ISLAM AGAMA SYUMUL

FIRMAN ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA; "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, kerana sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagi kalian." [TMQ AL-BAQARAH(2):208]

MASA ITU EMAS


YA ALLAH! CABUTLAH KUASA PEMIMPIN YANG MENGKHIANATI UMATMU!


YA ALLAH! CABUTLAH KUASA PEMIMPIN YANG MENGKHIANATI UMATMU!



Pada 18 Oktober lepas dunia dikejutkan dengan pengeboman yang berlaku di Jalan Karsaz, Karachi di dalam sebuah perarakan menyambut kepulangan bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto. Cebisan mayat dan percikan darah memenuhi jalan raya di bandar raya ini apabila sekurang-kurangnya 136 orang terbunuh dalam dua serangan berani mati yang disasarkan ke atas bekas Perdana Menteri itu. Kejadian itu berlaku kira-kira 10 jam selepas Benazir menjejakkan kaki ke tanah airnya setelah lapan tahun berada dalam buangan di Dubai. Serangan yang berlaku sejurus tengah malam itu turut menyebabkan lebih 300 orang cedera. Satu letupan dikatakan berlaku kira-kira lima meter daripada kenderaan yang membawa Benazir pada perarakan itu. Bagaimanapun beliau terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Tragedi itu bermula apabila seorang penyerang berani mati berjaya meletupkan bom walaupun perarakan itu dikawal ketat oleh polis. Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi berkata, sebutir bom tangan dilontarkan ke arah orang ramai sebelum ia disusuli dengan serangan berani mati. Seorang pembantu kanan Benazir, Rehman Bhutto yang turut bersama-sama dengan bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedang berehat dalam lori semasa letupan berlaku. Ia merupakan serangan berani mati terburuk dalam sejarah Pakistan. “Corak serangan menunjukkan ia sudah dirancang dengan teliti dan dilakukan oleh orang yang pakar dan bukannya oleh amatur”, kata Azhar [UM 20/10/07].

Pihak berkuasa Pakistan telah pun memulakan siasatan ke atas senarai suspek yang diserahkan oleh Benazir berhubung serangan tersebut. Benazir berkata, senarai nama tiga individu yang didakwa terbabit dalam serangan berani mati itu telah diserahkan kepada Presiden Jeneral Pervez Musharraf. “Saya berkongsi nama-nama itu dengan Jeneral Pervez dan seorang daripada mereka memang dalam pemerhatian pihak berkuasa”, kata Benazir sewaktu ditemu ramah oleh British Broadcasting Corporation (BBC). Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama suspek tersebut. Sumber Parti Rakyat Pakistan (PPP) pula menyatakan, senarai terbabit meliputi pegawai kanan tentera. Benazir memberitahu, beliau menerima amaran awal mengenai rancangan serangan oleh anggota Al-Qaeda, Taliban Pakistan serta Afghanistan dan kumpulan militan di Karachi. Beliau turut menuduh para penyokong bekas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq menjadi dalang serangan berani mati itu. Mohammed Zia merupakan orang yang bertanggungjawab menjatuhkan bapa Benazir, Perdana Menteri Zulfikar Ali Bhutto pada 1977 dan menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya dua tahun kemudian. [UM 21/10/07]

Walaupun berita ini telah menggemparkan dunia, namun bagi para penganalisis politik, ianya bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Sautun Nahdhah kali ini akan mendedahkan sebuah rahsia terbuka (open secret) berhubung kesepakatan atau lebih tepatnya, konspirasi jahat antara Presiden Perves Musharraf, Benazir Bhutto, rejim Amerika Syarikat dan Britain di dalam permainan politik kotor mereka untuk memastikan kekuasaan tetap berada di tangan-tangan keji mereka, seterusnya mereka dapat membunuh umat Islam atas nama ‘war on terror’. Kami juga akan memaparkan sedikit analisis awal tentang kejadian pengeboman yang berlaku untuk difikirkan bersama.

Bagaimana Sang Pengkhianat Berkuasa

Dalam bulan Oktober tahun 1999, Jeneral Pervez Musharraf telah melakukan satu rampasan kuasa yang sekali gus menggulingkan Perdana Menteri Nawaz Shareef. Sejurus selepas itu, Musharraf terus menggantungkan Perlembagaan Pakistan dan mengisytiharkan dirinya sebagai seorang ‘Presiden’. Beliau kemudian mula memperkukuhkan kuasa dengan memberi tumpuan kepada tiga isu. Pertama: Beliau mewujudkan hubungan dengan Liga Muslim Pakistan (Pakistan Muslim League - PML) pimpinan Nawaz Shareef dan juga Parti Rakyat Pakistan (Pakistan Peoples Party - PPP) pimpinan Benazir Bhutto serta membentuk satu parti politik yang bersekutu di bawahnya dalam rangka untuk menjaga kepentingan Amerika. Kedua: Beliau memperkukuhkan kuasa Presiden (yang sebelumnya tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan) dan melemahkan bidang kuasa Perdana Menteri (yang begitu kuat di bawah Perlembagaan). Ketiga: Beliau membentuk/menjadikan tentera berperanan di dalam politik negara.

Musharraf seterusnya mematikan usaha pihak pembangkang (yang merupakan agen British) bila pembangkang memfailkan petisyen di mahkamah yang mencabar kesahan rampasan kuasa yang dilakukan beliau. Dengan tekanan yang diberi oleh Musharraf dan juga AS, mahkamah telah tidak melayan petisyen tersebut, malah memutuskan bagi pihak Musharraf di mana ia mengakui bahawa rampasan kuasa tersebut ‘sememangnya perlu’ demi kepentingan nasional! Mahkamah mengiktiraf bahawa keadaan yang wujud (sebelum rampasan kuasa) memang tidak akan dapat diselesaikan melalui pendekatan perlembagaan (undang-undang). Mahkamah juga menyatakan bahawa satu pilihanraya umum perlu diadakan dalam masa dua tahun, tetapi membenarkan ia ditangguhkan sehingga bulan Oktober 2002.

Apabila mahkamah telah ‘mengabsahkan’ rampasan kuasa beliau, maka Musharraf terus mengambil langkah yang konkrit untuk menguatkan lagi kedudukan beliau sebagai ‘Presiden’ dan juga Ketua Tentera. Kedudukan Musharraf sebagai Ketua Tentera sebenarnya akan berakhir pada tahun 2001 dan hanya boleh disambung atas arahan Presiden (Rafiq Tarar). Tetapi oleh kerana beliau khuatir yang Presiden tidak akan bersetuju, maka Musharraf menggulingkan Rafiq Tarar dari kerusi Presiden pada bulan Jun 2001, lalu beliau menduduki dua kerusi sekali gus. Dengan bantuan perkhidmatan rahsianya dan ugutan beliau ke atas pembangkang, Musharraf seterusnya membentuk satu parti politik, PML (parti Nawaz Shareef) dan juga berusaha untuk mengenepikan (baca: menghalau) pemimpin-pemimpin PPP (parti Benazir Bhutto) berserta beberapa pemimpin lain. Selama tempoh ini, Musharraf menghalang kedua-dua, Nawaz Shareef dan Benazir Bhutto dari kembali ke Pakistan dan terlibat dalam politik.

Oleh kerana beliau belum pernah merasa terancam selama ini dan mendapat dukungan kuat AS, maka Musharraf menjadi angkuh dan sombong. Musharraf seterusnya menyokong serangan Amerika ke atas Afghanistan dan beliau juga memusuhi kumpulan Mujahideen di Kashmir. Beliau membunuh rakyatnya sendiri, menangkap dan menyeksa musuh-musuh politiknya. Beliau memerangi gerakan-gerakan Islam yang cuba menasihati beliau dan menegakkan Islam di Pakistan. Berkawan dengan kuasa besar seperti Amerika telah menjadikan Musharraf lupa daratan. Beliau berilusi bahawa Amerika akan dapat menyelamatkannya dari segala ancaman. Justeru, beliau melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada tanpa menghiraukan akibat dari perbuatannya kerana kesombongan telah menyelimuti dirinya.

Kembalinya Seorang Lagi Pengkhianat

Sejak dihalaunya Benazir, Musharraf sudah banyak kali menjaja kisah rasuah yang dilakukan Benazir dan berikrar tidak akan membenarkan anak Zulfikar Ali Bhutto ini untuk kembali ke Pakistan. Benazir pula, sejak dibuang oleh Musharraf berulang kali menegaskan bahawa dia adalah seorang yang berpegang kepada demokrasi dan tidak akan sekali-kali berurusan (menjalin hubungan/kesepakatan) dengan seorang ‘diktator tentera’. Dia telah beberapa kali mendesak agar Musharraf dibuang. Ironinya, pada tahun 2007, kedua-dua ‘hipokrit’ ini telah berhubung antara satu sama lain untuk saling bantu-membantu. Masing-masing kemudian menjadi ‘bergantung’ kepada pihak yang lagi satu dan telah mengadakan beberapa siri perundingan untuk kerjasama, yang sesungguhnya menyerlahkan lagi kemunafikan dan konspirasi mereka untuk terus berkuasa di Pakistan. Hasil perundingan menunjukkan dengan jelas betapa kedua-dua pengkhianat ini sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka berkuasa. Dari sini, kita dapat memahami kenapakah si Musharraf tidak malu-malu untuk berubah pendirian dengan membenarkan ‘musuhnya’ untuk pulang.

Di dalam Perlembagaan Pakistan, pilihan raya umum hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum pilihan raya presiden dan anggota-anggota National Assembly bersama dengan anggota-anggota empat wilayah (provincial assemblies) akan membentuk the Electoral College bagi memilih presiden Pakistan. Kedudukan ini agak berbahaya bagi Musharraf yang mana dia mungkin akan kehilangan kerusi Presiden jika pilihan raya umum dijalankan terlebih dahulu. Ini adalah kerana rakyat Pakistan telah menghantar mesej kebencian yang jelas kepada Musharraf tentang segala kejahatannya, terutama ‘manipulasi’ beliau ke atas tentera yang sering diarahkan untuk membunuh rakyatnya sendiri atas nama ‘memerangi pengganas’ yang sebenarnya adalah ‘memerangi musuh politik’ beliau semata-mata. Justeru, untuk terus kekal berkuasa, Musharraf merasa perlu untuk mengadakan pilihan raya presiden terlebih dahulu (dari pilihan raya umum), dan hal ini boleh beliau lakukan dengan menggunakan kuasa darurat yang ada pada beliau sebagai Ketua Negara. Di sinilah Musharraf memerlukan ‘kepulangan’ Benazir bagi memastikan sokongan dan kejayaannya (sebagai Presiden), dengan ‘menjanjikan’ jawatan Perdana Menteri kepada Benazir. Sebagai balasannya, PPP hendaklah menyokong beliau sebagai Presiden dan jika ini berlaku, maka Musharraf sudah tentu akan dapat memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai Preseiden. Bukan setakat itu, Musharraf juga dapat ‘menarik’ perhatian dan sokongan rakyat bahawa akan wujud semula satu ‘pemerintahan rakyat’ (oleh Benazir/PPP) yang akan menggantikan ‘pemerintahan tentera’ beliau selama ini. Jadi, cita-cita Musharraf untuk terus kekal sebagai Presiden (dan orang kuat beliau akan dilantik sebagai Ketua Tentera) dan Benazir sebagai Perdana Menteri akan tercapai. Kesimpulannya, Musharraf memerlukan Benazir (dan Benazir memerlukan Musharraf) untuk kembali ke Pakistan bagi memenuhi hawa nafsu kekuasaan masing-masing.

Ketamakan Benazir kepada kuasa dan penyembahan beliau kepada Barat adalah terlalu nyata. Beberapa bulan sebelum kepulangannya ke Pakistan, Benazir tanpa segan silu telah pergi ke Washington dan London dalam rangka untuk meyakinkan tuan Musharraf (dan tuan beliau juga) bahawa beliau adalah calon terbaik untuk melaksanakan agenda ‘War on Terror' di Pakistan. Secara terbuka dan tanpa malu sedikit pun, Benazir melahirkan komitmen dan berikrar akan memenuhi agenda ‘war on terror’ dan akan membenarkan Amerika memasuki Pakistan untuk bekerjasama menghapuskan ‘pengganas’. Ini secara langsung bermakna bahawa rakyat Pakistan langsung tidak mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka di Pakistan (atau memilih pemimpin Pakistan), sebaliknya segala nasib, hak dan kepentingan mereka akan ditentukan oleh rejim Amerika dan Britain. Bagi AS dan Britain pula, mereka sememangnya mengharapkan pengkhianat dan pembunuh kejam seperti Musharraf dan Benazir ini bagi memastikan Pakistan kekal di bawah kawalan mereka. Malah yang lebih penting adalah, kedua-dua orang suruhan ini akan dapat menghalang kebangkitan dan penyatuan umat Islam di Pakistan, kerana Barat cukup takut dengan meningkatnya kesedaran politik di kalangan umat Islam untuk bersatu di bawah Khilafah di Pakistan khususnya dan di dunia umumnya.

Rekod kejahatan dan pengkhianatan Benazir sebenarnya dapat dilihat oleh semua orang. Beliau telah dua kali menjadi Perdana Menteri Pakistan iaitu pada tahun 1988 dan 1993 dan beliau telah kehilangan jawatan ini disebabkan kegagalan rejimnya yang memerintah dengan penuh penyelewengan dan rasuah. Suami Benazir, Asif Ali Zardari, mendapat jolokan ‘Mr. Ten Percent’ (En. Sepuluh Peratus) kerana kerakusannya dalam memperoleh ‘buah tangan dan komisen’ dalam setiap projek mega. Akaun bank Swiss dan banyak rundingan ‘keluar poket kiri masuk poket kanan’ telah menjadi bukti bagaimana Benazir dan suaminya menjadikan Pakistan sebagai satu bisnes yang begitu menguntungkan mereka. Tidak ada seorang pun yang akan lupa kekejian perangai mereka ke atas pembelian 355 ekar British Rockwood mansion beserta ladang permata Zardari yang dikenali sebagai ‘Surrey Mahal’ yang dinafikan oleh mereka pada peringkat awalnya, tetapi kemudian mereka mengakui memilikinya.

Benazir pernah disabitkan di mahkamah Switzerland atas dakwaan rasuah dan sepasukan penyiasat dari Sepanyol dan Switzerland masih menyediakan dossier untuk dakwaan seterusnya. Tidak lama dahulu Setiausaha Dalam Negeri British (British Home Secretary) juga turut membantu siasatan rasuah ke atas Benazir. Malangnya sekarang London telah membantu rundingan Benazir dengan Musharraf. Sebagai ‘hadiah’ atas rundingan beliau dengan Musharraf, Benazir akan mendapat semula hampir £1 bilion duit haram yang dibekukan di dalam akaun keluarganya di bank Swiss. Jadi, apakah yang akan dijanjikan oleh Benazir jika beliau memerintah Pakistan nanti jika tidak perkara (penyelewengan dan rasuah) yang sama? Dan tindakan si Musharraf yang meluluskan National Reconciliation Ordinance (sebagai pengampunan sepenuhnya terhadap kesalahan Benazir) hanya menyerlahkan lagi kejahatan kedua-dua pihak yang selama ini menjadi perompak utama kekayaan umat Islam dan bumi Pakistan, selain menunjukkan bahawa ‘hukum’ sesungguhnya berada di tangan mereka yang memegang kekuasaan.

Dari sudut polisi, Benazir berulang kali menekankan bahawa beliau akan memerangi ekstremis dan teroris Islam habis-habisan dan beliau akan ‘mengawal’ tentera Pakistan betul-betul. Padahal, hasil sokongan yang beliau berikan di era pemerintahan beliaulah (1996) yang memunculkan kekuatan Taliban (yang sekarang beliau anggap teroris) hingga Taliban berjaya meraih kuasa di Afghanistan. Sikap hipokrit beliau yang terlalu nyata ini sekali lagi membuktikan bahawa Benazir hanyalah seorang yang gila kuasa dan sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai apa yang dicita-citakannya. Musharraf pun dalam kedudukan yang sama, yakni seorang yang gila kuasa dan sedang terdesak untuk mempertahankan rejimnya dan sanggup melakukan apa sahaja. Jadi, beliau sudah tidak perlu merahsiakan lagi kerjasama dan rundingan yang dilakukannya bersama Amerika dan Britain di dalam mengekalkan kuasanya. Beliau telah dibenci dengan dahsyat oleh rakyatnya setelah pembunuhan yang beliau lakukan di Masjid Lal baru-baru ini, namun setakat ini, ia masih belum dapat membunuh kerjaya politiknya kerana apa yang dilakukannya adalah untuk memenuhi agenda Amerika di dalam ‘war on terrror’.

Oleh yang demikian, ternyata Musharraf dan Benazir masih merupakan harapan terbaik Amerika di dalam usaha mereka menghapuskan pengganas (baca: umat Islam). Dengan menggabungkan Musharraf dan Benazir, rejim Amerika seterusnya mengharapkan sebuah pemerintahan sekular (di bawah kawalan Amerika) yang akan lebih diterima rakyat, tanpa perlu mereka (Amerika) masuk ke Pakistan sebagaimana kegagalan mereka di Iraq. Hampir pasti bahawa kedua-dua pengkhianat ini (dengan sokongan Amerika dan Britain) akan dapat berkuasa penuh setelah (memenangi) pilihan raya Januari depan. Washington dan London pastinya mengharapkan (dan mendapat) pulangan yang lumayan dengan pelaburan yang mereka tanam ini. Bagaimanapun, dipandang dari sisi yang lain, sesungguhnya Musharraf dan Benazir mempunyai kepentingan masing-masing. Kedua-duanya ada ego masing-masing dan tamakkan kuasa. Agak sukar untuk mereka dapat bekerjasama atau bertahan lama sekiranya dilihat dari sudut ini. Berkongsi kuasa bagi mereka (yang gilakan kuasa) bermakna suatu realiti yang pahit. Tambahan lagi, agenda kedua-dua mereka selain mempunyai kepentingan peribadi, adalah ‘wajib’ berkhidmat kepada Amerika di dalam perang melawan ‘keganasan’. Jadi, Amerika sudah tentu akan memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan kepentingan Amerika. Jika terjadi sesuatu yang tidak diingini oleh Amerika, sudah tentulah ‘perkahwinan politik’ antara Musharraf dan Benazir ini tidak akan bertahan lama.

Dengan menjadikan harta, darah dan nyawa umat Islam di Pakistan sebagai ganti, kedua-dua manusia terkutuk ini sanggup melakukan apa sahaja demi berkhidmat dan berbakti kepada tuannya. Kita tidak dapat fikir lagi manusia manakah yang lebih jijik dari kedua pengkhianat ini? Apakah kedua pengkhianat ini tidak sedar bahawa Amerika hanya akan menggunakan khidmat mereka bila perlu sahaja dan Amerika sekali-kali tidak akan menjadikan mereka sebagai sahabat yang abadi? Kedua-dua mereka ini juga tidak sedar bahawa Amerika sendiri satu hari nanti akan hancur dengan izin Allah. Mereka menyangka bahawa Amerika akan terus berkuasa dan dapat menolong mereka hingga kiamat. Mereka mengira bahawa Amerikalah yang memberi dan mencabut nyawa mereka. Alangkah hinanya mereka!

Siapakah Pengebom Itu?

Berbalik kepada tragedi pengeboman yang berlaku, apa yang perlu dianalisis seterusnya ialah siapakah ‘dalang’ yang paling mungkin sekali di sebalik serangan bom tersebut? Jika kita perhatikan dari segi fakta, kita akan membuat kesimpulan yang mudah dan tepat bahawa sememangnya telah terdapat satu ‘perancangan’ di dalam kes ini. Persoalannya, adakah perancangan (pengeboman) tersebut benar-benar ditujukan untuk membunuh Benazir ataupun untuk mengukuhkan lagi kedudukan beliau? Atau adakah perancangan tersebut dituju untuk melemahkan pemerintahan Musharraf, atau justeru memperkuatkan lagi beliau? Fakta seterusnya memberitahu kita bahawa bom tersebut meletup agak jauh dari ‘sasaran’ (Benazir) iaitu lebih kurang 5 meter dan sasaran pula pada waktu itu sedang berada ‘di dalam’ lori kalis peluru. Agak pelik kenapa pengebom tidak melakukan serangan di sebelah petang (sebaik sahaja ketibaan Benazir) di mana beliau diarak dengan berdiri ‘di atas lori’ yang begitu terbuka dan lebih mudah untuk ‘dibunuh’? Kita juga hairan kenapa si pengebom tidak menunggu waktu lain yang lebih sesuai kerana Benazir dijangka berada lama di Pakistan untuk berkempen? Tambahan lagi, jika benar ingin membunuh Benazir, kenapa perlu tunggu hingga beliau kembali ke Pakistan dan tidak dilakukan sepanjang 8 tahun beliau di dalam buangan?

Fakta juga menyatakan bahawa, Benazir, sebelum pulang ke Pakistan telah berikrar akan memerangi pengganas dan telah pun menyuarakan bahawa dia mungkin menjadi ‘sasaran’ pembunuhan. Kemudian terdapat pula berita tentang Al-Qaeda dan Taliban yang kononnya merancang untuk membunuh Benazir jika dia kembali ke Pakistan. Yang peliknya, tidak pula kita terdengar selama ini yang Benazir menjadi musuh bagi militan Islam sebab setahu kita, militan Islam (jika ada sekalipun) ini hanya memusuhi puak kuffar (seperti Amerika dan Britain) dan mereka tidak bermusuh sesama Islam. Seperkara lagi, Benazir juga dengan cepat menafikan bahawa serangan bom itu dilakukan oleh kerajaan Musharraf, tapi terus menuduh penyokong bekas pemerintah tentera, Mohammed Zia ul-Haq yang menjadi dalang kepada serangan. Musharraf kemudiannya pula memberi jaminan untuk menyiasat hingga ke akar umbi untuk mencari pihak yang bertanggungjawab melakukan pengeboman tersebut.

Bukankah kejadian yang berlaku ini akan memberi peluang baik kepada Musharraf mahupun Benazir untuk mereka bersama-sama memerangi ‘pengganas’? Bagi pihak Musharraf, sudah kerjanya sebagai Presiden yang memerintah untuk memerangi pengganas yang sekarang ini (berdasarkan peristiwa ini) telah ‘benar-benar terbukti wujud’. Bagi pihak Benazir pula, beliau juga perlu berusaha bersungguh-sungguh memerangi ‘pengganas’ kerana ‘pengganas’ tersebut (kononnya) menjadikan beliau sebagai sasaran. Dan untuk membolehkan beliau bertindak terhadap pihak yang ingin membunuhnya, sudah semestinya beliau perlu ‘berkuasa’ dengan mendapat mandat dari rakyat. Jadi, tidakkah ini semua akan menjadi ‘medan bukti’ bagi kedua-dua pemimpin ini untuk menunjukkan kepada Amerika bahawa (i) memang wujud pengganas di Pakistan (ii) kami sedang berusaha untuk menghapuskannya dan (iii) kami akan minta tolong awak jika perlu. Kesimpulannya, mereka semua perlu bekerjasama bagi memerangi pengganas. Berdasarkan analisis singkat ini, cuba kita fikirkan, adakah terdapat kemungkinan bahawa serangan bom tersebut merupakan suatu ‘rekaan’ (dengan mengorbankan ratusan nyawa – sebagaimana bukti-bukti menunjukkan bahawa rejim AS sendiri mendalangi tragedi WTC) agar Benazir dan Musharraf diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Pakistan? Fikir-fikirkanlah...

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kaum Muslimin di Pakistan amat memerlukan perubahan. Perubahan dan pembebasan dari pengaruh Barat hanya boleh berlaku dengan mengenepikan sistem yang secara tabi’inya korup dan menggantikannya dengan sistem Khilafah. Sesungguhnya realiti ini sudah hampir tiba. Amerika dan Britain tahu hakikat ini. Oleh kerana itulah mereka terdesak untuk mencari penyelesaian bagaimana untuk menghalang Daulah Khilafah dari berdiri. Dengan kerjasama Musharraf-Bhutto ini, mereka mungkin hanya melewatkan suatu yang sudah pasti akan berlaku – umat Islam menuntut kembali kuasa politik mereka dan terserlahnya kegagalan permainan politik penjajah. Demi Zat yang jiwa kami ada dalam genggamanMu! Kami memohon kepadaMu agar Engkau mencabut segala kekuasaan yang ada pada pemimpin-pemimpin yang mengkhianati umat ini, siapa pun mereka dan di mana pun mereka. Tukarlah mereka semua dengan seorang Khalifah Mu yang telah Engkau janjikan ke atas kami semua melalui lisan Nabi Mu. Wahai Zat Yang Maha Agung! Akhirilah penderitaan kaum Muslimin keseluruhannya dengan kedatangan seorang Khalifah yang akan menggantikan semua pemimpin yang telah mengkhianati mereka dan yang telah mengkhianati Deen Mu. Amin ya Rabbal ‘alamin.



0 comments:

Post a Comment



 

MENGENAL HIZBUT TAHRIR