ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


DUITMU DUITKU JUGA


DUITMU DUITKU JUGA


Sejak akhir-akhir ini, kita dapat melihat Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) begitu agresif memburu ‘mangsa’ mereka. Umum mengetahui bahawa ‘pemburuan’ BPR ini bermula rentetan dari laporan audit negara 2006 yang telah dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. Selain mendapat reaksi positif dari banyak pihak, usaha ini juga dilihat sebagai proses ‘membersihkan’ imej BPR yang telah terjejas teruk dengan pelbagai kes high profile yang selama ini tertutup begitu sahaja, tanpa mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Antaranya adalah kes yang membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom yang dikatakan menerima sogokan 5 juta ringgit bagi membebaskan tiga penjenayah yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat [UM 05/03/07] dan yang paling utama, kes bekas Ketua Pengarah BPR sendiri Datuk Seri Zulkipli Mat Noor yang dilaporkan terlibat dalam rasuah, gangguan seksual dan salah guna kuasa [UM 03/03/07]. BPR juga tidak kurang menerima kritikan hebat dari banyak pihak, khususnya pembangkang yang rata-rata tidak berpuashati dengan tindakan BPR yang hanya menangkap ‘ikan-ikan bilis’ manakala ‘jerung-jerung’ masih lagi terlepas. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad sendiri turut melahirkan kesalan beliau, “Adalah tidak wajar jika ‘bilis’ sahaja ditangkap memandangkan ‘jerung’ dilepaskan. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam urusan rundingan dan melakukan penyelewengan perlu didakwa,” katanya. Beliau juga menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat pembekal yang terlibat dalam kes salah urus dana awam itu [UM 30/10/07]. Kenyataan beliau bagaimanapun nampaknya tidak disenangi oleh Perdana Menteri yang tidak mahu sesiapa ‘masuk campur’ dalam urusan BPR yang menurut PM, bukanlah bodoh sangat dalam melakukan kerja [UM 31/10/07].

Sebenarnya sesiapa sahaja yang berfikiran waras, tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak akan dapat menerima penyelewengan yang telah berlaku. Jika jumlah yang diselewengkan itu RM1.00 sekalipun, ini telah dikira satu penyalahgunaan kuasa, apatah lagi jika jumlah yang terlibat mencecah jutaan ringgit. Bayangkan, (mengikut laporan audit tersebut) kerajaan telah membelanjakan RM8.39 juta lebih dari harga pasaran melalui pembelian 13 barang keperluan oleh pegawai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Antaranya buku teknikal berharga RM10,700.00 untuk satu set walaupun harga pasaran untuk satu set hanya bernilai RM417.00; dua kamera digital 3.1 megapixel dibeli dengan harga RM8,352 sebuah berbanding harga pasaran hanya RM2,999.00 sebuah. Kerajaan juga telah membayar sebanyak RM224.00 untuk satu set alat pemutar skru berbanding harga pasaran RM40.00 dan RM1,146.56 untuk satu set pen teknikal faber castell berbanding harga pasaran hanya RM160.00. Laporan tersebut juga menyebut tentang pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 sebuah berbanding cuma RM50 sebuah di pasaran [UM 23/10/07].

Apa yang dinyatakan di atas hanyalah sebahagian kecil dari apa yang dilaporkan, di mana para pembaca sekalian boleh merujuk terus kepada akhbar-akhbar utama untuk mendapat tahu fakta yang selebihnya. Kita semua yakin bahawa apa yang dilaporkan hanyalah setitik dari selautan penyelewengan yang berlaku dalam jabatan-jabatan kerajaan dan yang ditangkap itu hanyalah beberapa kerat sahaja. Bak kata jika BPR ingin berburu di tengah rimba yang luas, kita semua yakin bahawa binatang yang boleh mereka buru tentu terlalu banyak jumlahnya, namun yang BPR buru dan dapatkan hanyalah beberapa ekor sahaja.

Antara Bilis, Jerung & Kambing Hitam

Walaupun ada beberapa ‘kambing hitam’ yang ‘terpaksa’ diseret ke kandang pengadilan, namun umum mengetahui bahawa ramai lagi yang masih terlepas (atau sengaja dilepaskan) kerana mempunyai ‘immunity’. Kita sering mendengar Peguam Negara tidak melakukan pendakwaan atas alasan ‘tidak cukup bukti’. Sebagai rakyat biasa, kita cukup pelik dengan alasan ini. Kenapa? Tidak cukup bukti bukanlah bermaksud tidak ada bukti! Jadi, apa salahnya untuk mendakwa? Dakwalah dulu, heret ke Mahkamah dulu, kemukakan bukti yang mana ada, kemudian biar Mahkamah yang buat keputusan sama ada (dengan bukti yang ada) mereka ini boleh disabitkan atau tidak. Lagipun, bukannya tidak ada kes-kes lain selama ini yang telah pun dibawa ke Mahkamah (oleh atau dengan izin Peguam Negara) dan dilepaskan (oleh Mahkamah) kerana tidak cukup bukti? Maksudnya selama ini boleh dan banyak kali telah dilakukan (pendakwaan tanpa bukti yang cukup). Jadi alasan ‘tidak cukup bukti’ sebenarnya tidak timbul, kecuali ada ikan, ketam dan udang di sebalik batu. Apa pun, sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Di dalam negara Malaysia yang demokrasi ini, hak mendakwa adalah hak beliau sepenuhnya!

Umum mengetahui bahawa BPR sendiri merupakan sebuah badan kerajaan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jadi semestinyalah semua perlantikan dan kuasa yang ada pada BPR adalah atas ‘ihsan’ Perdana Menteri (kerajaan) semata-mata. Siapa tidak tahu bahawa BPR bukanlah badan yang mempunyai kuasa mutlak di dalam banyak hal, khususnya kuasa pendakwaan. BPR sebenarnya langsung tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendakwa. BPR hanya boleh menyoalsiasat dan menangkap mereka yang disyaki, namun bidangkuasa mendakwa adalah terletak dan tertakluk kepada Peguam Negara. Jadi, katalah BPR bersungguh-sungguh menyiasat dan mempunyai bukti yang teramat kukuh sekalipun, kata putus tetaplah berada di tangan Peguam Negara sama ada untuk melakukan pendakwaan atau tidak. Oleh kerana dalam banyak keadaan, Peguam Negara dan para menteri atau sesiapa sahaja yang berpangkat besar dalam kerajaan biasanya adalah ‘sahabat baik’, persoalannya adalah, apakah Peguam Negara akan sanggup dilabel sebagai ‘mengkhianati persahabatan’ atau dicap sebagai ‘kawan makan kawan’ dengan mendakwa ‘sahabat baik’ ini sekiranya benar-benar telah berlaku penyelewangan oleh mereka?

Dalam sistem demokrasi, undang-undang nampaknya telah menjadi alat permainan para pemerintah dan kroni mereka, khususnya dari kalangan kapitalis (golongan kaya raya). Undang-undang dijadikan alat untuk ‘melindungi’ kepentingan mereka dan menghisap darah rakyat. Undang-undang menampakkan ketegasannya hanya terhadap orang-orang kecil, lemah, dan tidak punya ‘kaitan’ dengan pemerintah, namun apabila berhadapan dengan orang-orang besar, kuat, terhormat, memiliki modal (kapitalis) dan dekat dengan pihak atasan, maka undang-undang nampaknya menjadi lunak dan ‘mesra’. Kalaupun ada di antara mereka yang dihukum, seringkali pelaksanaannya hanyalah untuk menutup mulut rakyat, di mana mereka ‘dikorbankan’ sekadar untuk memuaskan hati rakyat dan bagi ‘membuktikan’ bahawa pemerintah tidak memilih bulu. Oleh itu, tidak keterlaluan kalau ada yang mengatakan bahawa apa yang berlaku ini hanya menjadi bukti bahawa memang terdapat beberapa kambing hitam sama ada di peringkat ikan bilis mahupun ikan jerung yang terpaksa dijadikan korban!

Tidakkah para pemimpin belajar bahawa sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membinasakan umat-umat yang terdahulu dari kita kerana apabila golongan atasan mereka melakukan kesalahan, mereka biarkan, namun jika golongan bawahan yang berbuat demikian, mereka hukum? Perilaku beginilah yang hakikatnya telah mengundang azab Allah ke atas mereka semuanya. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita, sebagaimana dituturkan oleh Aisyah ra, “Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!” [HR at-Tirmidzi].

Hak & Kewajiban Kakitangan Awam

Di dalam sistem pemerintahan Islam, pemerintah dan kakitangan awam diangkat tidak lain kecuali untuk mengurusi dan mengelola kepentingan-kepentingan rakyat. Itulah kewajiban mereka. Islam memandang pemimpin dan kakitangan mereka sebagai ‘pelayan’ rakyat, bukan ‘tuan’ bagi rakyat. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Pemimpin (penguasa) adalah pemelihara (rakyatnya) dan dia bertanggungjawab ke atas apa yang dipeliharanya” [HR al-Bukhari]. Rasulullah juga bersabda, “Pemimpin suatu kaum adalah khadam (pelayan) mereka” [HR Abu Nu‘aim]. Banyak lagi hadis-hadis yang senada yang menjelaskan kedudukan pemimpin terhadap orang yang dipimpin (rakyat); mereka adalah sebagai pelayan atau pengurus rakyat. Tidak ada satu keistimewaan (privilege) pun yang ada pada pemimpin kecuali jawatan mereka adalah satu amanah yang Allah letakkan ke atas mereka untuk mengurusi rakyat berdasarkan hukum-hukum Islam.

Namun, realiti yang kita hadapi di Malaysia ini menunjukkan sebaliknya. Banyak kepentingan dan kemaslahatan rakyat yang terabai. Pelayanan dan pengurusan kepentingan rakyat sering hanya menjadi janji politik yang jauh panggang dari apinya. Amat menyedihkan apabila para pemimpin nampaknya hanya berminat untuk mempertahankan kekuasaan dan jawatan yang dinikmati. Berbagai kemaslahatan rakyat seperti jalanraya, elektrik, minyak, air, keamanan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya ‘dirampas’ dari rakyat di mana rakyat dipaksa untuk membayar segala perkara tersebut (dengan harga yang mahal lagi) walhal menurut Islam semua perkara tersebut jelas-jelas merupakan tanggungjawab negara untuk menyediakannya secara percuma kepada rakyat. Sebaliknya, rakyat dipaksa untuk membayar semuanya yang mana ‘hasil’ dari semua itu akan masuk ke poket kerajaan dan para pemilik modal (kapitalis). Sebab itulah satu hal yang maklum di dalam sebuah pemerintahan kapitalis (termasuk Malaysia), yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan bertambah miskin. Jadi, tidak hairanlah jika rasuah dan penyelewengan kuasa sentiasa subur di bumi ini kerana ramai antara mereka yang memegang kekuasaan hanyalah sekumpulan orang yang hanya mementingkan diri sendiri sahaja dan telah hilang sifat amanahnya.

Islam menghalang penyelewengan penjawat awam dengan menjamin kesejahteraan mereka. Selain gaji yang memadai, Baitul Mal juga memberikan kemudahan perumahan, kemudahan beristeri, pembantu rumah dan kenderaan. Sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah, “Sesiapa sahaja yang kami tugaskan (untuk melaksanakan tugas negara), sedangkan dia tidak beristeri, hendaknya dia mencari isteri, dan jika tidak punya kenderaan hendaknya dia mencari kenderaan, jika dia tidak mempunyai khadam, maka ambillah khadam. Sesiapa yang mengambil di luar batasan itu maka dia telah melakukan kecurangan (menggelapkan harta)” [HR Ahmad, Hakim & Abu Daud].

Dengan jaminan ini, sangat kecil kemungkinan/peluang untuk terjadinya penyalahgunaan kuasa/jawatan, apatah lagi dengan adanya penapisan yang jelas dari pihak negara. Seorang dari tokoh terkenal Islam adalah Abu Zar yang berjaya mengislamkan majoriti dari kaum Ghifar, pernah meminta jawatan untuk menjadi penguasa daerah itu tetapi ditolak oleh Rasulullah. Sambil menepuk-nepuk bahunya, Rasulullah bersabda “Wahai Abu Zar, kamu adalah seorang yang lemah dan sesungguhnya jawatan itu adalah amanah yang akan membuat penjawatnya menjadi hina dan menyesal di hari Kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan kebenaran dan menunaikan segala kewajibannya” [HR Muslim]. Bayangkanlah seorang sahabat Nabi yang terkenal berani ini yang mengisytiharkan keislamannya di Kaabah dan dibelasah beramai-ramai oleh kaum Quraisy, namun Rasulullah tidak memberinya memegang jawatan kerana kelemahannya. Jika dibandingkan ilmu, keberanian dan jasanya terhadap Islam, dia jauh lebih baik dari pemimpin Muslim terbaik yang ada pada ketika ini. Apatah lagi berbanding pemimpin yang diketahui lemah, lalai, khianat, memakan wang rakyat, mengamalkan kronisme dan nepotisme dan memilih penasihat dari kalangan kaum kerabatnya.

As-Sya’bi mengisahkan bahawa Khalifah Umar al-Khattab selalu mengaudit harta dari kalangan pegawainya yang baru dilantik. Pada satu masa lain, beliau akan menghitung balik nilai kekayaan yang terkumpul. Bila terdapat selisih yang tidak munasabah dengan perhitungan gajinya, maka harta itu akan disita separuh ataupun sepenuhnya. Menurut kesaksian Ibnu Umar, bapanya ini pernah mengaudit harta walinya iaitu Saad bin Abi Waqqas [Tarikh Khulafa, Imam Sayuthi]. Ibnu Umar (anaknya) sendiripun tidak terlepas dari diaudit oleh Umar. Ketika Umar melihat unta gemuk milik anaknya di pasar, beliau menyitanya dan modal asal dibiarkan dimiliki oleh anaknya itu. Ini kerana Umar mendapat tahu sendiri yang unta itu menjadi gemuk kerana digembala bersama-sama dengan unta-unta Baitul Mal, di padang ragut yang terbaik [Umar Al-Khattab, Muhammad Shabih]. Sesungguhnya banyak lagi kisah-kisah Umar yang mengaudit pegawai-pegawainya yang dilakukan dengan penuh terperinci dan hati-hati. Bahkan umar tidak memandang rendah penggelapan meskipun sekadar pelana unta [Al-Amwal, Abu Ubaid].

Umar al-Khattab malah tidak sekadar menunggu laporan terperinci, beliau bertindak pro-aktif dalam menyelidiki para wali dan mengaudit mereka. Beliau menjadikan musim haji untuk mendengar laporan dari para wali dan mendengar keluhan rakyat terhadap walinya. Diriwayatkan bahawa Umar pernah bertanya kepada orang-orang di sekitarnya, “Bagaimana pendapat kalian jika aku mengangkat amil bagi kalian dari orang yang terbaik yang aku ketahui, lalu aku perintahkan ia berlaku adil, apakah aku telah menunaikan apa yang telah dibebankan kepada ku? Mereka menjawab ‘Benar’. Umar lalu berkata: “Tidak hingga aku melihat aktiviti-aktiviti mereka, apakah mereka melakukannya sesuai dengan yang aku perintahkan atau tidak”.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula, setelah dibai’ah menjadi Amirul Mukminin segera melakukan ‘pembersihan’ terhadap harta keluarga bekas pegawai negara yang terdahulu. Kekayaan keluarga penjawat awam atau pemimpin lepas yang diperolehi melalui penyalahgunaan kuasa diputihkan (dibersihkan) oleh Umar bin Abdul Aziz. Beliau menyita tanah dan harta yang lain yang dikuasai Bani Umayyah secara tidak sah, dan beliau memulakan dengan dirinya sendiri. Beliau melepaskan haknya atas semua haiwan tunggangannya, perabot rumah, minyak wangi yang kemudiannya dijual dengan harga 23,000 dinar. Kesemuanya itu dimasukkan ke dalam tabung negara (Baitul Mal) [Ibnu Saad, Thabaqat; Tarikh Khulafa]. Setelah membersihkan dirinya, beliau mula menoleh kepada isterinya, yang mendapat warisan perhiasan dari bapanya (bekas khalifah) iaitu Abdul Malik. Katanya, “Wahai isteriku, pilihlah sama ada dikau kembalikan semua harta ini ke Baitul Mal, atau kita berpisah... Isterinya menjawab, “Aduhai Amirul Mukminin! Seandainya pun aku memiliki perhiasan berlipatkali ganda (dari ini), aku tetap memilihmu” [Hulyatul Ihya]. Setelah itu, Umar bin Abdul Aziz memutihkan kekayaan dari Bani Ummayyah terutamanya keluarga Marwan, dengan mencabut kemudahan dan kemewahan dengan mengembalikannya kepada Baitul Mal.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah memerintahkan para sahabat untuk solat jenazah ke atas seorang rakan mereka yang gugur dalam pertempuran Hunain. Timbul kehairanan di kalangan sahabat kerana seorang yang syahid biasanya tidak disolatkan, Rasulullah kemudian menjelaskan, “Sahabatmu ini telah membuat curang (menggelapkan harta) di jalan Allah..”. Ketika Zaid membongkar peralatannya, beliau menjumpai permata milik yahudi berharga 2 dirham [Al-Muwattha, no 1010]. Inilah beberapa gambaran yang menjelaskan kepada kita betapa jawatan yang diserahkan kepada seseorang itu adalah satu amanah yang boleh membawa kemuliaan atau kehinaan kepada penjawatnya.

Ancaman Allah Terhadap Mereka Yang Khianat

Daripada laporan akhbar, kita amat sedih apabila mendapati kakitangan awam yang didakwa melakukan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini rata-ratanya terdiri dari orang-orang Islam. Apa yang berlaku ini merupakan manifestasi hidup di dalam sebuah sistem yang telah rosak di negara ini. Manusia yang baik sekalipun jika hidup dalam persekitaran yang rosak akhirnya akan turut rosak, kecuali mereka yang benar-benar ikhlas dan bertaqwa. Sistem Kapitalis kufur ini, di mana-mana pun ia diterapkan akan menjerumuskan manusia ke lembah kejahatan, melenyapkan sifat-sifat luhur seorang insan dan diganti dengan sifat-sifat kotor dan keji. Sistem ini menjadikan matlamat hidup manusia berkiblatkan nilai materialistik, mengejar kebendaan dan pemenuhan hawa nafsu semata-mata tanpa memperdulikan halal dan haram. Bagi ramai umat Islam yang walaupun masih berakidah Islam, hidup di dalam negara yang berasaskan kapitalisme, kekejian sistem ini sedikit demi sedikit mempengaruhi kehidupan mereka sehingga hilanglah sifatnya sebagai seorang Muslim. Taqwa kepada Allah hanya terlihat dalam beberapa ibadah khusus sahaja yang merangkumi hanya sebahagian kecil kehidupannya, manakala selebihnya, manfaatlah yang menjadi ukuran dan rutin harian hidup mereka. Akhirnya ramai menghidapi penyakit yang sama yang dihidapi oleh orang-orang kafir malah lebih teruk lagi.

Sebagai seorang Muslim, para pemimpin dan penjawat awam itu hendaklah sedar dan insaf bahawa mereka mempunyai tugas dua dimensi. Pertama, tugas mereka kepada manusia di dunia dan kedua, tugas mereka kepada Allah dalam mematuhi perintah dan laranganNya. Allah akan pasti menyoal mereka di akhirat kelak tentang tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu-bahu mereka ini. Dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tiada seorang hamba pun yang diserahi Allah memelihara dan mengurus (kepentingan) rakyat (lalu) meninggal, sementara dia (dalam keadaan) menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan atas dirinya syurga.” [HR Muslim, Ahmad dan ad-Darimi]. Di manakah letaknya kejujuran apabila membeli alat pengangkat kereta dua tan dengan harga RM5,741 sebuah, yang mana harga pasaran cuma RM50 sebuah? Apakah ini bukan satu penipuan? Apakah bukan satu penipuan apabila jerung-jerung mengatakan mereka tidak tahu menahu akan hal ini, malah mereka cuba berlepas diri darinya? Apakah tidak termasuk penipuan apabila jutaan ringgit dihabiskan bukan pada tempatnya? Rasulullah bersabda, “Wahai manusia, siapa saja di antara kalian yang diangkat menjadi pegawai kami untuk melaksanakan suatu tugas, lalu dia menyembunyikan (menggelapkan) sebesar jarum atau yang lebih kecil dari itu, sesungguhnya itu adalah harta haram (ghull) yang akan dipikulnya pada Hari Kiamat.” [HR Muslim].

Sesungguhnya suatu jawatan itu adalah amanah dan wajib diserahkan kepada yang layak memegangnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah (yang dipercayakan kepada) kamu, sedang kamu mengetahui” [TMQ al-Anfal (8):27]. Di antara pengkhianatan penguasa adalah apabila dia menyerahkan jawatan kepada orang yang tidak layak memegangnya, di mana Rasulullah bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Ditanyakan, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana amanah itu disia-siakan?’ Beliau menjawab, ‘Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak) maka tunggulah saat kehancurannya.” [HR al-Bukhari dan Ahmad]. Jika ada orang yang lebih layak, sementara pemimpin justeru menyerahkan urusan kepada orang yang tidak layak, maka ia telah berkhianat kepada Allah, RasulNya, dan kaum Muslimin keseluruhannya. Dari Iyadh bin Himar al-Majasyi, pada suatu hari Rasulullah bersabda dalam khutbahnya, “...dan penghuni neraka itu ada lima golongan...dan orang yang berkhianat, iaitu orang yang tidak tersembunyi keinginannya meski kecil kecuali ia akan mengkhianatinya...” [HR Muslim].

Dalam sistem pemerintahan Islam yang dibawa oleh Rasulullah, kita melihat bahawa Rasulullah (sebagai Ketua Negara) adalah orang yang memerhatikan atau mengaudit secara langsung segala kesalahan kakitangan negara yang dilantik baginda. Begitu juga Umar (dan lain-lain Khalifah) yang terkenal begitu prihatin dan tegas dengan kesalahan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang dilantik mereka. Selain dari pengawasan langsung oleh Ketua Negara, Islam juga menyediakan penyelesaian yang sistematik untuk menghilangkan sebarang bentuk kezaliman dan kefasikan yang berasal dari Ketua Negara mahupun pegawai negara (penjawat awam) dengan adanya sebuah Mahkamah khas (Mahkamah Mazalim) yang akan menerima segala bentuk aduan dan membicarakan semua salah laku pegawai negara, termasuk Khalifah itu sendiri. Bandingkanlah dengan negara Islam Hadhari yang ada sekarang di mana Ketua Negara, bukan sahaja tidak terjun secara langsung mengaudit pegawai-pegawainya, malah mengalihkan tanggungjawab tersebut kepada satu badan lain, yang tidak ada kuasa pun untuk mendakwa!

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita tentunya mendambakan seorang pemimpin yang adil dan amanah. Namun, tidak akan ada pemimpin yang adil dan amanah apabila sistem dan undang-undang yang mereka terapkan adalah sistem dan undang-undang kufur. Keadilan dan amanah hanya akan melekat kepada seorang pemimpin apabila pemerintahannya adalah berdasarkan Islam dan undang-undang yang diterapkannya adalah berdasarkan Quran dan Sunnah. Apabila Allah memerintahkan pemimpin untuk berlaku adil, maka pemimpin itu akan menjadi adil apabila ia berhukum dengan hukum Islam. Apabila Allah memerintahkan pemimpin itu untuk menjadi amanah, maka pemimpin itu dikatakan menunaikan amanah Allah apabila mereka memerintah dengan Islam. Inilah amanah Allah kepada sang pemimpin – memerintah dengan kitab yang Allah telah turunkan, bukannya memerintah dengan ‘kitab’ buatan manusia!

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR