MENAGIH HAK ASASI MANUSIA, DARI SIAPA?
MENAGIH HAK ASASI MANUSIA, DARI SIAPA?
Pada 10 Disember lepas, kira-kira 50 orang yang terdiri daripada peguam dan aktivis telah mengadakan perarakan yang bermula di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke bangunan Majlis Peguam di Jalan Raja, Kuala Lumpur. Perarakan itu diadakan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang disambut pada 10 Disember setiap tahun. Perarakan itu walaupun pada awalnya telah dirancang oleh Majlis Peguam, tetapi telah dibatalkan oleh mereka di saat-saat akhir. Namun beberapa orang peguam tetap meneruskannya. Sehubungan itu, pihak polis telah menahan empat orang peguam dan empat aktivis mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun secara haram [UM 10/12/07]. Walaupun hari Hak Asasi Manusia bukanlah merupakan satu sambutan yang utama di Malaysia, malah tibanya tidak dipinta dan perginya tidak ditangisi oleh sesiapapun, tetapi bagi sesetengah kelompok di Malaysia, hari Hak Asasi Manusia ini merupakan suatu yang amat bermakna dan diraikan sebagai satu anugerah bagi manusia.
10 Disember dipilih sebagai hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa sebagai menghormati pengisytiharan ‘The Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) pada 10 Disember 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Di Malaysia, daya usaha menubuhkan sebuah institusi HAM pada peringkat nasional bermula dengan penyertaan Malaysia yang aktif dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (United Nations Commission for Human Rights - UNCHR) pada tahun 1993-95 apabila Malaysia dilantik sebagai ahli Suruhanjaya tersebut oleh Majlis Ekonomi dan Sosial PBB. Sehubungan itu, pada 9 September 1999, tertubuhlah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597). Seksyen 2 Akta ini menyebut bahawa: “HAM merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan”. Peruntukan-peruntukan dalam UDHR ini diakui di Malaysia selama mana ianya tidak tak selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dinyatakan dalam seksyen 4(4) Akta 597, seperti berikut: “Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”
Setelah tertubuhnya SUHAKAM, maka ramailah rakyat Malaysia, termasuk gerakan-gerakan Islam sekalipun yang telah terperangkap dan terpedaya, lalu dalam banyak hal, datang menghadap SUHAKAM untuk menuntut hak dan mengharapkan badan ini agar dapat menyelesaikan tuntutan dan masalah mereka. Dari sini, istilah dan perjuangan menuntut Hak Asasi Manusia menjadi semakin popular dan mendapat tempat di hati rakyat. SN kali ini dengan ruang yang serba terhad akan menjelaskan apakah HAM yang baru dimunculkan oleh kuffar Barat ini merupakan suatu yang ‘suci’ sehingga perlu diambil dan diperjuangkan oleh umat Islam.
Sejarah Ringkas HAM
Hak Asasi Manusia yang sebelumnya dikenali sebagai ‘hak-hak tabii’ (Natural Rights) merupakan sebuah produk pemikiran yang dominan di sekitar zaman pencerahan (renaissance) di Eropah. Ia lahir sebagai suatu penentangan terhadap manipulasi pihak gereja dan Raja Eropah terhadap rakyat atas nama hak ketuhanan yang ada pada raja (divine rights of the king). Sebelum zaman pencerahan Eropah, golongan gereja dan bangsawan selalu menghisap darah rakyat dan mendakwa mereka mewarisi hak dari Tuhan di mana rakyat tidak memiliki hak selain patuh kepada institusi gereja dan raja. Kemudian, disebabkan rasa tidak puas hati kerana sering ditindas semahunya oleh gereja dan golongan bangsawan, golongan cendekiawan dan kelompok-kelompok pedagang yang terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada Institusi beraja mula bangkit. Mereka memobilisasi kelompok karyawan dan pekerja untuk mencetuskan Revolusi Perancis (1779-1789) dan dari saat inilah mereka mempopularkan idea hak asasi yang kemudiannya dijadikan slogan Revolusi Perancis. HAM kemudian dijadikan piagam dalam konstitusi Perancis yang ditetapkan tahun 1791. Sebelum itu slogan-slogan ini diangkat dalam revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1776. Secara umum, HAM kemudian diterima pakai oleh seluruh negara Eropah pada abad ke 19, cuma pada saat itu HAM hanya menjadi urusan dalam negara masing-masing.
HAM baru menjadi peraturan antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua dan setelah berdirinya PBB, iaitu pada saat diumumkan UDHR pada tahun 1948. Kemudian, pada tahun 1961, deklarasi ini disusuli dengan Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Pada tahun 1966, diumumkan pula Perjanjian Antarabangsa Tentang HAM, Ekonomi, Budaya dan Sosial. Meskipun demikian, semua ketetapan mengenai HAM tetap kekal sebagai sebuah peraturan antarabangsa dan AS baru berjaya menjadikannya sebagai undang-undang sejagat (iaitu peraturan yang tidak hanya diterima pakai oleh negara, tapi oleh individu rakyat di dalam negara) selepas tahun 1993, atau dua tahun selepas AS mendominasi PBB secara solo di peringkat antarabangsa setelah kejatuhan Sosialisme. Untuk mengukuhkan lagi HAM sebagai undang-undang dunia, AS kemudian menjadikan HAM sebagai salah satu asas strategi polisi luar negerinya. Ini terjadi pada akhir dekad 70-an pada masa kepimpinan Presiden Jimmy Carter. Sejak dari itu, Jabatan Luar Negara rejim AS selalu mengeluarkan penilaian tahunan mengenai komitmen negara-negara dunia untuk menerapkan HAM. Penilaian tahunan itu juga menilai sejauh mana negara-negara itu memberikan toleransi kepada rakyatnya untuk menjalankan HAM.
Setelah dunia berada di dalam genggamannya, AS lalu mempropagandakan bahawa mereka adalah penjaga dan pejuang HAM. Kemudian HAM dijadikan ‘standard’ oleh AS untuk menilai negara-negara lain di mana rejim ini akan mengambil apa sahaja langkah yang perlu (termasuk perang) jika mereka mendapati negara-negara lain tidak mematuhi HAM. Penilaian ini telah dijadikan ‘justifikasi’ oleh rejim AS terhadap negara-negara, yang oleh Washington dianggap tidak mematuhi prinsip-prinsip HAM untuk mencampuri urusan dalaman negara berkenaan. Bagi yang buta politik, maka mereka akan mengagung-agungkan idea HAM yang dibawa oleh AS ini, tetapi bagi mereka yang sedar dan ikhlas, mereka akan nampak bahawa HAM hanyalah dijadikan ‘alat’ yang cukup efektif oleh AS untuk memastikan dunia terus berada di dalam genggamannya, dan yang paling utama, mereka dapat ‘mengawal dan menguasai’ pemikiran umat Islam. Justeru, kita menyaksikan bahawa atas alasan memelihara Demokrasi dan HAM, AS telah campur tangan di Haiti (1994), AS juga telah menyerang Afghanistan dan Iraq dan menyebabkan ratusan ribu nyawa melayang terutama kanak-kanak dan wanita dan jutaan lagi hidup menderita. Kita juga mendapati bahawa AS hanya menutup mata terhadap negara/pemimpin yang jelas-jelas melanggar HAM seperti Israel, India, Serbia dan sebagainya. Begitu juga terhadap pemimpin umat Islam yang terkenal diktator dan tidak pernah mempedulikan HAM seperti Musharraf, Islam Karimov, Raja Abdullah, Muammar Gadafi, Hosni Mubarak dan lain-lain; AS malah berbaik-baik dan memuji mereka. Inilah sikap ‘double standard’ AS yang jelas menunjukkan HAM hanyalah alat AS bagi menjalankan kepentingan politik mereka.
Undang-undang HAM Bertentangan Dengan Undang-undang Allah
UDHR yang dibuat oleh badan kufur PBB mengandungi 30 Fasal yang menyentuh HAM di dalam pelbagai aspek. Jika kita bandingkan kesemua 30 Fasal tersebut dengan Al-Quran dan Sunnah, maka kita akan dapati perbezaan dan pertentangan yang begitu nyata. Anehnya ada segelintir umat Islam begitu mensucikan HAM ini, malah ada yang begitu lancang menyatakan bahawa ia sesuai dengan Islam. Walaupun ingin sekali kami huraikan pertentangan UDHR ini dengan Islam satu-persatu, namun kerana keterbatasan ruang, kami hanya dapat membincangkan sedikit sahaja dari pertentangan-pertentangan ini. Cuba kita lihat Fasal 1 UDHR yang memperuntukkan, “All human beings are born free and equal in dignity and rights” (Semua manusia dilahirkan bebas dan mempunyai persamaan dari segi martabat dan hak-hak).
Sekali lalu nampak seperti tidak ada salahnya dengan peruntukan ini, namun jika dilihat hukum Islam yang datangnya dari Allah dan telah dilaksanakan sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (jauh sebelum UDHR diluluskan) peruntukan ini terlalu banyak bercanggah dengan ajaran Islam. Di dalam Islam, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan hak kepada manusia sebelum ia lahir ke dunia lagi (dalam keadaan janin)! Setelah dilahirkan pula, seseorang manusia itu ‘tidak bebas’ dan tidak sama di dalam semua perkara hak. Manusia dilahirkan tidak bebas, yang bermaksud manusia itu ‘terikat’ dengan hukum syara’. Dari segi hak pula, manusia ada yang sama dan ada yang berbeza bergantung pada beberapa keadaan dan peringkat (i) Hak janin (yakni) bermula dari umur 40 hari hingga dilahirkan (ii) Hak manusia (kanak-kanak) yang belum mumayyiz (al-tufla) (yakni) dari saat dilahirkan hingga mumayyiz (iii) Hak manusia (kanak-kanak) yang telah mumayyiz sehingga akil baligh (al-tamyiz) (iv) Hak manusia yang telah baligh (al-bulugh) hingga mati (v) Hak manusia setelah mati (hak ke atas mayat). Selain kelima tahap ini, Islam juga membezakan beberapa hak dan tanggungjawab di antara lelaki dan wanita, seperti di dalam hal aurat, perkahwinan dan harta pusaka. Islam juga membezakan hak antara anak zina dengan anak yang dilahirkan hasil dari perkahwinan yang sah.
Menurut undang-undang HAM, semua manusia adalah sama, tidak kira lelaki atau perempuan, anak sahtaraf atau anak zina. Bagi mereka lelaki dan perempuan adalah sama, tidak ada aurat yang membezakan. Mereka membolehkan anak zina mewarisi harta bapa, mereka membolehkan perkahwinan sesama wanita dan juga sesama lelaki dan banyak lagi kekejian lainnya yang mereka bawa atas nama HAM. Adapun Islam telah merincikan hak manusia dari dalam kandungan lagi di mana adanya hukum diyat ke atas janin yang dibunuh atau terbunuh. Janin mempunyai hak untuk hidup dan haram bagi ibunya melakukan pengguguran dengan sengaja. Jika si ibu sengaja menggugurkan janinnya, maka dia wajib membayar satu per sepuluh diyat dan diyat ini dibayar kepada Negara. Namun jika si suami memukul isterinya hingga menyebabkan keguguran, diyat (yang sama jumlahnya) hendaklah dibayar kepada si isteri tadi. Dari segi pemilikan harta umum pula (milkyyahl ‘ammah) seperti hasil gas, petroleum dan bahan galian lainnya, janin mempunyai hak yang sama sebagaimana orang dewasa dan tidak boleh dikurangkan sedikit pun. Ini baru sedikit rincian hukum Islam ke atas janin, belum lagi kita membincangkan keseluruhan hukumnya dan belum masuk lagi hukum-hukum yang lain. Apakah dengan sempurnanya hukum Allah sejak lebih 1,300 tahun yang lalu (sebelum HAM diperkenalkan lagi), kita sanggup mengatakan bahawa HAM yang dibuat oleh badan kufur PBB itu selaras dengan Islam atau berasal dari Islam itu sendiri?
Di bawah HAM, seseorang wanita itu dibolehkan untuk melahirkan atau menggugurkan kandungannya (tidak kira sama ada anak itu hasil dari perkahwinan, perzinaan atau perkosaan) bergantung kepada keputusan si ibu. Isu ini telah mengundang suatu perdebatan moral yang tidak putus-putus di kalangan mereka. Mereka bergaduh dan berdebat di seputar hak janin di dalam kandungan wanita sama ada ia (janin) mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Perdebatan sekitar hak asasi ibu dan hak asasi janin ini berlanjutan tanpa adanya kata putus [lihat wikipedia Pro-life vs Pro Choice]. Perdebatan moral yang tidak berkesudahan juga timbul di kalangan mereka apabila mereka membincangkan tentang kahwin sesama jenis di mana kelompok-kelompok gay dan lesbian akhirnya mendapat hak mereka di bawah nama HAM. Kekejian ini malah menular ke dalam institusi gereja, sehingga menyebabkan gereja berpecah kepada dua iaitu golongan liberal dan konservatif di mana gereja liberal telah menjadi tempat kelompok gay dan transeksual mendapat ‘restu’ atas perbuatan keji mereka [BBC 16 Jun 2007]. Ini baru Fasal 1, yang baru sedikit memberi gambaran tentang kejelikan dan kebobrokan idea yang di bawa oleh HAM dan bagaimana ia bertentangan dengan Islam secara nyata!
HAM – Sebuah Pemikiran Kufur
HAM yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia mahupun yang diperjuangkan oleh segelintir rakyat Malaysia sesungguhnya berakar umbi dari UDHR yang telah diumumkan oleh PBB. Sebagai sebuah badan kufur dan didominasi oleh negara-negara kufur, sudah selogiknyalah UDHR/HAM itu digubal menurut pemikiran kufur mereka. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan dalam mana-mana negara pun, termasuklah Malaysia.
(1) Kebebasan Beraqidah/beragama: Kebebasan beraqidah menurut HAM ertinya ialah manusia berhak untuk menganut atau meyakini agama atau ideologi apa sekali pun dan berhak mengingkari atau menukar agama sesuka hati. Sebahagian kaum Muslimin yang tertipu oleh kaum kafir menyangka bahawa kebebasan beragama yang dipropagandakan oleh kaum kuffar itu tidaklah bertentangan dengan Islam. Mereka berhujah dengan Firman Allah Ta'ala, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam) [TMQ Al-Baqarah (2):256] dan ayat “Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan siapa sahaja yang ingin (kafir) biarlah dia kafir” [TMQ Al-Kahfi (18):29]. Mereka ini menyimpang jauh dari Islam di mana mereka tidak memahami bahawa objek pembahasan dua nas tersebut adalah berupa seruan (khitab) yang hanya ditujukan kepada orang-orang kafir. Nas tersebut menjelaskan bahawa kaum Muslimin tidak boleh memaksa orang kafir untuk masuk Islam. Kedua-dua nas ini tidak ditujukan kepada kaum Muslimin, sebab bagi seorang Muslim, ia tidak diberi pilihan lagi untuk memilih ingin kafir atau murtad. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia akan diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati. Sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam, “Barang siapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia [HR Bukhari, Muslim, Ahmad]. Jadi, kebebasan beragama langsung tidak ada dalam kamus Islam, bahkan sebaliknya, seorang Muslim wajib terus memeluk agama Islam. Jelaslah bahawa seorang Muslim tidak boleh menerima idea kebebasan beragama yang diserukan oleh HAM.
(2) Kebebasan Berpendapat/bersuara: Kebebasan berpendapat menurut HAM bererti bahawa setiap orang memiliki hak untuk menyatakan pendapat apa sahaja dalam segala perkara tanpa terikat dengan batasan apa pun. Kebebasan berpendapat ini sangat menarik perhatian sebahagian kaum Muslimin, sebab mereka selama ini hidup tertindas di bawah penguasa-penguasa yang zalim di mana mereka akan ditangkap jika bersuara menyalahi kepentingan/kehendak penguasa. Justeru, mereka melihat idea ini sesuai dengan Islam. Walhal kebebasan berpendapat yang dibawa oleh HAM ini merangkumi pendapat/pemikiran apa sahaja, walaupun pemikiran tersebut bertentangan dengan aqidah Islam seperti pemikiran tentang nasionalisme, patriotisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Padahal, Islam telah memerintahkan umatnya untuk menghapuskan segala bentuk pemikiran kufur ini. Untuk mengetahui sejauh mana kebebasan ini diberikan oleh HAM, lihatlah penghinaan yang dilakukan oleh mereka terhadap Rasulullah di mana tidak ada satu tindakan pun yang diambil ke atas penghina Rasul ini kerana hal ini sememangnya dibenarkan di bawah kebebasan berpendapat yang ada dalam HAM.
Memang benar, bahawa Islam telah membolehkan seorang Muslim untuk menyatakan pendapatnya terhadap segala hal dan persoalan. Akan tetapi Islam mensyaratkan bahawa pendapat tersebut wajib terpancar dari aqidah Islam atau di bangun berasaskannya, serta tetap berada dalam lingkungan Islam. Oleh itu, seorang Muslim berhak menyatakan pendapat apa sahaja selama mana pendapat tersebut masih bersandar kepada dalil syara’ atau berada dalam batas-batas syara’. Lebih dari itu, Islam sesungguhnya telah lama (sebelum wujud HAM lagi) membenarkan, malah mewajibkan seorang Muslim untuk menyeru (berdakwah) manusia kepada Islam, melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, bersuara dengan menegur kesalahan saudaranya atau kesalahan pemerintah sekali pun. Islam bukan sekadar menjadikannya satu hak, malah merupakan tanggungjawab terhadap setiap Muslim untuk melakukan muhasabah sesama Muslim, yang mana hal ini langsung tidak ada kena mengena dengan HAM yang baru muncul pada tahun 1948 ini.
(3) Kebebasan Kepemilikan: Adapun kebebasan hak milik menurut idea HAM ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu sesuka hatinya dan menggunakan segala sesuatu miliknya itu sesuka hati juga, selama hal itu tidak melanggar hak-hak orang lain. Maksudnya, selama tidak melanggar hak-hak yang diakui oleh sistem dan undang-undang yang mereka gubal. Hal ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu baik yang dihalalkan oleh Allah mahupun yang diharamkanNya, kerana yang menjadi ukuran adalah undang-undang buatan manusia, bukannya undang-undang Allah. Contohnya manusia berhak memiliki harta dari wang riba atau perjudian (kerana undang-undang manusia membenarkan) dan manusia juga berhak memiliki barang-barang yang termasuk dalam pemilikan umum (public property) seperti minyak, gas, pantai dan sungai-sungai, malah mana-mana individu tidak dihalang dari memiliki harta/saham yang jelas-jelas diharamkan Allah seperti syarikat judi, bank riba, syarikat insurans, rumah pelacuran dan sebagainya. Kebebasan ini telah menimbulkan pula akumulasi kekayaan yang melimpah ruah di tangan segelintir orang yang disebut sebagai para kapitalis. Ada pun Islam menjelaskan bahawa seorang Muslim itu hanya berhak memiliki harta yang dihalalkan oleh Allah sahaja dan haram baginya memiliki apa sahaja yang diharamkan oleh syara’. Islam telah membahagi dan membezakan hak pemilikan kepada tiga kategori iaitu pemilikan individu (milkiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-‘ammah) dan pemilikan negara (milkiyyah ad-daulah) yang setiap satunya diperincikan oleh nas-nas yang jelas. Kontradiksi kebebasan kepemilikan di bawah HAM dengan pemilikan dalam Islam adalah teramat jelas, sehingga kaum Muslimin diharamkan mengamalkan idea kebebasan di dalam memiliki sesuatu kecuali wajib berpegang kepada halal dan haram.
(4) Kebebasan Bertingkah laku: Menurut HAM, kebebasan bertingkah laku bererti setiap orang berhak menjalani kehidupan peribadi semahunya, asalkan tidak melanggar kehidupan peribadi orang lain. Berdasarkan hal ini, seorang lelaki dan wanita bebas untuk berdua-duaan, bercium atau berzina sekalipun selama mana kedua-duanya redha. Tidak ada apa yang dinamakan halal atau haram di dalam HAM, yang penting, semua orang boleh melakukan setiap perbuatan di dalam ruang lingkup undang-undang yang dibuat oleh manusia. Justeru, boleh sahaja jika perempuan tidak mahu bertudung atau lelaki mahu berseluar pendek di khalayak ramai kerana tidak ada undang-undang yang menghalangnya. Praktik kebebasan bertingkah laku di bawah HAM ini telah menimbulkan kerosakan yang amat mengerikan yang sudah tidak dapat dibayangkan lagi. Konsep kebebasan ini langsung tidak ada di dalam Islam dan umat Islam langsung tidak memerlukan HAM untuk mengatur tingkah laku mereka. Setiap individu Muslim wajib ‘terikat’ dengan hukum Allah. Tingkah laku manusia justeru wajib diatur dengan hukum syara’ dan Islam telah lama mengatur hal ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah.
Inilah empat kebebasan pokok yang dibawa oleh HAM di mana setiap inci pemikiran mahupun undang-undang yang dibawa oleh HAM adalah bertentangan dengan undang-undang Islam. Di sinilah umat Islam perlu faham dan mengambil sikap yang benar. Undang-undang Islam telah pun sempurna sejak zaman Rasulullah lagi dan tidak ada sedikit kekurangan atau cacat-cela pun dengan agama yang Allah turunkan ini. Kaum Muslimin telah lama bangkit dan mencipta ketamadunan dunia jauh sebelum ‘kewujudan’ Barat lagi. Kaum Muslimin telah lama maju dan menguasai dunia dengan hukum Allah semasa Barat masih terkial-kial ingin keluar dari kegelapan dan keterpurukan mereka. Kaum Muslimin telah lama hidup menerajui dunia dengan segala hak yang Allah dan RasulNya telah nyatakan, jauh sebelum Barat berkhayal tentang ‘teori hak asasi’ mereka.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Semua idea tentang HAM ini adalah bertentangan dengan Islam. Jadi, ia tidak boleh diterima apa lagi diperjuangkan. Malangnya idea HAM ini telah dipropagandakan dengan penuh kebanggaan oleh sebahagian penguasa kaum Muslimin dan para pendukungnya yang buta terhadap Islam, yakni para intelektual yang termakan oleh tsaqafah Barat dan terpesong dari jalan yang lurus. Sesungguhnya siapa pun dari kalangan kaum Muslimin yang mengaku Muslim tetapi menjajakan HAM, bererti dia adalah tergolong di dalam golongan yang jahil dan fasik dan mereka ini sebenarnya telah mengambil dan menjaja pemikiran Barat samada secara sedar atau tidak. Umat Islam tidak memerlukan HAM atau apa jua pemikiran kufur yang di bawa oleh Barat. Umat Islam juga tidak memerlukan ‘The Declaration of Islamic Human Righs’ atau ‘The Islamic Declaration of Human Rights’ atau apa bentuk deklarasi hak asasi manusia. Benar dan salahnya tindakan setiap Muslim cukup diukur dengan al-Quran dan Sunnah dan bukannya diukur dengan sebuah deklarasi tajaan kaum kuffar. Sesungguhnya umat Islam hanya wajib kembali semula kepada agama Islam yang benar dan sempurna yang datangnya dari Allah, tanpa perlu merujuk sedikit pun kepada pemikiran atau undang-undang kufur yang datang dari Barat. Wallahua’lam
0 comments:
Post a Comment