MEMBUMI ATAU MENGKEBUMIKAN AL-QURAN?
MEMBUMI ATAU MENGKEBUMIKAN AL-QURAN?
Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah Azza wa Jalla atas kurniaNya kepada kita memberikan kesempatan dan kekuatan bagi meneruskan ibadah puasa di bulan yang mulia ini. Sedar atau tidak, telah dua minggu kita menjalani ibadah rukun Islam ketiga ini dan tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi bulan yang penuh rahmat ini akan meninggalkan kita. Sesungguhnya bulan Ramadhan telah mengkhazanahkan banyak peristiwa berharga kepada umat Islam di sepanjang sejarahnya. Antara peristiwa penting yang diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran adalah peristiwa mula turunnya (nuzul) Al-Quran kepada Muhammad al-Amin. Dengan penurunan ayat yang pertama di Gua Hira’, maka Muhammad telah dipilih dan diangkat oleh Allah, Tuhan sekelian alam menjadi RasulNya yang akan membawa dan mengembangkan risalahNya kepada seluruh manusia. Bermula dengan Nuzul Quran inilah, menandakan bermulanya perjuangan Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam dalam menyeru manusia kepada satu cara hidup berlandaskan kehendak Yang Maha Mencipta dan meninggalkan segala bentuk kehidupan yang kufur dan merosakkan. Justeru, adalah amat tidak wajar jika ada antara umat Islam yang tidak mengetahui peristiwa penting ini - peristiwa yang telah menjadi titik tolak hadirnya Islam menerangi dunia dari kegelapan cara hidup ciptaan manusia. Cuma persoalannya, adakah umat Islam pada tahun ini akan mengingati peristiwa Nuzul Quran sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, tanpa memerhatikan apakah visi dan misi diturunkan Al-Quran kepada umat manusia? Apakah umat Islam pada tahun ini akan memahami peri pentingnya Nuzul Quran dan berusaha untuk membumikan ajaran Al-Quran atau masih tetap ingin mengkebumikan ajaran-ajarannya?
Saban tahun setiap kali tibanya Nuzul Quran, tazkirah-tazkirah di masjid oleh imam-imam dan guru agama yang dilantik akan memperkatakan perkara ini. Tidak mustahil sekiranya khutbah Jumaat pada hari ini juga disampaikan dalam konteks dan tema yang sama. Dari satu sudut, kita bersyukur kerana situasi ini menggambarkan masih wujud sentimen Islam di kalangan kaum Muslimin, namun dari sudut yang lebih jauh, cukupkah tindakan imam-imam atau golongan ulama yang sekadar memperingati dan mengingatkan umat Islam akan peristiwa Nuzul Quran melalui kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah, tetapi mereka tidak pernah mengingatkan golongan pemimpin umat Islam untuk menerapkan hukum Al-Quran? Mereka juga diam, malah ada yang hanya meng‘amin’kan tindakan pemerintah yang jelas-jelas tidak berhukum dengan kitab Allah ini. Cukupkah tindakan mensucikan Al-Quran dengan sekadar mengkhatamkan bacaannya secara beramai-ramai di bulan Ramadhan? Wajarkah umat Muhammad ini mengagungkan Al-Quran sekadar dengan memperdengarkannya di dalam majlis-majlis sebagai acara pemula dan penutup sahaja? Molekkah tindakan mereka apabila menjadikan ayat-ayat Al-Quran hanya sebagai halwa telinga dengan lirik nasyid-nasyid berbagai nada atau sekadar penyedap mata dengan khat dan kaligrafi di dinding atau di atas meja? Cocokkah tindakan kaum Muslimin sebegini walhal pada masa yang sama isi kandungan Al-Quran mereka kebumikan dalam-dalam dan tidak diamalkan sebagaimana diperintahkan oleh Al-Quran itu sendiri? Walaupun pahit untuk ditelan, namun inilah realiti yang kita sedang hadapi.
Serangan Ke Atas Pemikiran Umat
Sebelum kita mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk memulihkan pemikiran yang telah tersasar ini, perlu kita mengkaji bagaimanakah fenomena yang menyedihkan ini boleh berlaku di kalangan umat Islam. Hanya dengan memahami bagaimana ianya bermula barulah kita mampu memahami bagaimana untuk meng‘akhirkan’nya. Hanya dengan mengenalpasti puncanya, barulah kita dapat memecahkan permasalahan yang ada serta mengelakkannya daripada berulang. Sekiranya tidak, maka umat Islam akan terus-menerus menyusuri jalan-jalan buntu yang hanya akan membuang masa, kudrat dan harta yang ada dan apa yang lebih menakutkan, ia memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.
Sesungguhnya pemikiran umat Islam telah mula diserang sejak kurun kedua selepas Hijrah. Bermula dengan pertembungan falsafah-falsafah asing dari India, Parsi dan Yunani, umat Islam telah terjerat apabila cuba mengasimilasikan pemikiran-pemikiran tersebut agar selari dengan kehendak Islam. Cubaan untuk mengadaptasikan falsafah asing telah menyebabkan wujudnya penafsiran-penafsiran baru tentang pelbagai idea di dalam Islam yang menyebabkan berlakunya kekeliruan dan kadang-kala melenyapkan terus idea Islam yang sebenar dalam pemikiran umat ketika itu. Musuh-musuh Islam dan para hipokrit telah mengambil kesempatan daripada keadaan ini dengan mengenengahkan idea-idea asing yang bercanggah dengan idea Islam. Sejak dari itu, sedikit demi sedikit cara berfikir yang dituntut oleh Islam mula memudar dan ditinggalkan oleh umat Islam. Cara berfikir yang asing dan bercanggah dengan pemikiran Islam mula meresap ke dalam proses pemikiran umat. Akhirnya, asas pemikiran Islam yang jernih telah lupus dari pemikiran umat. Idea-idea yang mengelirukan seperti idea bahawa manusia lebih arif tentang beberapa urusan dunia telah dipesongkan pemahamannya dan dipergunakan untuk memberi hak kepada perlaksanaan sistem-sistem ciptaan Barat. Idea-idea tentang kejadian manusia yang berbagai bangsa telah dijadikan asas membolehkan amalan nasionalisme. Begitu juga idea tentang penurunan Al-Quran secara beransur-ansur, maka dihujahkan bahawa perlaksanaan Islam pun perlu beransur-ansur.
Kekusutan pemikiran umat Islam ini telah dilihat sebagai peluang keemasan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkannya. Barat yang memang menyimpan dendam ke atas Islam mula melaksanakan serangan pemikiran ke atas idea-idea Islam setelah serangan fizikal mereka menerusi beberapa cubaan perang salib gagal menundukkan umat Islam. Islam mula dimomokkan, hukum-hakam Islam mula diperlecehkan dan dikatakan sudah ketinggalan zaman. Perundangan Islam seperti hukum hudud telah dikatakan menindas dan kejam. Sistem pergaulan (Nidzam al-Ijtima’i) yang meningkatkan martabat wanita dikatakan berat sebelah dan melemahkan kaum Hawa. Umat Islam tidak mampu lagi menangkis serangan pemikiran ini dengan jawapan-jawapan yang tepat. Umat Islam mula mengambil posisi bertahan setiap kali serangan-serangan sebegini dibuat. Jawapan-jawapan yang dibalas oleh umat Islam mula bersifat mengalah atau seperti berada di pihak yang bersalah. Apabila idea jihad diserang, umat Islam mula membuat tafsiran jihad yang baru dengan mengatakan jihad adalah untuk mempertahankan diri atau jihad juga mempunyai banyak kategori seperti jihad diri, jihad keluarga, jihad ekonomi, jihad ilmu dan sebagainya. Kesan dari pencemaran pemikiran yang berlaku ini telah menyebabkan umat Islam tidak lagi mampu berfikir dengan acuan Islam dan hasilnya, terhapuslah hukum-hukum Islam, lalu diterapkanlah sistem-sistem ciptaan manusia yang sebenarnya merosakkan kehidupan umat Islam itu sendiri. Islam yang asalnya datang untuk menguruskan kehidupan manusia secara praktikal telah disempitkan peranannya sekadar menjadi agama ritual yang digunakan untuk pemenuhan ‘kehendak rohani’ sahaja.
Apabila penjajahan kolonial berlaku ke atas tanah-tanah umat Islam seluruh dunia, undang-undang Islam telah mula diubah kepada undang-undang Barat bagi menguruskan kehidupan umat di tempat-tempat yang dijajah. Sistem berteraskan sekularisme yang memisahkan kehidupan dengan agama telah dilaksanakan ke atas umat Islam. Penukaran secara fizikal ini telah mengakar di dalam benak pemikiran umat Islam hinggakan biarpun setelah penjajah kolonial tiada lagi di bumi umat Islam secara fizikal, sistem-sistem yang telah mereka laksanakan kekal hingga ke hari ini. Umat Islam tidak lagi mampu mengasingkan sistem-sistem Barat yang telah mengakar umbi di dalam sistem kehidupan zaman ini. Islam tidak lagi dipandang mampu berdiri dengan sendiri tanpa melaksanakan sistem-sistem tinggalan Barat. Sistem ekonomi, perundangan dan pendidikan Barat terus utuh diterap dan dipaksakan ke atas umat Islam. Islam tinggal menjadi ibadah ritual dan kebudayaan semata-mata sebagaimana kedudukan agama di dalam mana-mana sistem sekular. Kaum Muslimin tidak lagi merasa janggal meninggalkan ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi peraturan-peraturan kehidupan asalkan nama Islam dapat dikekalkan dalam sistem-sistem tersebut biarpun tiada kena-mengena dengan sistem Islam yang sebenar. Apabila hukum riba secara nyata diamalkan dalam sistem ekonomi yang ada sekarang, umat Islam langsung tidak merasa bersalah, malah ‘membolehkan’ dan lebih buruk, bergelumang dengan amalan keji ini, walhal mereka membaca ayat-ayat Al-Quran (tentang keharamannya). Keadaan ini diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang sekular yang mempertahankan sistem kufur ini habis-habisan bagi kepentingan kuasa masing-masing. Islam dicanang bagi memancing kepercayaan rakyat biarpun sistem Islam langsung tidak dilaksanakan. Al-Quran dibenarkan dibaca dan dipertandingkan untuk memenangi hati rakyat, namun hukum Al-Quran dilalaikan. Melalui para pemimpin ini, Barat berjaya mengekalkan ‘hegemoni’ pemikiran mereka ke atas umat Islam.
Inilah hakikat yang sedang melanda sebahagian besar umat Islam dewasa ini. Mereka berang apabila orang-orang kafir menghina Al-Quran secara fizikal tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka menghina Al-Quran apabila menidakkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya dan menggantikannya dengan hukum-hukum ciptaan manusia. Mereka marah apabila orang-orang kafir mencampakkan Al-Quran ke dalam tandas tetapi pada masa yang sama mereka mencampakkan ayat-ayat Al-Quran ke tepi apabila tidak berhukum dengan hukum Al-Quran, malah mengatakan bahawa hukum Islam boleh dan perlu diubah mengikut keadaan zaman. Mereka mencela apabila mendapati orang-orang kafir cuba memesongkan ayat-ayat Al-Quran walhal mereka sendiri menterjemah dan mentafsir ayat-ayat Al-Quran agar sesuai dengan kehendak orang-orang kafir. Realitinya, mereka ini tidak meletakkan Al-Quran di tempat yang sepatutnya tetapi meminggirkan kitab pembimbing umat ini. Malah, mereka sekadar menjadikannya sebagai satu objek kerohanian yang hanya akan digunapakai apabila perlu sahaja. Al-Quran dibaca sebagai amalan tambahan di bulan Ramadhan atau sebagai ‘santapan rohani’ tatkala diri mendambakan pemenuhan naluri beribadah (gharizah at-tadayyun).
Begitulah kedudukan Al-Quran yang telah hilang fungsi dan terpadam sebab nuzulnya dari pemikiran umat. Al-Quran yang asalnya turun sebagai panduan kepada manusia kini hanya sekadar dijadikan objek keagamaan yang statik tanpa apa-apa erti dalam kehidupan seharian melainkan sebagai kitab suci yang perlu dibaca secara peribadi untuk meraih pahala. Memanglah membaca Al-Quran itu merupakan satu tuntutan, namun, mereka ini benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai sebuah ‘kitab bacaan’, bukan kitab amalan. Pendek kata, jika mereka membaca Al-Quran, hal ini amat jauh berbeza berbanding mereka membaca Perlembagaan Persekutuan, Akta atau Enakmen. Mereka tahu bahawa Perlembagaan adalah kitab yang wajib diterapkan, namun tidak Al-Quran. Mereka ‘hidup’ dengan berpandukan Perlembagaan, Akta dan Enakmen tetapi tidak hidup berpandukan Al-Quran. Inilah antara kemenangan golongan kuffar Barat (Yahudi dan Nasara) dalam menyesatkan umat Islam mengikut cara mereka. Ziyad bin Labid meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pada suatu hari berbicara tentang sesuatu, lalu bersabda,
"Akan tiba satu masa di mana ilmu itu akan hilang." Ziyad berkata, "Wahai Rasulullah, bagaimana ilmu boleh hilang sedangkan kita membaca Al-Quran dan mengajarkannya kepada anak kita dan anak kita membacakannya kepada anak mereka sehinggalah hari Kiamat?" Baginda menjawab, "Wahai Ziyad, semoga ibumu menangisimu, aku kira kamu adalah orang yang sangat memahami agama di Madinah, adakah engkau tidak melihat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasara juga membaca Taurat dan Injil, tetapi mereka langsung tidak mengamalkan isinya?” [HR Ahmad, Ibnu Majah, Tirmizi]
Al-Quran – Kitab Pemerintahan
Islam merupakan satu agama yang lengkap darihal cara-cara membuang air hinggalah cara mentadbir dunia. Islam bukan sekadar agama yang mengatur rumahtangga, malah Islam adalah agama yang dijadikan Allah untuk mengatur dunia. Inilah antara tujuan dari diturunkan Al-Quran yakni untuk menjadi petunjuk bagi manusia di dalam segenap tindak-tanduknya, dari menjaga anak hingga menjaga negara. Dunia wajib diperintah dengan Islam dan manusia seluruhnya (samada kafir mahupun Islam) wajib tunduk kepada ketentuan Ilahi. Nah, tidak cukupkah lagi untuk kita memahami bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab untuk mengatur dan memerintah dunia ini mengikut kehendak Penciptanya? Justeru, apakah layak bagi manusia mencipta aturan sendiri, malah mengambil aturan golongan kuffar musuh Allah untuk mengatur hidup mereka, negara mereka dan dunia umumnya? Amat hinalah manusia yang telah mengambil hukum selain hukum Allah dan dijadikan undang-undang untuk mengatur kehidupan dunia. Tersesatlah manusia yang hanya berdiam diri menyaksikan segala bentuk kekufuran ini tanpa berbuat apa-apa. Mereka sesungguhnya telah lari dari petunjuk.
Turunnya Al-Quran adalah untuk menjadi petunjuk kepada seluruh manusia dalam menguruskan kehidupan mereka di dunia fana ini. Al-Quran adalah sumber penerangan dan penyelesaian kepada permasalahan manusia hinggalah ke hari kiamat. Allah berfirman,
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].
Konsep Al-Quran sebagai Al-Huda (petunjuk) perlu difahami dari aspek kehidupan manusia yang memerlukan panduan dan jawapan kepada setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Di dalam Al-Quran terkandung semua panduan yang dapat menyelesaikan permasalahan manusia merangkumi hukum-hakam Islam dalam bab aqidah, ibadah, akhlak, muamalat, uqubat, pemerintahan dan sebagainya. Al-Quran juga memberikan sumber rujukan bagi mereka yang memerlukan jawapan bagi membuat pilihan dalam hidup sesuai dengan peranannya sebagai pembeza (Al-Furqan). Yang mana baik dan yang mana buruk tidak sepatutnya diukur dari penggunaan aqal manusia yang cetek tetapi harus dilihat dari perspektif yang telah digariskan di dalam Al-Quran. Dengan kata lain, Al-Quran bukanlah sekadar sebuah kitab yang diberikan pahala jika membacanya semata-mata tetapi Al-Quran itu adalah kitab panduan bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan mereka di atas muka bumi ini. Al-Quran umpama ‘manual’' kehidupan yang perlu sentiasa dirujuk oleh umat manusia untuk memastikan kehidupan mereka berjalan lancar selari dengan fitrah kejadiannya.
Malangnya pemerintahan dunia Islam yang ada sekarang telah terpisah dari Al-Quran. Dengan kata lain, Al-Quran dan pemerintahan telah menjadi dua perkara yang tidak ada hubungannya antara satu sama lain. Walhal di zaman Rasulullah dan Khulafa’ Rasyidin, mereka menjalankan roda pemerintahan dengan Al-Quran. Hukum-hukum Al-Quran adalah hukum-hukum pemerintahan, baik ianya menyentuh uqubat ataupun muamalat. Hukum qisas berjalan, hukum hudud dilaksana, pencuri dipotong tangan, penzina disebat dan direjam, riba dan judi diharamkan, kesihatan diberi percuma, pendidikan dan keamanan dinikmati, kekayaan negara dikongsi, jihad dilancarkan, ghanimah dikumpul, kharaj dipungut, jizyah dikutip, darah dan kehormatan umat Islam dijaga dan keseluruhan hukum-hukum Al-Quran lainnya adalah diterapkan di dalam pemerintahan. Bagaimana dengan sekarang? Hukum Al-Quran dibuang, hukum kufur dijulang; ajaran Al-Quran diketepi, Akta dan Enakmen dipatuhi; hukum Islam dikebumikan, hukum manusia kemaskinikan; pemerintahan bukan lagi bertunjangkan Al-Quran, tapi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Benarlah apa yang telah disebut oleh Rasulullah 14 abad yang lalu,
“Sesungguhnya akan terungkai ikatan Islam itu, satu demi satu. Setiap kali terungkai satu ikatan, mereka (umat Islam) akan berpegang dengan ikatan yang seterusnya. Yang pertama terungkai adalah Pemerintahan dan yang terakhirnya adalah solat” [HR Imam Ahmad].
Mafhum yang boleh diambil dari hadis ini adalah bahawa Islam itu mengandungi pelbagai hukum yang mengikat umatnya umpama satu tali yang besar yang mengikat kesemua tali-tali yang lain. Tali yang besar itu adalah ‘pemerintahan’ dan semua tali-tali yang lain mencerminkan hukum-hukum syara’ yang diterapkan di dalam pemerintahan tersebut. Hadis ini menjelaskan bahawa ikatan Islam (hukum syara’) ini akan terlepas dari umat Islam satu demi satu dan yang pertama sekali akan terlepas adalah tali pemerintahan. Benar! Sistem pemerintahanlah yang mengikat segala-galanya di mana apabila yang diterapkan adalah sistem pemerintahan Islam, maka sistem ini akan menjaga dan memastikan semua hukum yang berjalan adalah hukum Allah. Hal ini dapat kita saksikan di sepanjang sejarah Daulah Islam di mana dengan penerapan Sistem Pemerintahan Khilafah, sistem ekonomi, sosial, pendidikan, urusan dalam negeri, polisi luar negeri dan segalanya berjalan mengikut ketentuan syara’. Jika ada perlanggaran sekalipun, maka hukum syara’lah yang akan digunapakai untuk menghukum segala perlanggaran tersebut.
Setelah jatuhnya Daulah Khilafah yang sekaligus menandakan terburainya ikatan yang utama, maka ikatan-ikatan Islam yang lain pun terlepaslah dari umat Islam satu persatu. Negeri kaum Muslimin mula terlepas satu demi satu dan yang mengikat mereka bukan lagi ikatan akidah (ikatan Islam), tetapi ikatan assabiyyah dan wathaniyyah (ikatan kufur). Dengan runtuhnya Sistem Pemerintahan Khilafah, umat Islam mengambil sistem pemerintahan kufur dari Barat, baik Sistem Republik, Monarki, Persekutuan dan sebagainya, semuanya berteraskan sistem demokrasi-sekular ciptaan Barat. Dengan hancurnya Daulah Khilafah, maka berkecailah juga sistem ekonomi Islam, sistem sosial Islam, pendidikan, hudud, qisas, ta’zir, mukhalafat, jihad dan sebagainya dan digantikan dengan undang-undang kufur dari Barat. Bukan setakat itu, malah hukum-hukum per individu pun turut terburai seperti masalah akhlak, aurat, riba, zakat, puasa dan seumpamanya di mana kita menyaksikan kerosakan akhlak yang dahsyat, pendedahan aurat di mana-mana, penyelewengan asnaf zakat, pengambilan riba yang merajalela dan banyak lagi yang telah tercabut dari umat ini, dan negara pula langsung tidak mengambil apa-apa tindakan. Pendek kata, benarlah sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa setelah terlucutnya ikatan pemerintahan, maka ikatan Islam lainnya akan terungkai satu demi satu dari umat Islam dan yang akhir sekali akan terlucut adalah solat. Sesungguhnya Al-Quran dan pemerintahan telah benar-benar terpisah.
Wahai kaum Muslimin! Keadaan ini wajib diubah. Semua ikatan Islam mesti disatukan kembali, walau sesukar mana sekalipun, yang pasti ia bukan suatu kemustahilan. Satu kebangkitan yang sistematik perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif yang ingin dicapai dapat direalisasikan dengan sempurna. Pertamanya, umat Islam memerlukan anjakan paradigma dengan membuang segala bentuk pemikiran kufur dan menggantikannya dengan pemikiran Islam, semata-mata Islam. Kebangkitan pemikiran ini perlu dimulakan dengan kembali melihat Islam sebagai sebuah agama yang bersifat praktikal di dalam menyelesaikan seluruh aspek kehidupan. Umat Islam perlu berpegang bahawa Al-Quran bukanlah sekadar sebuah kitab yang perlu dibaca namun jauh lebih dari itu, ia wajib diamal dan diterapkan hukum-hakamnya bagi mengatur kehidupan manusia. Keduanya, setelah kefahaman terhadap Islam sebagai satu ideologi (mabda’) yang menjadi paksi kepada kehidupan, maka perlu ada usaha dakwah dalam memastikan pemahaman tersebut membenak di dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia. Segala kefahaman Islam yang salah perlu diperbetulkan agar pemikiran Islam yang bersih dan jernih sahaja yang kekal dan menjadi asas kebangkitan umat seluruh dunia. Ketiganya, satu gerakan/parti politik secara kolektif yang tersusun perlu ada agar usaha-usaha untuk mengembalikan sistem-sistem Islam ini ke atas manusia sejagat dapat dilaksanakan menerusi gerakan politik yang terancang. Gerakan bersifat politik ini perlu bagi memandu emosi umat Islam yang semakin membara mahukan kembalinya Islam di dalam kehidupan mereka secara penuh (kaffah). Akhirnya, tidak dapat tidak sebuah entiti pemerintahan (Daulah Khilafah) perlu wujud bagi menyatukan semula kesemua ikatan Islam yang ada, sekaligus menerapkan semula segala hukum yang terkandung di dalam Al-Quran dalam bentuk penerapan yang praktikal dan menyeluruh.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Bersempena dengan bulan penurunan Al-Quran ini, marilah kita memuhasabah diri kita sejauh manakah kita telah berusaha untuk menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam hidup kita. Sejauh manakah kita telah mengamalkan ajaran-ajaran Al-Quran dan apakah usaha yang telah kita curah untuk memastikan hukum-hukum Al-Quran diterapkan di negara ini khasnya dan di dunia amnya. Sejauh manakah kita telah berusaha untuk merubah hukum-hukum kufur yang ada sekarang untuk menggantikannya dengan hukum-hukum Al-Quran. Atau adakah kita termasuk ke dalam kategori mereka yang menjadikan kitab Allah ini sekadar tulisan-tulisan yang tersemadi di dalam mushaf-mushaf usang semata-mata. Periksalah diri kita samada kita telah membumikan segala ajaran Al-Quran atau kita termasuk ke dalam golongan yang mengkebumikan ajaran Al-Quran. Ingatlah! Jika kita tidak mengambil Al-Quran sebagai petunjuk, maka kita akan sesat; jika kita cuai dengannya kita akan celaka; jika hari ini kita melupakan Al-Quran, maka esok kita akan dilupakan; jika hari ini kita mengkebumikan Al-Quran, maka esok kita akan pasti dikebumikan. Dan ingatlah, setelah itu kita akan dibangkitkan dan dihisab. Fikirkanlah, siapakah yang dapat menolong kita di kala itu, di waktu dan saat tiada gunanya harta-benda, anak-anak, rakan-taulan dan sahabat-handai? Siapakah yang dapat menyelamatkan kita dari azabNya? Justeru, ingatlah akan firman Allah ini baik-baik,
“Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: ‘Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?’ Allah berfirman: ‘Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan’.” [TMQ Thaha (20):123-126]
0 comments:
Post a Comment