ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


DEMONSTRASI – BENARKAH IA SUATU TINDAKAN BODOH?


DEMONSTRASI – BENARKAH IA SUATU TINDAKAN BODOH?



Aktiviti berdemonstrasi (tunjuk perasaan) atau perarakan di jalan-jalan, berkumpul di luar bangunan atau kawasan terbuka dengan membawa sepanduk yang merupakan manifestasi dari rasa tidak puas hati berkenaan sesuatu perkara nampaknya semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Secara sepintas lalu, ia menunjukkan sifat prihatin rakyat terhadap isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti mereka.

Minggu lepas kita telah dikhabarkan oleh media-media massa mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka sebagai Badan Anti IFC (Suruhanjaya Antara Agama) atau BADAI yang dianggotai oleh beberapa NGO. Seramai lebih kurang 500 orang telah berdemonstrasi membantah forum bertajuk `Perlembagaan Persekutuan : Perlindungan Untuk Semua' di hadapan Hotel Cititel, Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Aliran dan Article 11, yang dianggotai oleh 14 NGO termasuk Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Majlis Peguam dan All Women's Action Society (AWAM) [Utusan Malaysia 15 Mei 2006]. Tindakan demonstrasi yang dilakukan oleh BADAI itu telah menimbulkan reaksi yang negatif dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dengan menyifatkannya sebagai salah dan bodoh. "Jika anda bantah dan adakan demonstrasi ketika orang berbincang, ia tindakan bodoh. Saya tidak takut menggunakan ayat itu", katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pakar-pakar Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia di Sisi Islam (MIEHRI) di Kuala Lumpur. [Utusan Malaysia 16 Mei 2006].

Dilihat dari sudut sejarah, demonstrasi sebenarnya telah lama menular ke negara ini, semenjak Tanah Melayu dijajah oleh British lagi. Ketika itu, kuasa pemerintahan dipegang sepenuhnya oleh British yang menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat. Rakyat, khususnya orang Melayu bangkit untuk menentang penjajah. Kebangkitan mereka dimanifestasikan oleh tindakan demonstrasi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada British. Para pejuang nasionalis Melayu sebelum zaman merdeka telah beberapa kali melakukan tindakan demonstrasi dan antara yang terbesar adalah demonstrasi yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, pada 10 Februari 1946. Dianggarkan seramai 15,000 orang Melayu telah berhimpun menentang penubuhan Malayan Union, di Batu Pahat, Johor. Ini telah menjadi titik tolak kepada beberapa siri demonstrasi orang Melayu, khasnya ahli UMNO selepas itu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu sehingga berakhirnya penjajahan pada 31 Ogos 1957.

Amat tidak wajar jika kita membuat kesimpulan bahawa demonstrasi yang telah dilakukan ini suatu tindakan bodoh. Adakah pemimpin-pemimpin (khasnya UMNO) dan rakyat yang telah berjuang dengan melakukan demonstrasi untuk mendapatkan kemerdekaan dari British ini telah melakukan suatu kebodohan? Walaupun demonstrasi itu telah dilakukan 'secara haram' (kerana British pada waktu itu tidak memberi permit untuk rakyat mengadakan demonstrasi), tetapi pemimpin dan rakyat pada waktu itu tidak pernah beranggapan ia adalah suatu kebodohan, malah sebaliknya. Walaupun perhimpunan adalah 'haram', rakyat tetap bangkit dan berdemonstrasi tanpa memperdulikan 'keharamannya'. Inilah sejarah yang tidak dapat kita nafikan.


Definisi Demonstrasi


Demonstrasi sebagaimana yang disebutkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengandungi dua makna. Pertama: penerangan, peragaan, penunjukan tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain; Kedua: tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain. Inilah definisi yang menjadi topik perbincangan kita.

Daripada definisi itu sendiri, kita dapat fahami bahawa demonstrasi tidak membawa apa-apa konotasi yang negatif, apalagi yang menjurus kepada kesalahan. Demonstrasi pada hakikatnya merupakan salah satu cara untuk menampakkan aspirasi ataupun pendapat (ta'bir ar-ra'yi) masyarakat secara berkumpulan. Namun demikian, apa yang lebih penting bagi kita sebagai umat Islam adalah untuk memandang pengertian demonstrasi dari perspektif Islam. Secara umum, aktiviti menampakkan aspirasi atau pendapat di dalam Islam adalah perkara yang dibolehkan (mubah). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan atau pendapat tentang suatu perkara, cuma dalam hal ini ia dilakukan oleh sekumpulan orang.

Di dalam pengistilahan bahasa Arab, demonstrasi boleh dibahagikan kepada dua:

1) Demonstrasi Liar (Muzhaharah) : iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat di tempat-tempat umum untuk menuntut dan membantah perkara-perkara tertentu yang sudah menjadi tugas negara atau orang yang bertanggungjawab. Di dalam Muzhaharah ini, para penunjuk perasaan biasanya akan melakukan kerosakan, rusuhan, kemusnahan, membakar harta milik negara, harta umum ataupun harta individu.

2) Demonstrasi Aman (Masiirah) : iaitu perbuatan sekumpulan masyarakat untuk menyokong, menuntut dan juga membantah sesuatu. Tindakan (Masiirah) ini tidak akan disertai aktiviti merosakkan, menghancurkan atau membakar harta benda negara, awam atau individu. Para penunjuk perasaan akan sentiasa memerhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', nilai-nilai Islam dan kemaslahatan umat Islam. Mereka juga akan sentiasa menjaga adab-adab sebagai orang Islam.



Hukum Demonstrasi Menurut Islam



Demonstrasi Liar (Muzhaharah) jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Ini kerana, di dalam melakukan demonstrasi, ia disertai dengan beberapa aktiviti yang diharamkan seperti mengganggu lalu-lintas, menghancurkan, merosak atau membakar harta benda, mengganggu ketenteraman awam dan sejenisnya. Tidak kurang pula, Muzhaharah ini mengakibatkan rusuhan, pergaduhan, perkelahian, penganiayaan, bahkan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.

Sementara itu, Demonstrasi Aman (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan/diharuskan (mubah). Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman, dengan memperhatikan dan mematuhi hukum-hukum syara', termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan; ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak mengganggu lalu-lintas dan hak-hak umum, tidak membakar, merosak dan menghancurkan barang-barang milik umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.

Perlu difahami bahawa Islam memandang Masiirah sebagai salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai method (thariqah) di dalam melakukan proses perubahan masyarakat. [Method/Thariqah adalah suatu yang wajib diambil oleh umat Islam di dalam mencontohi Rasulullah. Contohnya, thariqah Rasulullah berdakwah secara aman dan tidak menggunakan kekerasan di dalam menegakkan Daulah Islam. Sedangkan uslub adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara']. Apabila keadaan memerlukan, Masiirah boleh dan patut dilakukan dan sebaliknya jika tidak, patut ditinggalkan. Hal ini sesuai dengan hukum kemubahannya.

Jika kita teliti sirah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam, baginda tidak pernah menjadikan dan menggunakan demonstrasi aman sebagai thariqah mengubah masyarakat Jahiliyyah di kota Makkah menjadi masyarakat Islam. Namun begitu, baginda pernah melakukan demonstrasi aman di kota Makkah. Peristiwa ini terjadi setelah Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya berdakwah secara terang-terangan. Baginda lalu memerintahkan kaum Muslimin keluar dan berjalan membentuk dua barisan menuju Ka'bah. Satu barisan dipimpin oleh Umar ibn al-Khaththab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Dengan diiringi laungan takbir dan kalimah suci La ilaha illallah, kaum Muslimin berjalan mengelilingi Ka'bah. Rasulullah sendiri berada di dalam kelompok tersebut memberi arahan. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam telah mengambil satu cara yang tidak pernah dilakukan oleh masyarakat Jahiliyyah pada ketika itu di dalam rangka menjalankan perintah Allah yakni menzahirkan Islam dengan berdakwah secara terang-terangan. Masiirah ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan kutlah (kelompok) kaum Muslimin yang selama ini telah ditasqif (dibina) oleh baginda secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah Al-Arqam ibnu Al-Arqam.

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam juga pernah menghimpunkan kaum Quraish di Bukit Safa untuk menyeru kepada mereka supaya beriman kepada Allah dan menjelaskan bahawa baginda adalah Rasul yang diutus Allah kepada manusia. Peristiwa ini sangat terkenal di dalam sirah kerana ia telah menjadi asbab kepada turunnya Surah Al-Lahab di mana Allah telah melaknat Abu Lahab. Perbuatan Rasulullah di dalam menghimpunkan kaum Quraish tadi sememangnya telah dikeji dan diperbodohkan oleh Abu Lahab, dengan berkata "Celakalah engkau wahai Muhammad, adakah semata-mata kerana ini engkau telah menghimpunkan kami?". Inilah kata-kata yang telah menyebabkan Allah Subhanahu wa Ta'ala melaknat Abu Lahab. Wahai kaum Muslimin! adakah kita sanggup untuk mengatakan bahawa semua tindakan Rasulullah dalam berdemonstrasi secara aman itu sebagai suatu tindakan bodoh, sebagaimana Abu Lahab? Na'uzubillahi min zalik.

Demikianlah perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan oleh Rasulullah yang menjadi petunjuk yang jelas kepada kita bahawa Masiirah dibenarkan oleh Islam. Peristiwa ini merupakan dalil kepada kita bahawa kaum Muslimin dibolehkan menghimpun umat manusia (samada dalam bentuk forum, seminar, Masiirah dan sebagainya) dalam rangka untuk menegakkan Deen Allah.
Demonstrasi Islam –vs- Kapitalis & Sosialis

Islam meletakkan demonstrasi aman sebagai uslub untuk menjelaskan aspirasi dan pendapat. Kedudukan ini amat berbeza sekali dengan pandangan masyarakat Kapitalis atau Sosialis (termasuk di dalamnya Komunis) yang menganggap demonstrasi (samada aman atau liar) sebagai salah satu thariqah dalam melakukan perubahan masyarakat. Bagi masyarakat kufur ini, demonstrasi adalah sebagai proses perubahan masyarakat ke arah yang mereka inginkan. Oleh karena itu, mereka tidak ada peraturan di dalam melakukan demonstrasi. Banyak sekali kejadian di mana mereka sering menimbulkan ketidaktenteraman, merosak, menghancurkan, membakar harta benda dan lain-lain bentuk kemusnahan demi mencapai matlamat dan objektif mereka. Bukti-bukti kepada perkara ini amat jelas dan banyak sekali di mana kita dapat lihat hampir setiap hari di kaca TV mahupun di dada-dada akhbar tentang demonstrasi liar yang dilakukan oleh kaum kafir ini di dalam menuntut apa yang mereka inginkan.

Berlandaskan kepimpinan berfikir (qiyadah fikriyyah) seperti inilah, masyarakat kufur samada Kapitalis atau Sosialis membangun cara hidup mereka. Berasaskan idea 'kebebasan', mereka merasa berhak melakukan apa sahaja untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Dengan kata lain, kaedah yang mereka gunakan semasa berdemonstrasi ialah 'matlamat menghalalkan segala cara'. Islam tidak mengenal konsep kebebasan sebagaimana yang dijaja oleh kafir Barat. Umat Islam bukanlah satu umat yang 'bebas'. Umat Islam adalah umat yang 'terikat' dengan segala perintah dan larangan Allah. Kaum Muslimin adalah terikat dengan segala hukum-hakam, halal dan haram, baik dan buruk hanyalah semata-mata mengikut apa yang Allah telah tetapkan.

Sebagaimana yang telah dijelaskan, demonstrasi liar seperti yang dilakukan oleh golongan Kapitalis atau Sosialis adalah diharamkan di dalam Islam. Islam mengharamkan menumpah darah sesama manusia kecuali dengan hak. Harta benda yang dimiliki oleh seseorang haram diambil atau dirampas oleh orang lain kecuali dengan hak. Kehormatan setiap orang haram dicabuli atau dirampas oleh orang lain. Syariat Islam menjaga ketiga-tiga perkara tersebut dengan sempurna. Mana-mana individu atau pemerintah yang melakukan pencerobohan terhadap tiga perkara ini akan dikenakan hukuman sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah 'matlamat menghalalkan cara' (al-ghaayah tubarriru al­-wasilah), sebagaimana yang dianuti oleh masyarakat Kapitalis atau Sosialis. Tindak-tanduk seorang Muslim samada sebagai individu atau sebahagian dari anggota masyarakat ataupun sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi atau pendapat dengan cara berdemonstrasi mahupun dalam melakukan proses perubahan masyarakat, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah tunjukkan. Demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin yang dimuliakan oleh Allah! Merubah kemungkaran itu adalah hak dan tanggungjawab kalian, baik kemungkaran itu dilakukan oleh individu atau pemerintah. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, "Barangsiapa yang menyaksikan kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, hendaklah dengan lidahnya (perkataan), jika tidak mampu dengan qalbunya. Itu (dengan qalbu) adalah selemah-lemah iman" [HR Muslim].

Mana-mana Masiirah yang dilakukan oleh kaum Muslimin di dalam mengubah kemungkaran adalah hal yang dituntut dan sememangnya sesuatu yang mulia. Tidak lama dahulu kaum Muslimin di seluruh dunia termasuklah di Malaysia melakukan Masiirah sebagai bantahan ke atas karikatur yang menghina Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam. Parti Islam SeMalaysia (PAS) beserta beberapa pertubuhan Islam lainnya dan umat Islam yang prihatin telah sama-sama bermasiirah membantah penghinaan yang telah dilakukan itu. Hizbut Tahrir Malaysia juga turut melakukan seruan di Masjid Negara mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan yang telah dilakukan ke atas Rasulullah dan mengajak umat Islam agar bersama-sama mendirikan semula Daulah Khilafah yang hanya dengannya akan 'mengajar' dan menghukum kebiadaban kaum kuffar tersebut. Oleh itu, tindakan-tindakan seumpama ini dan juga bantahan ke atas forum `Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan Untuk Semua' di depan Hotel Cititel, Pulau Pinang, patut dipuji, bukannya dikeji. Adakah kita akan sanggup untuk menyatakan bahawa kaum Muslimin yang bermasiirah demi membela Rasulullah, demi membela Deen Allah dari diperlecehkan oleh kaum kuffar sebagai suatu tindakan yang salah dan bodoh?

Betapa mulianya aktiviti amar ma'ruf nahi mungkar ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam di dalam sabda baginda. Bahkan pahala aktiviti seumpama ini boleh sebanding dengan pahala penghulu syuhada, iaitu Hamzah bin Abdul Muthallib, "Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim, lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya." [HR Al-Hakim].

Wahai Kaum Muslimin! Menasihati dan memuhasabah pemimpin, institusi, organisasi, kelompok atau komuniti tertentu serta mengkritik dasar dan keputusannya yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam dan kaum Muslimin hukumnya adalah wajib meskipun caranya boleh beragam; boleh dilakukan secara langsung bertemu face to face; atau melalui tulisan, surat, seminar, demonstrasi aman dan lain-lain. Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara' samada secara langsung maupun tidak, adalah jelas lebih mulia berbanding dengan tidak melakukan apa-apa, apatah lagi dari mengeji dan menghina orang lain yang melakukannya.

Wahai pemimpin kaum Muslimin! Kalian adalah wakil rakyat yang telah dipilih untuk memimpin umat ini, bukan menyesatkannya. Kalian adalah orang yang diperintah oleh Rasulullah untuk menjadi pelindung kaum Muslimin bukan membinasakannya. Kalian adalah orang yang diamanahkan oleh Allah untuk menjaga agamaNya, bukan menghancurkannya. Umat Islam mengharapkan kalian agar melakukan perubahan, menjadi pemelihara rakyat dan pembela Islam. Umat Islam benar-benar mengharapkan kalian mengembalikan semula kehidupan Islam, mengembalikan sistem Islam, menerapkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah, menegakkan semula Daulah Khilafah 'ala minhaj nubuwwah. Jika kalian tidak melakukannya, kaum Muslimin yang benar-benar ikhlas berjuang di jalan Allah akan tetap melakukannya. Sesungguhnya balasan Allah akan pasti tiba bagi mereka-mereka yang ingkar akan perintahNya. Itulah janji Allah dan janji Allah adalah suatu kebenaran yang pasti! Wallahua'lam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR