UMAT ISLAM DI ALAM MELAYU
Masalah Umat Islam di Alam Melayu dan Kewajiban Berdakwah
Pendahuluan
Umat Islam berbangsa Melayu merujuk kepada umat yang mendiami kebanyakan kawasan Asia Tenggara dan nusantara. Pada sesuatu ketika, umat ini sering menjadi perdebatan sama ada di dalam isu yang berkaitan ekonomi, politik dan sosiobudaya. Apatah lagi melihat umat ini dilihat sebagai umat yang lesu dan mempunyai banyak masalah, dan ini disuburkan dengan penjahan fizikal dan mental oleh kufar barat masih lagi mendarah daging di dalam jiwa mereka.
Begitu juga, dahulunya umat ini telah mempunyai sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan yang besar seperti yang berpusat di Melaka, Johor Riau, Brunei, Sambas dan lain-lain. Bermula dari kerajaan di pesisir, telah berkembang dan dikembangkan melalui perdagangan antara kepulauan yang begitu dinamik dan progresif. Mereka memeluk Iswlam dan menjadikan pegangan hidup mereka dan kemudian menyebarkan agama ini dan menjadi alat perubahan dari jahiliah ke cahaya kebenaran agama Islam yang diterima oleh peribumi secara redha dan aman sejahtera. Dan inilah menunjukkan umat Melayu dulunya gemilang, cemerlang dan terbilang kerana Islam yang dijadikan cara hidup melalui contoh dakwah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang disambung oleh para-para dai' dan ulama pewaris nabi.
Masalah Umat Islam di Alam Melayu
Hari ini, umat ini sedang menempuh cabaran yang begitu besar. Cabaran ini gagal ditangani dengan baik hingga menyebabkan mereka terjebak ke dalam berbagai masalah yang semakin hari semakin meruncing. Masalah ini melanda berbagai aspek kehidupan tidak kira aqidah, politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan.
Banyak pihak telah cuba mengungkapkan masalah kelompok ini sama ada dalam bentuk tulisan atau ucapan. Mereka itu termasuklah mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir dalam bukunya Malay Dilemma (1970). Buku ini ditulis setelah melihat dan merasakan kedudukan orang-orang melayu, diskriminasi kaum dan kemiskinan penduduk khususnya di Kedah yang terdiri dari kaum tani menyayat hatinya, bersimpati dan menolongnya serta berusaha untuk membelanya..
Kemunduran umat ini diakibatkan oleh faktor penjajahan yang mengasingkan kehidupan tradisinya iaitu Islam, seterusnya terpisah dari dinamika kemajuan, tidak sebagaimana dicapai kaum-kaum lain di bandar-bandar dan menguasai tampuk ekonomi. Walaupun terdapat segelintir daripada umat ini yang berjaya, kebanyakkannya masih lemah di dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Umat ini juga seringkali dikaitkan dengan masalah dadah, jenayah, zina sehingga menunjukkan statistik yang tertinggi. Hampir setiap hari, media cetak dan elektronik akan memuatkan masalah kelompok ini secara sensasi. Sebagai contohnya, dalam bulan Jun 2006, kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar perempuan UIA ditangkap berkhalwat di Kelatan dengan seorang pemain bola sepak import dari Argentina (Utusan Malaysia 10 Jun 2006). Permasaalahan lain yang melibatkan gejala sosial khususnya melibatkan remaja melayu yang beragama Islam yang meniru gaya hidup barat juga semakin berleluasa sehingga membimbangkan masyarakat. Akhbar Kosmo misalnya, mendedahkan tahun lalu sahaja terdapat lebih daripada 70,000 bayi luar nikah di Malaysia. Melayu yang sering sinonim dengan Islam juga dikatakan yang paling ramai membeli nombor ekor dan meminum arak. Perbelanjaan arak mencecah hampir 1 bilion. Begitu juga, 6 penjara yang berhampiran bandar mengalami kesesakan teruk kerana jumlah banduan yang ditempatkan berlebihan daripada kapisiti, sekali gus menyebabkan kebajikan mereka tidak terjaga sepenuhnya (Berita Harian, 17 Jun 2005). Di samping itu juga jumlah penagih dadah yang dikumpulkan setakat Jan – Mac 2006 telah menunjukkan sebanyak 72.73% penagihnya adalah kelompok ini. (Sumber : http://www.adk.gov.my/buletin.html).
Amalan khurafat juga semakin merebak di kalangan umat ini. Walaupun dikatakan mereka adalah masyarakat moden, tetapi masih ramai yang mempercayai kepercayaan tahyul yang menyesatkan. Ini ditambah lagi dengan media yang semakin menyemarakkan kepercayaan tahyul dengan tujuan untuk melariskan jualan mereka serta meraih keuntungan sebanyak mungkin. Banyak kepercayaan karut yang dipercayai masyarakat seperti kemunculan individu yang mendakwa dirinya adalah `Nabi `untuk orang-orang Melayu di Kemensah, Ulu Klang, kemunculan ajaran Ayah Pin yang mempunyai perkampungan khas di Terengganu, amalan adat-adat seperti mandi membuang sial, mandi safar, memuja kampung, memuja semangat padi, memohon pertolongan dari jin dan lain-lain. Terdapat juga sebahagian kecil yang telah terpengaruh dengan kepercayaan-kepercayaan karut yang dianggap moden seperti Black Metal, Skin Head dan kepercayaan `Jangan Ikut Tuhan' (JIT).
Penyelesaian Masalah
" Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan". (TMQ At-Tahrim: 6)
Di dalam dunia yang dipenuhi dengan cabaran dan masalah khasnya cabaran daripada pemikiran dan budaya yang bertentangan dengan Islam, maka masyarakat ini wajib menjadikan Islam sebagai panduan untuk menyelamatkannya. Ini telah ditunjukkan oleh kepimpinan dakwah Rasulullah dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat Jahiliah Mekah, yang kita nampak sinonim dengan masalah pada hari ini.
Salah satu perkara yang diabaikan oleh ramai umat Islam ialah berdakwah. Selama ini mereka banyak berdiam diri menyaksikan kekufuran bermaharajalela di sekeliling mereka. Sementara itu musuh-musuh Islam dengan sekuat tenaga tanpa henti berusaha menghalang-halangi Islam agar tidak kembali ke pangkuan umatnya. Mereka tidak menginginkan Islam kembali berkuasa dan diakui keberadaannya.
Suatu hal yang harus disedari oleh orang Islam adalah, tanpa dakwah Islamiah, umat Islam tidak dapat mengubah kenyataan dan kezaliman yang melanda mereka, apalagi untuk menjadi umat yang berperanan memimpin kehidupan.
"Dan hendaklah ada di kalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada khair (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat perkara yang baik serta melarang perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya." (TMQ Ali-Imran: 104)
Apa dia dakwah?
Dakwah Rasulullah SAW adalah kaedah yang terbaik yang pernah ditunjukkan setelah kita melalui pelbagai cara yang tidak berkesudahan dan tidak membuahkan hasil. Dakwah Rasulullah bukan sekadar menyampaikan dan menasihati tetapi pada masa yang sama membina dan menjadikan suatu kaum dan masyarakat itu unik. Oleh itu, aktiviti dakwah Rasulullah dalam menyelesaikan masalah dan membina masyarakat jahiliah Mekkah, jelas bahawa dakwah yang beliau contohkan bukanlah calang-calang dakwah; dan bukan dakwah dan pembinaan yang hanya merupakan pemindahan ilmu atau melahirkan golongan ustaz yang tidak berkualiti; bukan pula hanya melakukan pembinaan untuk sekadar melakukan kewajiban. Dakwah yang dimaksudkan adalah pemindahan tsaqâfah (tatsqîf). Dakwahnya menjurus kepada perubahan sikap dan tingkah laku.
Dakwah Rasulullah bermula dengan pembinaan secara intensif (tatsqîf murakkaz) yang bertujuan menghasilkan ahli dai. Orang-orang yang dibina secara intensif semestinya telah memahami bahawa proses pembinaan tersebut bertujuan untuk memahami Islam yang akan diterapkan dan dikembangkan ke dalam masyarakat. Pembinaan intensif bermatlamat untuk membentuk keperibadian Islam (syakhshiyyah Islâmiyyah) para ahli dakwah. Mereka akan dibina corak pemikirannya menjadi corak berfikir Islami (`aqliyyah islâmiyyah) dengan kajian dan penanaman pemahaman; jiwanya juga dibina menjadi jiwa yang Islami (nafsiyah Islâmiyyah) melalui keyakinan terhadap pemikiran-pemikiran Islam yang dikaji serta pengamalannya.
Oleh yang demikian, pembinaan tersebut dilandaskan kepada:
1. Kaedah fikriyyah. Ertinya, pemikiran Islam disampaikan dengan disertai dalil dan cara penarikan maknanya (istinbâth), atau dengan faktanya jika berkaitan dengan realiti. Dengan cara demikian, para ahli dai benar-benar memahami apa yang mereka kaji dan pelajari.
2. Landasan iman. Ertinya, pemikiran Islam (baik akidah maupun syariatnya) yang sedang dikaji diyakini sebagai pedoman hidup, diyakini berasal dari Allah SWT yang bersumber dari wahyu. Pembinaan intensif bukan sekadar untuk kepuasan intelektual semata.
3. Amal. Ertinya, apa yang telah diketahui diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Setiap hukum syarak yang dipelajari dan belum dapat diterapkan wajib diperjuangkan untuk dapat dilaksanakan.
4. Dakwah. Ertinya, pemahaman yang telah dipelajari bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan ke masyarakat.
Dengan pembinaan intensif seperti ini akan menghasilkan ahli-ahli dai' yang rajin beribadah di masjid (ahlul mihrab) sekaligus perajurit di medan jihad (bathalul jihâd), pejuang (mujâhid) dan ahli ibadah (`âbid). Para ahli inilah yang akan berjuang menyatukan Islam dengan umat di tengah-tengah masyarakat melalui berbagai pembinaan, baik intensif maupun umum.
Para ahli dai secara terus-menerus melakukan dakwah pemikiran, pendapat, dan keyakinan yang digali dari Islam kepada umat. Masyarakat atau umat Melayu akan dapat dibina pemikiran dengan akidah islamiyah, hukum syariat, realiti yang ada serta tinjauan akidah Islam dan hukum syariat terhadapnya. Maka akan terbentuklah dalam masyarakat yang ingin kita perbaiki dengan pemikiran, pendapat dan keyakinan Islam semata yang diambil dari Rasulullah secara terus menerus dan inilah yang dipanggil sebagai membentuk pandangan umum.
Untuk membentuk pandangan umum tersebut diperlukan dakwah pembinaan umum (tatsqif jama'i). Kalau dulu Nabi Saw dan para sahabatnya melakukan pembinaan umum di rumah dengan mengundang makan, di Bukit Shafa, di kebun kurma, atau saat musim haji; sekarang dapat dilakukan di hotel, kawasan terbuka, kilang, pusat membeli-belah, di pejabat, masjid, dan lain-lain lagi tanpa mengira duit ringgit mereka. Di mana ini memerlukan satu pendekatan yang mencontohi kepimpinan dakwah Rasulullah.
Keunikan Dakwah Rasulullah
Keistimewaan dan uniknya Islam dibandingkan dengan ajaran agama dan ideologi lain antaranya adalah Islam mewajibkan bagi setiap penganutnya untuk bertanggungjawab terhadap saudaranya dan segenap umat manusia pada setiap waktu dan keadaan. Tanggungjawab itu wajib selalu dilaksanakan oleh umat Islam.
Di dalam Islam tidak ada tempat bagi kehidupan individualistik (sikap mementingkan diri sendiri) maupun hedonistik. Sikap seorang muslim apabila dia dihadapkan secara bersamaan masalah dirinya sendiri dengan masalah kaum muslimin, maka masalah kaum musliminlah yang harus terlebih dahulu diperhatikan. Sikap mendahulukan kepentingan saudara seislam berbanding kepentingan diri sendiri adalah sesuatu yang mulia dan merupakan pemikiran yang lebih tinggi nilai dan manfaatnya sehingga Islam telah meletakkan sikap seorang muslim seperti itu sebagai orang yang betul-betul beriman.
Rasulullah saw bersabda:
"Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka" (HR Thabrani dari Abu Dzar al-Ghifari)
Sikap mengabaikan dakwahlah yang menyebabkan kemungkaran bermaharajalela. Masyarakat terpengaruh dengan budaya Barat yang menyebabkan kita mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain. Sesiapa yang menegur ke arah kebaikan dituduh "menjaga tepi kain orang". Malah ada yang marah jika ditegur dan memperkecilkan mereka yang cuba berdakwah dengan bermacam-macam alasan antaranya dengan meremehkan kelayakan orang yang berdakwah sedangkan Nabi Muhammad saw bersabda:
"Sampaikan dariku walau pun satu ayat"
"Katakan yang hak walau pahit sekali pun"
Firman Allah SWT:
"Siapakah yang lebih baik ucapannya dibandingkan dengan orang-orang yang menyerukan Islam dan beramal soleh sambil berkata,"Sesungguhnya aku adalah bahagian dari umat Islam." (TMQ al-Fusilat, 41: 33)
Menyeru manusia ke jalan Allah SWT merupakan kewajiban sekaligus ibadah yang boleh menghantarkan pelakunya untuk dekat (taqarrub) dengan Tuhannya. Dakwah juga mengajarkan pelakunya bahwa kedudukannya di hadapan Allah adalah sangat tinggi; Allah akan mengangkat kedudukannya di dunia mahu pun di akhirat. Dakwah ke jalan Allah juga merupakan kegiatan terpenting dari para nabi. Mereka semuanya sentiasa menjalankan kegiatan dakwah. Melalui jalan dakwah juga mereka berupaya menegakkan agama Allah. (Ahmad Al-Mahmud, jilid I, h. 14, Dakwah Islam)
"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (TMQ An-Nahl, 16: 125)
Ayat di atas menjelaskan cara mengembangkan dakwah Islam. Dakwah mengajak manusia kepada Islam, ayat tersebut menjelaskan bahwa manusia diajak kepada agama Allah, melalui 3 cara. Salah satunya adalah dakwah dengan hikmah. Hikmah adalah burhan al-aqli (hujjah yang diterima aqal). Maksudnya, hujjah yang masuk aqal, yang tidak dapat dibantah. Hujjah yang memuaskan. Yang boleh mempengaruhi jiwa (fikiran dan perasaan) siapa sahaja kerana manusia tidak dapat menutupi aqalnya di hadapan hujjah-hujjah yang pasti serta pemikiran yang kuat. Berdakwah dengan hujjah dan hujjah dapat mempengaruhi kalangan pemikir mahu pun bukan pemikir. Ia ditakuti oleh orang-orang kafir serta orang-orang atheis (yang menolak Tuhan) sebagaimana juga ditakuti oleh orang-orang sesat lagi menyesatkan sebab ia dapat membongkar makar kebatilan, menerangi wajah kebenaran, dan menjadi api yang mampu membakar kerosakan sekaligus menjadi cahaya yang dapat menyinari kebenaran. Dari sini kita dapat menemukan, bahwa Al-Quran datang dengan hujjah-hujjah yang jelas dan hujjah-hujjah yang logik. Ia menyeru aqal manusia, di dalamnya terkandung bentuk ungkapan yang paling dalam dengan gaya argumentasi mahu pun hujjah (Syeikh Taqiuddin Nabahani, h. 33, Islam, Dakwah dan Politik)
"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (TMQ Ar-Ra'd, 13:11)
Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya bertajuk `Jami'u li Ahkam il-Quran' mengatakan:
"Allah memberitahu dalam ayat ini bahwa Dia tidak mengubah apa yang terdapat dalam sesuatu kaum kecuali perubahan itu berlaku dari mereka, sama ada dari mereka (sendiri) atau dari penyelia (urusan mereka yakni pemimpin) atau dari orang yang (dilantik) di kalangan mereka. Maka maksud ayat ini bukanlah ia hanya diturunkan untuk hukuman ke atas individu sahaja dan ia bukanlah hanya seruan supaya menjauhi dosa. Sebaliknya, ia telah diturunkan untuk memperbetulkan dosa-dosa lain juga. Sebagaimana beliau berkata (dalam hadis),"…Telah disoal,'adakah kita akan dimusnahkan ketika orang-orang yang baik terdapat di kalangan kita?' Beliau (SAW) menjawab,'Ya, jika kerosakan bertambah" [Sahih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan oleh Zainab binti Jahsh tentang Ya'juj]
Al-Qurtubi telah menjelaskan dalam tafsirnya bahwa ayat ini tidak hanya menumpukan kepada individu sahaja. Beliau memetik hadis yang menempelak dalam bentuk kemusnahan ke atas seluruh masyarakat jika mereka meninggalkan yang lain sendirian untuk mengamalkan kemaksiatan tanpa mengatasinya, walau pun terdapat orang-orang yang baik di kalangan mereka.
"Kaum Mukmin laki-laki dan wanita itu, sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lainnya; mereka memerintahkan kebajikan dan mencegah kemungkaran." (At-Taubah, 9: 71)
Dalam hal ini, al-Qurtubi menyatakan, "Allah SWT telah menjadikan amar makruf nahi munkar sebagai faktor pembeza antara orang-orang Mukmin dan orang-orang munafik. Hal ini menunjukkan bahwa ciri-ciri dan sifat yang paling menonjol pada kaum Mukmin adalah amar makruf nahi munkar dan puncaknya adalah dakwah Islam". (Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, jilid 4, h. 47) (Ahmad Al-Mahmud, Dakwah Islam, h. 25)
Oleh kerana itu seorang muslim diwajibkan untuk melakukan dakwah di setiap waktu dan keadaan. Tanpa dakwah dan usaha untuk melakukan perubahan, tidak mungkin umat Islam dapat keluar atau terlepas dari kenyataan yang dihadapi mereka. Perubahan yang dimaksudkan haruslah sesuatu perubahan yang islamik, menyeluruh dan bersepadu. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh diharapkan agar keinginan dan semangat untuk melakukan dakwah dan perubahan itu akan menjadi public opinion seluruh kaum muslimin, sehingga segala amar ma'ruf dan nahi mungkar serta dakwah yang menyeru kepada Islam menjadi suatu kebiasaan hidup bagi setiap orang. Dengan adanya usaha seperti itu, Allah swt akan memudahkan pencapaian cita-cita dan memperkenankan doa kta. Sebab tanpa tegaknya amar ma'ruf nahi mungkar, nescaya tidak mungkin Allah swt memperkenankan doa-doa kita.
Sabda Rasulullah saw yang patut dijadikan renungan:
"Demi diriku yang ada ditanganNya (pilihlah): apakah kamu menyuruh berbuat amar ma'ruf dan mencegah kemungkaran, ataukah Allah swt akan menurunkan kepadamu siksaan yang apabila kamu berdoa kepadaNya, maka Allah swt tidak akan memperkenankan doamu" (HR Tirmidzi dari Huzaifah bin Yaman)
Penutup
Dakwah mestilah dakwah pembinaan, baik bersifat intensif bersifat umum bagi masyarakat di alam Melayu khasnya dan umat Islam umumnya, amat penting dalam perubahan masyarakat demi menyelesaikan masalah yang sudah dianggap parah menunggu ditalqinkan. Tanpa pembinaan intensif (tatsqîf murakkazi) perubahan ke arah menyelesaikan masalah umat Melayu yang kronik tidak akan terjadi; kalaupun terjadi, itu hanyalah bersifat "penampalan" dan "trial and error" yang akan menuju ke arah yang tidak jelas; bahkan hanya akan menghasilkan gerakan semangat "tahi ayam" - awal semangat, tetapi di tengah jalan, ketika menghadapi kesulitan, akan kecundang dan masalah yang ada akan berpanjangan dan malah bertambah teruk.
Demikian pula, tanpa pandangan umum umat Melayu tidak akan bergerak melakukan perubahan. Pandangan umum yang tidak lahir dari kesedaran umum hanya akan berhenti pada sikap sambil lewa. Akibatnya, perubahan yang terjadi hanya simbolik, asal berubah, atau yang berubah hanyalah individunya dan bukan keseluruhannya. Sementara itu, sistem penjajah yang kufur yang selama ini merupakan pembentuk dan pemangkin kepada kemunduran dan kegagalan serta kemelesatan tidak akan berubah.
Di sinilah kepentingannya pembinaan umat Melayu, baik pembinaan intensif untuk membentuk ahli dai ataupun pembinaan umum umat Melayu untuk mewujudkan pandangan umum, dalam proses perubahan masyarakat ke arah Islam dan sekaligus mengangkat martabat Umat Melayu sekali lagi.
Wallahu a'lam bi ash-shawab.
0 comments:
Post a Comment