Sistem Ekonomi Kapitalis Semakin Rapuh
Sistem Ekonomi Kapitalis Semakin Rapuh
Dunia sedang menghadapi krisis ekonomi. Pasaran kewangan dunia yang tidak menentu sejak kebelakangan ini merupakan penunjuk jelas ke arah itu. Ia menjadi isu yang dominan di dalam ruangan-ruangan media baik media tempatan mahupun luar negara.
Faktor utama yang mempengaruhi adalah masalah yang dihadapi Amerika Syarikat (AS) iaitu mengenai masalah gadai janji subprima dalam pasaran perumahan. Gadai janji subprima adalah pinjaman perumahan yang diberi kepada para peminjam yang tidak memiliki latar belakang kewangan yang kukuh dengan kadar faedah yang lebih tinggi.
Apabila diteliti dengan lebih mendalam, seseorang itu tidak boleh menafikan bahawa krisis ekonomi yang melanda dunia dikala ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem ekonomi kapitalisme oleh Barat yang diterajui oleh AS. Sejarah membuktikan bahawa, penerapan sistem ekonomi kapitalisme ini akan menyebabkan munculnya kegoncangan demi kegoncangan di dalam ekonomi. Ia akan dihadapi oleh dunia dalam sela masa tertentu secara berkala. Perkara ini telah dijelaskan oleh Dr Thahir Abdul Muhsin Sulaiman dalam bukunya Ilajul Musykilah al-Iqtishadiyah bi al-Islam, yang menyebut krisis ekonomi dalam sistem kapitalisme adalah bersifat 'siklik'. Ertinya, pertumbuhan ekonomi yang terjadi hanyalah putaran menuju puncak untuk kemudian jatuh ke lembah krisis kembali dan begitulah seterusnya. Krisis ekonomi bersifat 'siklik' ini benar-benar terjadi di seluruh dunia, hanya sahaja kala putarannya berbeza-beza. Bagi negara-negara maju seperti AS, Eropah dan Jepun kala putarannya adalah sekitar 25 tahun manakala negara-negara dunia ketiga seperti Malaysia, Thailand dan seangkatan dengannya biasanya sekitar 7-10 tahun. Negara-negara Asia termasuk Malaysia kali terakhir dilanda kegawatan adalah tahun 1997 dan perkara ini dijangka akan berulang pada dekad pertama abad ke-21 ini. Ironinya, ketika pembentangan belanjawan 2008 pada hari Jumaat lepas (7/8/2007), kerajaan Malaysia dikatakan perlu bersiap sedia menghadapi kelembapan ekonomi dunia kesan daripada krisis ekonomi yang melanda Amerika sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, adakah kita sekarang berada di putaran yang menuju ke arah kegawatan ekonomi sekarang?
Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja rapuh malah bersifat self-destructive atau makna langsungnya bermaksud menghancurkan diri sendiri. Inilah realiti wajah dari sistem yang terbit daripada aqidah sekular yang pasti tidak akan pernah menyelesaikan permasalahan manusia, malah menimbulkan lagi perbagai masalah yang bukan alang-kepalang kepada dunia seperti kemiskinan, jurang yang semakin melebar di antara golongan kaya dan miskin, kerosakan merata (collateral damage), hilang sifat kemanusiaan, bahkan perang dan penindasan di mana-mana.
Apabila diteliti lebih mendalam terdapat dua faktor utama yang menyebabkan sistem ini bersifat self-destructive. Pertama, persoalan mata wang yang mana mata wang suatu negara pada saat ini terikat pada mata wang lain (contohnya ringgit terhadap dollar AS), tidak pada nilainya sendiri. Demikian itu nilai mata wang tersebut tidak akan stabil, kerana sekiranya nilai mata wang tertentu bergejolak, pasti akan mempengaruhi kestabilan mata wang tersebut. Maka apabila nilai mata wang tidak stabil, maka kegiatan ekonomi secara keseluruhan akan terganggu kerana mata wang itu ibarat lokomotif yang menggerakkan gerbang kegiatan ekonomi. Kedua, kenyataannya sekarang ini, wang itu tidak lagi sekadar medium pertukaran untuk mendapat barang atau jasa perkhidmatan dalam sektor realiti, tetapi juga sebagai komoditi dalam sektor non-real iaitu diniagakan (dalam bursa mata wang dunia), diperjudikan (dalam bursa saham dan kegiatan yang sejenis) dan ditarik keuntungan (melalui interest atau dengan kata lain bunga atau riba dalam perbankan) dari setiap transaksi atau penyimpanan wang.
Dengan kata lain, yang menjadi pemicu kepada terjadinya krisis ekonomi adalah sektor non real atau keewangan, yang memang dikenali sebagai sektor yang penuh dengan spekulasi. Kekacauan di sektor ini menyebabkan kekacauan di sektor real (produksi,perdagangan dan jasa perkhidmatan). Harga-harga barang dan jasa perkhidmatan naik bukan kerana hukum permintaan dan penawaran (supply and demand) tetapi kerana riba bank yang meningkat dan terjadinya penyusutan nilai ringgit terhadap dollar AS.
Maka ditegaskan Dr Thahir Abdul Muhsin bahawa bunga bank merupakan salah satu punca ketidakstabilan sistem ekonomi dunia. Al-Quran telah meyebut sekeras-kerasnya dalam surah al-Baqarah:275-276 sebagai orang yang tidak dapat berdiri tegak bagai orang dirasuk syaitan, disebut sebagai random walk, suatu istilah yang menggambarkan pola langkah orang yang mabuk. Malah ditegaskan juga menurut hadis (riwayat al-Hakim dan Baihaqi) yang menggambarkan aktiviti ekonomi yang berteraskan riba mengundang dosa besar laksana berzina dengan ibu sendiri.
Maka penyelesaian kepada permasalahan kepada krisis ekonomi dunia adalah dengan membakul sampahkan sistem ekonomi kapitalisme, dan menerapkan sistem ekonomi yang berlandaskan syarak iaitu meletakkan halal dan haram sebagai teras kepada aktiviti ekonomi masyarakat secara keseluruhan.
Dalam hal keewangan, sistem Islam membezakan antara wang dan modal. Wang adalah public goods manakala modal adalah private goods. Wang adalah milik masyarakat (public goods), maka kerana itu, Islam melarang melakukan penimbunan wang kerana pasti akan mengurangi jumlah wang yang beredar di dalam pasaran. Semakin cepat wang berputar dalam masyarakat maka semakin baik ekonomi masyarakat. Kalau tidak, sebagai private goods, dana itu akan dilaburkan dalam bentuk syirkah (kerjasama bisnes), dishadaqahkan atau dipinjamkan (qard) tanpa riba, dikeluarkan zakat.
Wang juga dikembalikan fungsinya iaitu sebagai medium pertukaran dalam sektor realiti lantas mata wang dibuat dengan sandaran emas(dinar) dan perak(dirham). Dengan dinar dan dirham, nilai nominal dan nilai intrinsik daripada penggunaannya akan bersatu. Ertinya nilai nominal mata wang akan dijaga oleh nilai intrinsiknya, bukannya olah daya tukar terhadap mata wang lain. Tidak akan ada sektor non-real dalam sistem ekonomi Islam, ekonomi akan betul-betul digerakkan oleh sektor realiti sahaja.
0 comments:
Post a Comment