anak ini? Seperti biasa jika berlaku kisah dan peristiwa yang berkenaan, muncullah pula sejenis penyakit yang lebih merbahaya iaitu virus “tuding-menuding jari”.  Saling salah menyalahi antara satu sama lain.  Pihak yang mentadbir akan menyalahkan pihak agamawan, manakala pihak sekolah menyalahkan ibu bapa. Begitulah juga yang berlaku sebaliknya. Akhirnya masalah sedia ada belum selesai secara hakiki, masalah baru pula muncul.  Inilah realiti yang berlaku apabila terjadi  apa jua kisah, peristiwa mahupun kes-kes jenayah.


Muhasabah


Selaras dengan matlamat penerbitan FU sebagai sajian Islamik untuk mendidik fikrah wanita, di sini apa yang hendak dipaparkan adalah kupasan utama bagaimana peranan ibu dalam membantu menyelesaikan isu yang sedang dibincangkan.  Dalam mendidik umat atau masyarakat, sebenarnya ia bermula dari gelanggang yang sangat kecil iaitu rumah.  Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkankan bahawa fungsi utama ibu sangat besar dalam mempengaruhi setiap individu, yang mana dari seorang individu tersebut seterusnya akan membentuk masyarakat.  Ibu adalah ‘madrasatul ula’- sekolah awal bagi anak-anak.  Ibulah yang menjadi ejen utama pembekal informasi kepada anaknya.  Nabi Muhammad Sallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda yang bermaksud: “Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Orang tuanyalah yang akan menjadikan anak tersebut sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR Bukhari]

Kenapa wanita?  Ini kerana secara fitrahnya Allah Subhanahu wa Taala memang telah mengkhususkan hanya wanita yang layak bergelar ibu dan menjalankan segala tugas yang diamanahkan sebagai ibu.  Tiada lelaki yang mampu menggantikan tugas mulia tersebut. Dimulai berlakunya persenyawaan sperma di dalam rahimnya seterusnya menjadi janin yang dikandungkannya selama 9 bulan 10 hari, yang pastinya bukan sedikit pengorbanan yang dilakukannya.  Tanpa kerelaan dan keikhlasan seorang ibu, mustahil anak tersebut mampu hidup sempurna dalam kandungannya.  Namun yang pastinya tugas itu adalah khusus buat si ibu. Selepas kelahiran bayi tersebut, tugas menyusu dan mengasuh juga adalah menjadi keutamaannya. Jadi disinilah hujahnya mengapa Allah Subhanahu wa Taala meletakkan ibu sebagai insan yang menggalas tanggungjawab mendidik anak-anaknya.  Maha Hebatnya Allah selaku Pencipta setiap makhluk, memastikan wanita dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan baik dan sesempurna yang mampu. Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan banyak keringanan (rukhsah) dan kemudahan buatnya, antaranya adalah;  Pertama, wanita tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain. Kedua, dibenarkan untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan bagi wanita yang hamil dan menyusukan.  "Seorang wanita yang redha mengandung bayi hasil perhubungan dengan suaminya yang sah dan suaminya redha pula kepadanya, maka Allah akan memberi ganjaran pahala sepertimana pahala puasa fisabilillah. Bila dia merasa sakit ketika akan melahirkan anak, maka Allah tambah lagi pahala yang tidak terkira oleh manusia oleh kerana terlalu banyaknya. Bila telah melahirkan anak dan dia menyusu dengan susunya sendiri, maka setiap seteguk susunya, Allah berikan satu kebajikan. Bila dia semalaman tidak tidur kerana mengawasi (menjaga) anaknya yang sekejap-sekejap menangis, sakit dan sebagainya, maka Allah beri lagi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dalam fisabilillah dengan ikhlas." [HR Hassan bin Sofwan, At Tabrani, Ibnu Asakir]  Semua hukum tersebut adalah dalam rangka Allah Subhanahu wa Taala melindungi wanita agar tugas utamanya sebagai ibu terlaksana dengan baik.

Kenapa ibu??  Ibu adalah manusia pertama yang dikenali oleh anak.  Interaksi ibu-anak ini bermula sejak anak tersebut masih dalam kandungannya, kerana itulah mengapa ibu juga dianggap sebagai sekolah awal bagi anak.  Ibu juga adalah acuan penting untuk membentuk segala perilaku anak.  Terlalu pentingnya tugas ibu terhadap Negara dan masyarakat sehingga peranannya ‘mencetak’ kualiti anak itu dianggap sebagai tiang Negara.

Dekatnya hubungan fizikal dan emosi ibu telah terjalin secara semulajadi, mulai dari fasa mengandung, melahirkan, menyusukan sehinggalah mengasuhnya, kasih sayang seorang ibu merupakan jaminan utama dalam membentuk perkembangan yang sihat buat anak.

Anak umpama radar yang dapat mengesan segala objek yang ada di sekelilingnya, perilaku dan pengaruh ibu memberi pengaruh yang amat besar dalam pembentukan peribadi anak.  Contoh terbaik dalam kisah ini adalah hebatnya si ibu yang bernama Asma’ Binti Abu Bakar, iparnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau adalah ibu kepada Abdullah Bin Zubair salah seorang pejuang Islam yang hebat di zamannya dan dikenang hingga kini.

Keperibadiaan anak terbentuk dari olahan ibunya menanamkan batu asas dalam pemikiran anak-anaknya.  Jika anak ditanam dengan asas tsaqafah (culture) dan aqidah yang benar iaitu aqidah Islam, Insyaallah segala perilaku dan keperibadiaan anak tersebut akan selaras sebagaimana yang telah diolah tadi. Keluarga menjadi wadah pertama bagi menanamkan pembinaan Islam dalam jiwa anak. Sejak dari awal anak ini perlu dipupuk rasa cintanya terhadap Allah Subhanahu wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tanda aras untuk menentukan keberhasilan rasa cinta itu disemai adalah anak-anak akan mudah dan rela dibentuk untuk melakukan segala perintah Allah yang telah ditetapkan.  Si anak yang berjaya dididik tadi tidak akan merasakan bahawa segala kewajipan itu adalah beban ke atasnya dan setiap kefardhuan akan dilaksanakan dengan penuh redha dan bukannya kerana terpaksa.

Kewujudan ibu dalam pembentukan jiwa anak adalah sangat penting, kerana bila anak kehilangan ibu yang berperanan dan berfungsi kepadanya, anak akan kehilangan bimbingan, kasih sayang dan segala yang wajar dimiliki oleh si anak. Kegagalan si ibu memainkan peranan akan menyebabkan si anak mengalami tekanan emosi dan seterusnya gangguan jiwa yang bakal merencatkan masa depan anak tersebut. Kehilangan ‘aura’ ibu secara fizikal dan juga peranannya menanam kekuatan dalam pembentukan jiwa si anak akan menyebabkan berlakunya kecacatan dari segi perkembangan peribadi anak tersebut.


Bagaimana mengembalikan Fungsi Ibu sebagai Tiang Negara


Dalam keadaan sekarang banyak faktor yang menyebabkan terabainya peranan utama ibu tersebut. Antaranya ialah faktor ekonomi yang mana wanita perlu bekerja untuk membantu suami dan keluarga. Hukum bekerja bagi seorang wanita adalah mubah (harus), ini kerana “Wanita itu tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain”. Walaupun seorang wanita itu bekerjaya, tugasnya yang utama adalah sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Tanggungjawab ini adalah ‘full time job’nya, sedangkan kerjaya di luar itu adalah sebagai ‘part-time job’nya. Namun yang banyak berlaku adalah jelas kontra dengan apa yang sepatutnya.

Pelbagai justifikasi diwujudkan dalam rangka memujuk fitrah si ibu yang merasa bersalah dan tertekan bila mana terpaksa bertugas dalam keadaan anak sakit atau anak amat memerlukan kehadiran ibu di sisinya. Antara lain adalah wanita yang bekerja ini sering dianggap ‘super mummy’. Namun benarkah wanita bekerjaya menjadi penyumbang kepada kerosakan fungsi tersebut? Hakikatnya walaupun si ibu tidak bekerja iaitu menjadi suri rumah sepenuh masa dan memiliki begitu banyak masa lapang, adakah sebarang jaminan anaknya akan terdidik sebaik mungkin? Ironinya bila si ibu terlalu banyak masa lapang, dia menjadi peminat setia rancangan telenovela ataupun sinetron yang tidak terkirakan puluhan tayangan disajikan di kaca televisyen setiap hari. Walaupun tugas dan tanggungjawabnya tetap sebagai  ibu, tetapi dia tidak berperanan sebagai pencetak generasi yang baik kerana tidak memiliki kualiti yang diperlukan. Tinggi rendahnya kualiti si anak adalah bergantung kepada tinggi rendahnya juga kualiti si ibu dalam membawa halatuju si anak.
Antara kriteria kualiti ibu yang diperlukan adalah: Pertama, memiliki aqidah dan syakhsiyyah Islam. Ibu yang memiliki ciri pertama ini akan meyakini bahawa anak adalah amanah dari Allah Subhanahu wa Taala yang akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak.  Ibu ini akan melakukan segala hal yang berkaitan anaknya dengan sebaiknya seperti pengasuhan dan pendidikan jangka panjang dan pendek.  Kedua, memiliki satu kesedaran bahawa pendidikan anak-anak itu adalah aset ummah (masyarakat) yang berharga.  Ibu perlu menyedari bahawa usahanya mendidik anak bukan sekadar agar anak tersebut dapat menjaga dan menafkahinya semasa dia tua nanti, tapi ia akan mendidik anaknya untuk prihatin dengan lingkungan masyarakat sekeliling iaitu ‘amar makruf nahi mungkar’.  Dia akan membentuk satu pandangan umum terhadap anaknya bahawa anak tersebut wajib bertanggungjawab dan berjuang untuk membangunkan kembali umat selaras dengan kehendak Yang Maha Pencipta.  Sebagaimana yang telah dinyatakan dengan kalamNya yang bermaksud: “Kalian adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, serta beriman kepada Allah.” [TMQ Al- Imran: 110].  Ketiga, memiliki pengetahuan dan menguasai konsep pendidikan anak.  Seorang ibu wajib menyediakan ilmu pengetahuan dan menguasainya sebelum dia bergelar ibu lagi, kerana ia merupakan persiapan awal dalam merancang menjadi seorang ibu yang berkualiti. Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, antara asas pendidikan anak yang perlu diketahui oleh seorang ibu adalah;  (a) Setiap anak memiliki karaktor yang berbeza sehingga setiap anak perlu didekati dengan kaedah yang berbeza juga.  (b)  Setiap anak memiliki perbezaan dalam tahap penerimaan dan menerimapakai pendidikan yang diterimanya, di sinilah perlunya perjuangan sabar dan tidak boleh membandingkan kemampuan antara setiap anak. (c) Anak-anak kecil amat cepat menyerap maklumat lingkungan yang ada di sekelilingnya. Atas kesedaran ini maka ibu perlulah memasukkan maklumat yang Islami terhadapnya supaya anak belajar tanpa rasa terbeban [Mengembalikan Fungsi Ibu Sebagai Pengatur Rumah tangga, HTI (2005)].


Khatimah

Dalam era globalisasi ini, inilah teladan hijrah dan pengorbanan yang perlu dilakukan bagi setiap wanita bergelar ibu. Hijrah dan lakukanlah pengorbanan yang selaras dengan tuntutanNya. Letakkan keutamaan di atas keutamaan. Tugas utama kita adalah sebagai pembentuk generasi yang bakal membentuk mayarakat. Kita perlu olah kembali cara berfikir kita, kita perlu berubah secara mental dan fizikal demi untuk menggapai redha-Nya. Demi anak yang kita akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak, usah kita terlalu mudah meng’sub-con’kan tugas mulia ini. Jangan kita mengambil sambil lewa urusan pendidikan anak kita. Bukan hanya pemenuhan material yang anak dambakan, tapi perhatian, pendidikan dan kasih sayang yang tulus dari ibu yang mengandungkannya. Biar apa juga alasan, biar sekuat mana dugaan, jangan abaikan tugasan ini, jangan pandang remeh amanah ini.  Ibu adalah tiang Negara.

Wahai muslimat yang di rahmati Allah Subhanahu wa Taala,
Sedarlah kalian semua, kembalilah kepada Islam sebagai cara dan gaya hidup kita.  Cerahkanlah kembali pemikiran kita agar suci dari pemikiran asing yang rosak lagi menghancurkan. Musuh-musuh Islam tidak pernah mengalah untuk menghancurkan Islam dari segi fizikal dan mental, perjuangan mereka akan bersifat abadi.  Ini jelas dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmanNya yang bermaksud: “Sekali-kali orang Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha terhadap kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka.” [TMQ al-Baqarah 2: 120].

Beratnya tanggungjawab dipikul ibu, mampukah kita melaksanakannya? Dalam dunia yang rosak tanpa dinaungi pemerintahan dan sistem Islam secara syumul, sememangnya tugasan dan tanggungjawab itu seolah tidak mampu kita lalui. Ini adalah kerana sehebat mana pendidikan yang dilaksanakan, seandainya persekitaran dan sistem yang tidak sehaluan menyebabkan anak-anak tidak terbela nasibnya.  Mahu atau tidak kita wajib akui bahawa kita memerlukan satu institusi, satu sistem yang dapat menjaga dan membela kita, amanah kita dan persekitaran anak-anak kita.  Hanya satu penyelesaian yang kita ada, jalan keluar yang amat mendesak untuk memiliki sebuah institusi yang melaksanakan syariah secara kaffah iaitu khilafah kerana dengannya seluruh hukum hakam akan terlaksana secara keseluruhan termasuk sistem pendidikan yang akan menjana pemikiran jernih dengan fikrah Islam dari anak-anak yang merupakan pelapis generasi akan datang. Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR