Sidang Pemimpin Negara OPEC, Bukti Kesetiaan Rejim Arab Saudi Kepada Rejim Amerika Syarikat
Sidang Pemimpin Negara OPEC, Bukti Kesetiaan Rejim Arab Saudi Kepada Rejim Amerika Syarikat
Persidangan pemimpin negara OPEC di Riyad baru-baru ini telah berakhir dengan beberapa cadangan yang agak kontroversi dari beberapa buah negara pengeluar minyak. Antara yang mengemukakannya adalah tokoh yang agak kontroversi iaitu Hugo Chavez dari Venezuala dan Ahmadinejad dari Iran.
Sebagaimana yang telah dilaporkan oleh BBC, antara perkara yang agak kontroversi yang dicadangkan oleh Ahmadinejad adalah memulau USD sebagai alat pertukaran untuk komoditi petroleum, ini kerana USD telah jatuh secara kronik sejak 12 bulan yang lepas. Beliau berkata "They [the US] get our oil and give us a worthless piece of paper," Mengikut pendapat Ahmadinejad, perolehan semakin berkurangan kerana penurunan nilai USD sebagai alat tukaran di pasaran dunia, yakni apabila petroleum dijual dengan USD. Dia juga menggesa supaya urusan jual-beli petroleum menggunakan mata wang lain, bahkan dia mengatakan bahawa negara-negara OPEC bersetuju untuk mencairkan simpanan USD mereka kepada mata wang lain. Jepun misalnya, telah mengorak langkah membeli petroleum dari Iran dengan mata wang Yen. Dalam pada itu, Rejim Kerajaan Arab Saudi - sekutu rapat Rejim AS - sibuk membela penggunaan mata wang USD dan menyerang pendapat Ahmadinejad, bahkan kenyataan rasmi dari Kerajaan Arab Saudi, agar tidak memasukkan isu ini bahkan mereka memberi amaran bahawa perkara sebegini akan menurunkan lagi nilai USD. Apa yang diperkatakan oleh Ahmadinejad ini ada kebenarannya, di AS sendiri, sebuah rancangan TV satelit CNBC ada membuat liputan tentang 'Dollar in Danger' yang mendatangkan beberapa orang ahli ekonomi untuk berdebat dalam masalah ini, jelas sekali terdapat nada cemas dengan kejatuhan USD di pasaran mata wang dunia, tetapi ada yang bersahaja mengatakan ia akan pulih mungkin hanya sekadar untuk menyedapkan hati.
Hugo Chavez yang sekarang menjadi Hero benua Amerika Latin, telah mengugut dunia secara 'psikologi', sekiranya negara Iran diserang oleh Rejim AS maka harga minyak akan naik sehingga ke paras USD200 untuk satu tong. Walaupun kita tahu dalam masa terdekat ini Rejim AS tidak mampu untuk berperang lagi, kerana mereka sendiri menghadapi masalah di Iraq dan juga di Afghanistan, tambahan pula ada masalah dalaman antara Bush dengan parti Demokrat. Iran merupakan pengeksport minyak utama dunia. Sekarang kita tahu bahawa Rejim AS tidak akan memerangi Iran, dan krisis nuklear Iran adalah alat propaganda Rejim AS untuk menjustifikasikan penjajahan di Iraq dan Afghanistan.
Hugo Chavez dan Rafael Correa (Ecuador) lebih menekankan bahawa petroleum ini boleh dijadikan alat untuk agenda politik, namun perkara ini ditentang hebat oleh Rejim Arab Saudi. Sebagaimana selalunya apabila ada cadangan yang merugikan tuan mereka iaitu Rejim AS, maka mereka akan membangkang bahkan dengan nada berhelah Raja Abdullah berkata "Kepada sesiapa yang inginkan OPEC menggunakan kesempatan kerana kelebihannya, mereka mungkin telah melupai bahawa dasar OPEC adalah sederhana dan bijak". Dia mengujarkan lagi, "Jangan sekali-kali menggunakan minyak untuk konflik, tetapi gunakanlah untuk kemajuan". Nampak dengan jelas sekali sekutu kuat Rejim AS perlu mencari-cari helah untuk menjaga kepentingan tuannya, sebagaimana yang dilaporkan bila pertempuran Israel dan Hizbullah di Lubnan, yang mana Israel mengebom tempat-tempat awam, dan Rejim AS menghantar senjata ke Israel, bila ditanya kepada Raja Abdullah kenapa dia tidak memberhentikan eksport minyak kepada Rejim AS, dia berkata, "...tidak akan mengorbankan kebajikan rakyatnya".
Inilah beberapa episod dalam sidang OPEC tersebut, Rejim AS tidak perlu masuk dalam mesyuarat tersebut untuk membela kepentingannya, kerana telah ada pemimpin Islam yang suka rela untuk menjadi hamba kepada AS yang akan menjaga kepentingannya. Allah Subhana Wa Taala mengharamkan orang kafir menguasai kaum Muslimin, namun Arab Saudi nampaknya merelakan dirinya untuk menjadi sekutu musuh Islam ini, ingatlah perintah Allah kepada kita semua.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya." [TMQ Surah Ali Imran (3): 118]
0 comments:
Post a Comment