ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


Perpaduan OIC : Bersatu Untuk Berpecah



Perpaduan OIC : Bersatu Untuk Berpecah






Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Peranan Negara-Negara Islam pada 16 Julai menyifatkan semangat perpaduan antara umat Islam di seluruh dunia perlu diperbaharui bagi memastikan negara umat Islam dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam dunia global. Memetik ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. “Untuk ke depan, kita perlu memperbaharui pemahaman kita terhadap Islam. Kita mesti bergerak di luar politik serta konflik dan menumpu kepada isu-isu yang benar-benar menjejaskan ummah seperti menangani kemiskinan tegar, menghapuskan buta huruf dan meningkatkan kualiti hidup. Ini yang patut menjadi tumpuan kita,” katanya. Dalam hal ini Abdullah berkata, untuk mencapai hasrat itu, negara-negara Islam juga perlu mula menghidupkan semula kedudukan ekonomi mereka melalui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). OIC akan terus menggalakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi antara umat Islam agar keadaan ekonomi mereka dapat terus diperbaiki.

Daripada teks yang dibacakan oleh Timbalan Perdanan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, jelaslah bahawa pemikiran yang bersifat Nation State masih menjadi penghalang kepada penyatuan umat Islam. ‘Penyatuan’ umat Islam di dalam OIC sebenarnya hanya suatu bentuk persepakatan dan persefahaman di dalam beberapa isu utama. Tetapi hakikatnya setiap negara yang menjadi anggota OIC sebenarnya masih hidup di dalam perpecahan. Mereka mempunyai bendera, sistem hidup dan sempadan masing-masing.

Walhal Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk bersekutu di dalam perpecahan. Umat Islam adalah umat yang satu. Islam mengajarkan bahawa umatnya hanya mempunyai satu pemimpin, satu negara dan tiada sempadan politik yang memisahkan antara wilayah mereka. Ianya telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Salam, Khulafaur Rasyidin RA dan para khalifah sesudah mereka. Tetapi sejak 3hb Mac 1924, Daulah yang satu itu telah dilemahkan dan diruntuhkan oleh gerakan-gerakan Assobiyyah (Nationalism) yang bergerak secara bawah tanah dan sebilangan anggotanya terdiri daripada kaum muslimin sendiri. Mereka itu telah terpengaruh dengan tsaqafah barat dan diperalatkan untuk menjatuhkan Daulah Islam.

Justeru, sebarang cadangan ke arah perpaduan melalui OIC untuk menyelesaikan masalah umat Islam tidak akan pernah menjadi kenyataan. Ini adalah kerana umat Islam telah terpecah-belah berdasarkan bangsa dan sempadan geografi serta tertipu dengan slogan-slogan assabiyyah, sesuatu yang sama sekali tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ’Alaihi Wa Salam.

“Tidak termasuk golongan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, yang berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah.” [HR Abu Daud]

“Siapa sahaja yang berperang di bawah panji kejahilan, ia marah kerana assabiyyah atau menyeru kepada assabiyyah atau ikut menolong (membantu) demi assabiyyah, kemudian ia terbunuh, maka matinya adalah mati Jahiliyyah” [HR Muslim]

Sesungguhnya perpaduan umat Islam, secara hakikinya hanya dapat dicapai melalui entiti politik umat Islam yang satu, iaitu Daulah Khilafah, dan bukannya oleh persamaan budaya, kerjasam ekonomi, pendidikan ataupun melalui OIC.

“... dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliyyah), lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam)....” [TMQ Ali Imran:103]

Wallahu'alam

0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR