Muslihat Amerika Di sebalik Cita-cita Nuklear Iran
Muslihat Amerika Di sebalik Cita-cita Nuklear Iran
Saban kali isu nuklear Iran sering menjadi isu ulangan utama di media-media massa utama barat terutamanya Amerika. Setelah dilakukan propaganda hebat di media sebagai mana selalunya oleh rejim Amerika, maka akan berlaku rundingan demi rundingan, kemudian rundingan-rundingan menemui jalan buntu dan seterusnya berakhir dengan ketegangan dengan mengheret isu ini ke Majlis Keselamatan PBB yang disudahi dengan resolusi sekatan ekonomi sekiranya Iran tidak memenuhi tuntutan resolusi tersebut dalam masa yang ditetapkan.
Sejarah Nuklear Iran
Adalah diketahui umum bahawa Iran telah menandatangani Nuclear Non-prolifetarian Treaty (NPT) pada tahun 1970 semasa pemerintahan Shah dan memulakan aktiviti nuklearnya dengan kerjasama beberapa firma-firma Perancis dan Jerman. Namun aktiviti nuklear Iran dihentikan oleh pemerintahan Khomeini pada tahun 1979 dan kemudiannya disambung semula pada tahun 1995 oleh Rasfanjani dan diteruskan sewaktu zaman reformasi (1997-2005) di bawah pemerintahan Khatemi. Sewaktu selang masa inilah (2003), setelah penjajahan di Iraq, pihak pembangkang Iran yang berada dalam buangan telah mengumumkan yang Iran telah menjalankan aktiviti nuklear rahsia yang tidak selamat dan menyorokkannya daripada pengetahuan International Atomic Energy Agency (IAEA).
Ketika inilah momentum krisis nuklear Iran memuncak, terjadinya dialog persefahaman antara pemerintahan Khatemi dan Troika Eropah iaitu Jerman, Perancis dan Britain, dan berakhir dengan proses penandatangan protokol tambahan pada 25 Oktober 2003. Dengan protokol tambahan ini, pihak IAEA berkuasa untuk melakukan pemeriksaan mengejut dengan harapan boleh mengelakkan tuduhan ke atas Iran akan aktiviti nuklearnya.
Muslihat halus Amerika
Walau bagaimana pun, keadaan ini tidak berhenti di situ sahaja. Walaupun Iran memberhentikan proses pengayaan uranium semasa melakukan rundingan, jerat itu berterusan diketatkan tanpa mempedulikan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear untuk kegunaan aman. Disebabkan hal itu Iran menyambung aktiviti pengayaan uraniumnya.
Masalah ini laksana seperti aisberg yang kian membesar, namun kemudiannya cair kembali dan proses ini terus berulang. Faktanya, pada 23 Disember 2006, Majlis Keselamatan telah meluluskan resolusi 1737 yang mendesak untuk menghentikan proses pengayaan uranium. Namun resolusi ini mendapat bangkangan dari Iran demi mempertahankan haknya untuk menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan keselamatan. Majlis Keselamatan PBB sekali lagi bersidang pada 23 April 2007, dan meluluskan resolusi 1747 dan memberi masa dua bulan kepada Iran untuk menghentikan program pengayaan uraniumnya meskipun dalam jumlah yang sedikit untuk tujuan yang selamat. Namun kenyataannya telah dimaklumi, bahawa negara-negara itu sendiri yang membantah program nuklear Iran untuk tujuan keselamatan itu sebenarnya negara yang terlibat dalam pengayaan uranium untuk tujuan ketenteraan dan membuat senjata nuklear seperti mana Amerika sendiri menggunakannya semasa perang dunia kedua.
Jelas dilihat apabila Eropah sibuk berunding dengan Iran mengenai konflik nuklearnya, Amerika akan memerhatikan daripada jauh dan akan melakukan sabotaj, sebagai contoh ketika Troika Eropah sedang berunding untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini, tetapi Amerika sibuk mencari jalan untuk melambatkan penyelesaian, dalam masa yang sama kelihatan seolah-olah memberi sokongan kepada penyelesaian Eropah terhadap isu ini. Apabila sahaja rundingan-rundingan hampir sampai kepada penghujungnya, Amerika akan mengeluarkan kenyataan dengan amaran yang dirinya mempunyai segala pilihan untuk memanjangkan krisis.
Sebagai contoh pada 27 April 2007, dua hari selepas perjumpaan dengan Ali Larijani pada 25 April 2007, Javier Solana, wakil ketua polisi luar EU, meminta Washington untuk membuka segala saluran dan dialog untuk mencari penyelesaian dengan Tehran. Solana telah bercakap dengan Larijani dan menyarankan agar kedua-dua pihak menolak segala perbezaan dan mencari jalan tengah untuk menyelesaikan isu ini dengan kepercayaan yang baik. Namun Amerika membelakanginya dan mendesak Tehran menghentikan dahulu proses pengayaan uraniumnya sebagai pra-syarat untuk berunding walaupun mengetahui yang pengayaan uranium Iran masih lagi di bawah 5%, had yang ditetapkan untuk tujuan keamanan, sedangkan proses pengayaan uranium diperlukan untuk kegunaan ketenteraan adalah 97%. Inilah yang selalu disebut-sebut oleh Amerika iaitu ketakutan terhadap program nuklear Iran yang dikatakan untuk tujuan aplikasi ketenteraan. Ini menunjukkan Amerika sanggup menyulitkan keadaan demi untuk memastikan konflik ini terus hidup tanpa penyelesaian supaya dengan itu boleh mengeksploitasi suasana itu untuk mempertahankan kepentingannya di bawah :
1. Mengeksploitasi konflik nuklear dalam usaha untuk menimbulkan ketakutan di Timur Tengah. Keadaan ini akan membolehkan Amerika mengekalkan pangkalan-pangkalannya dan memastikan kapal-kapal pemusnahnya bergerak aktif di perairan negara teluk kononnya untuk menjaga keselamatan negara-negara Arab daripada ancaman Iran. Tetapi matlamat sebenar adalah untuk terus menguasai dan mengawal sumber minyak dan gas yang ada di Negara teluk demi memastikan aktiviti industrinya berjalan lancar. Telah dibuktikan simpanan petroleum mentah di kawasan ini adalah dalam sekitar 357 000 juta tong! Manakala potensi simpanan minyak sebenar adalah jauh lebih besar. Sumber pakar menyatakan untuk Arab Saudi sahaja terdapat lebih kurang 160 000 juta tong yang mana boleh membekalkan minyak paling kurang 50 tahun lagi dengan kadar pengeluaran semasa 13 juta tong sehari. Diketahui 3 negara pengeluar minyak utama dunia adalah di kawasan ini iaitu Arab Saudi, Iraq dan Iran. Ditambah pula dengan Kuwait dan negara-negara teluk yang lain, maka sudah pasti inilah sumber kekayaan utama dunia yang ingin dibolot oleh Amerika. Oleh itu tidak mengejutkan sejak dari dahulu lagi negara-negara barat bersaing antara satu sama lain untuk menguasai sumber tenaga yang berskala besar ini. Inilah alasan sebenar mengapa mereka menghantar tentera-tentera, pakar-pakar, seterusnya membina pangkalan-pangkalan tentera dan menempatkan agen-agen mereka di kawasan ini.
2. Ingin membina sistem perisai pertahanan penangkis nuklear di Eropah timur (Poland dan Republic Czech) berdekatan Rusia yang sememangnya diketahui memiliki peluru berpandu balistik yang mampu mengenai Amerika. Amerika telah mengumumkan yang mereka sedang berusaha untuk menyebarkan sistem pertahanan untuk menangkis kemungkinan bahaya peluru berpandu Iran dan Korea Utara. Dalam hal ini, Rusia telah memberi respons dengan menyatakan adalah tidak mungkin peluru berpandu Iran dan Korea Utara boleh menyeberangi Eropah dan mengenai Amerika. Rusia sememangnya mengetahui sebenarnya pertahanan peluru Amerika itu adalah ditujukan kepadanya bukannya Iran yang sememangnya lemah tidak mungkin dapat berbuat demikian. Sergei Lavorov, Menteri Luar Rusia telah menyatakan amarannya pada 4 April 2007, negaranya akan sentiasa memerhatikan secara serius projek penangkis peluru berpandu itu dan akan mengkaji bahayanya terhadap Eropah secara keseluruhan. Malah dibuat amaran kali kedua dua minggu selepas itu pada 24 April 2007. Reaksi balas Moscow terhadap sikap berdiam diri Eropah terhadap program penangkis ini telah menyebabkan Putin mengumumkan akan membekukan segala perjanjian senjata konvensional di Eropah pada 26 April 2007. Pada masa yang sama, Rice menyatakan bahawa ketakutan Moscow terhadap cadangan sistem penangkis itu adalah pelik dan tidak berasas.
Beginilah caranya bagaimana Amerika mengeksploitasi konflik ini untuk kepentingannya. Sememangnya diketahui umum bahawa tiada kemungkinan ancaman nuklear daripada Iran pada masa hadapan, malah sekatan demi sekatan yang sudah dilakukan sekarang ini sudah pasti melemahkan lagi Iran. Amerika akan cuba bersandiwara dengan berusaha untuk mendapatkan penyelesaian melalui rundingan, namun kemudian apabila rundingan itu hampir kepada penyelesaian, maka ia akan mencipta satu halangan untuk menggagalkan rundingan tersebut.
Krisis nuklear Iran tidak mungkin berhubungan secara langsung dengan krisis nuklear Korea Utara, kerana Iran masih lagi di peringkat awal proses pengayaan uranium dalam had yang sesuai untuk kegunaan keamanan manakala Korea Utara adalah sebuah negara yang sudah pun memiliki senjata nuklear. Namun persamaan di antaranya adalah proses untuk mendapatkan penyelesaian kepada konflik sering diganggu halang oleh Amerika.
Amerika mahu memastikan konflik di kejiranan China ini sentiasa berpanjangan dan rumit dengan melibatkan Korea Utara dalam rundingan enam negara serantau yang berjiran. Inilah sebabnya Amerika menolak untuk menyertai dialog bilateral dengan Korea Utara. Untuk memanjangkan lagi konflik, adalah bertujuan untuk mengelak penyelesaian dan memastikan Korea Utara terus menerus menjadi sebuah negara nuklear, bukan negara yang non-nuklear. Itulah sebabnya setiap kali China hampir kepada penyelesaian, Amerika menghalangnya dengan alasan lain atau cara lain, sebagai contoh ketika mereka hampir kepada untuk menandatangani satu perjanjian yang akan memastikan Korea Utara menutup sebuah loji nuklearnya sebagai tukar ganti kepada bantuan Amerika, namun sebaliknya Amerika membekukan dana Korea Utara di bank Macau dan menghalangnya daripada dipindahkan ke Korea Utara. Sedangkan tarikh tamat untuk menutup lojinya berakhir pada 13 April 2007 tanpa Korea Utara menerima bantuannya. Oleh sebab itu krisis itu berlarutan tanpa proses penandatangan perjanjian dan Korea Utara berkeras tidak akan menghentikan program nuklearnya selagi tidak menerima bantuan yang dijanjikan.
Walaupun bantuan itu hanyalah sebanyak 25 juta dollar, jumlah yang cukup sebagai imbalan menutup sebuah loji nuklear, tetapi penangguhan masih berlaku sehinggalah Timbalan Menteri Luar Russia memberi komen pada 16 April 2007, “Amerika sengaja mengelak satu penyelesaian untuk isu nuklear Korea Utara dengan menghalang proses pemindahan dana dari Macau.” Akhirnya pada 26 April 207, seorang perunding antara Korea Utara yang berusaha untuk mengatasi konflik ini berjanji akan menyelesaikan pemindahan dana yang dibekukan di bank Delta Ajya Macau dalam masa seminggu.
Maka inilah yang dikatakan persamaan antara konflik nuklear Iran dan Korea Utara iaitu Amerika selalu menghalang perkembangan ke arah penyelesaian demi memastikan konflik itu sentiasa berterusan untuk kepentingannya.
Kemungkinan Amerika menyerang Iran amat tipis
Peluang Amerika untuk menyerang Iran amatlah tipis untuk menyelesaikan konflik tersebut dan tidak mungkin kerana terdapat beberapa faktor yang menghalang. Situasi dalaman Amerika selepas kemenangan Demokrat, peningkatan bilangan tentera Amerika yang mati di Iraq dengan lebih banyak mayat dibawa pulang, situasi serantau (keadaan yang memalukan di Afghanistan dan Iraq) dan global yang menghalang untuk menyerang Iraq adalah antara halangan-halangan utama. Malah, keupayaan Iran sekarang juga mampu menyerang kepentingan-kepentingan Amerika di Timur Tengah. Kenyataan-kenyataan rasmi Amerika jelas menguatkan lagi pendapat ini.
Pada 29 Januari 2007, Bush telah berkata, “Bagaimana seorang itu boleh berkata tentera Amerika dan kepentingan kita tidak dapat dipertahankan melainkan dengan melakukan serangan terhadap Iran”.
Setiausaha Pertahanan Amerika pada 3 Februari 2007 telah berkata, “Kita tidak merancang perang ke atas Iran”.
Pada 5 April 2007, komander baru kepada Pemerintah Ketenteraan Pusat, Panglima William Falon yang menggantikan John Abizaid, menolak kemugkinan serangan ke atas Iran dengan berkata, “Kita sudah mempunyai masalah yang banyak di Iraq”. Ini dinyatakannya sewaktu bertemu Presiden Mesir Hosni Mubarak di Sharm el-Sheikh.
Pada 17 April 2007, ketua Operasi Tentera Laut Amerika Michael Moulin berkata yang Amerika tidak mempunyai perancangan untuk menyerang Iran dan menegaskan misi penguatan ketenteraan di Iraq adalah untuk tujuan menjaga keamanan di rantau itu.
Satu serangan Amerika ke atas Iran adalah satu perkara yang tidak mungkin berlaku melihat kepada fakta-fakta serantau dan antarabangsa yang telah dijelaskan, perkembangan global hubungan ‘vis-a-vis’ dan kepentingan yang berubah-ubah bergantung kepada realiti semasa. Dengan ini jelas Amerika cukup licik bersandiwara di sebalik isu nuklear Iran ini.
0 comments:
Post a Comment