ISLAM SEBAGAI SUATU MABDA(IDEOLOGI) YANG SYUMUL(LENGKAP)
Islam : Mabda' (Ideologi)
Yang Syumul (Lengkap)
Sejak keruntuhan Khilafah (Negara yang menerapkan Islam secara kaffah) pada 3 Mac 1924 (28 Rejab 1342H), umat Islam telah kehilangan suatu sistem pelindung dari pelbagai serangan sama ada pemikiran mahu pun fizikal. Usul penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (ICM) oleh 24 pertubuhan termasuk Majlis Peguam pada bulan Februari 2005 baru-baru ini di Kuala Lumpur dan bantahan terhadap serbuan oleh Jabatan Agama Wilayah Islam (JAWI) terhadap Kelab Malam Zouk adalah contoh bagaimana segelintir orang semakin berani mencabar Islam. Alhamdulillah segolongan umat Islam menentang hebat penubuhan ICM kerana ia dilihat akan mencampuri urusan agama dan memusuhi undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik sebuah badan perundingan dan penasihat (Mingguan Malaysia, 27/2/05).
Dengan runtuhnya Khilafah musuh-musuh Islam sentiasa mengugut para pendakwah Islam demi mengekang kebangkitan umat Islam, seperti Ustaz Abu Bakar Baasyir di Indonesia yang dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan akibat tekanan Amerika (Berita Harian, 4/3/05). Islam dilihat sebagai penghalang kepada kerakusan kuasa Barat khususnya Amerika. Barat menetapkan kayu ukur bagi peradaban. Mana-mana mabda' (ideologi) khususnya Islam yang menyalahi piawaian ini akan dilabelkan militan, pengganas, pelampau, jumud dan diktator. Tidak kurang terdapat umat Islam yang jatuh dalam perangkap ini dan cuba mempertahankan Islam tetapi tanpa sedar melakukannya mengikut acuan barat seperti mereka konsep Islam liberal dan Islam sederhana.
Saat ini terdapat umat Islam yang menganggap Islam tidak lebih dari aqidah ruhiyah (kerohanian) yang hanya membicarakan tentang ibadat sahaja. Nabi Muhammad saw dan para sahabat telah menunjukkan kepada kita bahwa mereka bukan hanya ahli ibadat tetapi juga adalah negarawan, pakar ekonomi, mujahidin dan pentadbir yang cekap. Pendekatan mereka memenuhi tuntutan Allah swt:"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh)" (TMQ Al-Baqarah: 208)
Demi menegakkan Islam secara menyeluruh, mereka telah berhijrah ke Madinah dan mendirikan sebuah Negara Islam yang berdiri utuh selama lebih 1400 tahun malah mencabar empayar dan ideologi buatan manusia yang lain. Malangnya musuh-musuh Islam tidak berdiam diri. Perdana Menteri Britain, Gladstone, dalam tahun 1882, sambil mengangkat al-Quran dalam parlimen Britain beliau mengatakan bahawa untuk membolehkan umat Islam dijajah, mereka mesti dijauhkan dari al-Quran atau pemikiran-pemikiran Islam. Akibat serangan pemikiran Barat, kita lihat ramai umat Islam yang memperjuangkan Islam tetapi mencampur adukkannya dengan ideologi kapitalisme dan sosialisme. Sebagaimana ucapan seorang yang dianggap intelektual Muslim Malaysia iaitu Dr. Farish Noor apabila dia mengatakan:"Islam adalah wacana dan semua wacana adalah terbuka, boleh dicabar" (2001)
Hakikat Islam adalah mabda' iaitu aqidah aqliyah yang melahirkan peraturan. Aqidah adalah pemikiran menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan serta tentang apa yang ada sebelum dan setelah kehidupan, disamping hubungannya dengan sebelum dan sesudah kehidupan. Oleh itu, aqidah Islam menjawab soalan yang berkaitan dengan kewujudan manusia di dunia. Inilah panduan asas bagi manusia ketika menjalankan kegiatan hidupnya. Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw dengan penjelasan yang lengkap dan tepat berbagai peraturan yang berkaitan dengan:
1. Hubungan antara manusia dengan Penciptanya (ibadah)
2. Hubungan manusia dengan dirinya sendiri (akhlaq ),
3. Hubungan sesama manusia iaitu politik, pergaulan, ekonomi, hubungan antarabangsa serta urusan muamalah lain. (Ahmad Atiyat, At-Tariq, Dar al-Bayariq, 1996)
"Hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agama kamu dan telah Aku cukupkan nikmatku bagimu, serta Aku redai Islam sebagai agama bagimu." (TMQ Al-Maidah: 3)
Mabda' Islam juga mencakupi tariqah (method) untuk:
(1) Menerapkan berbagai penyelesaian tersebut,
(2) Memelihara Aqidah agar bertahan dalam arena kehidupan, dan
(3) Menyebarkan aqidah kepada mereka yang belum meyakininya.
Tatacara untuk melaksanakan mabda' ini iaitu menerapkannya dalam wadah Negara Islam (Khilafah). Dalam melaksanakan mabda' tersebut, Negara berpegang kepada 2 perkara:
(1) Ketakwaan seorang muslim dan
(2) Penguatkuasaan undang-undang Islam dan seluruh hukumannya.
Mengenai tatacara untuk mengembang dan menyebarkan mabda' pada bangsa-bangsa lain yang belum mengimaninya adalah dengan jihad oleh Negara. Jihad bertujuan untuk menghilangkan berbagai halangan dan rintangan bersifat fizikal, yang menghalang bangsa tersebut memahami hakikat Islam. Di atas kefahaman inilah, Negara Islam yang didirikan oleh Rasulullah saw berhasil menyaingi dua kuasa besar iaitu Rom dan Farsi (Iran) hanya dalam masa 13 tahun setelah didirikan. Melalui jihad, Khilafah pernah memerintah Sepanyol (800 tahun), Portugal (600 tahun), Greece (500 tahun) dan Bulgaria (500 tahun).
Carly Fiorina, Ketua Pegawai Esekutif dari syarikat Hewlett-Packard berucap pada 26 September 2001 di Minnesota, Amerika Syarikat : "Pada suatu ketika dahulu wujud satu peradaban yang terhebat di dunia. Ia mampu mencipta sebuah Negara perkasa antara benua yang melingkari dari satu lautan ke lautan yang lain, dari iklim dingin ke iklim tropika dan padang pasir. Dalam wilayahnya tinggal beratus juta orang, yang berbilang kepercayaan dan bangsa. Salah satu bahasanya (Bahasa Arab) menjadi bahasa universal di kebanyakan tempat di dunia, yang menghubungkan antara orang-orang dari beratus wilayah. Tenteranya terdiri dari berbagai bangsa dan perlindungan ketenteraannya telah mewujudkan tahap ketenteraman dan kemakmuran yang tidak pernah d**etahui sebelum ini. Pencapaian perdagangannya tersebar dari Latin Amerika hingga China dan wilayah yang berada di antara kedua-dua Negara itu. Peradaban ini dipicu oleh berbagai rekacipta. Para arkiteknya mereka bangunan-bangunan yang melawan graviti. Ahli matematiknya mereka algebra dan algoritma yang membolehkan pembinaan computer dan penciptaan `encryption'. Para doktornya mengkaji tubuh manusia dan menemui rawatan baru untuk penyakit. Ahli astronominya mengkaji langit, memberi nama kepada bintang-bintang dan membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas Ketika bangsa-bangsa lain takut mengeluarkan idea, peradaban ini memperkukuhkannya dan mempertahankannya.
Apabila peradaban silam mengancam untuk menghapuskan ilmu, peradaban ini menghidupkan ilmu dan memindahkannya kepada yang lain. Peradaban yang saya maksudkan adalah dunia Islam dari tahun 800 hingga 1600, yang termasuk Khilafah Usmaniyah dan kota Baghdad, Damsyiq dan Kaherah, dan para Khalifah yang cemerlang seperti Sultan Sulaiman (Khilafah Usmaniyah). Secara tidak sedar kita telah terhutang budi kepada peradaban ini, sumbangannya merupakan sebahagian daripada warisan kita. Industri teknologi tidak akan wujud tanpa sumbangan ahli matematik Arab. Pemimpin seperti Sultan Sulaiman menyumbangkan konsep toleransi dan kepimpinan. Dan kita juga boleh mempelajari dari contoh ini: Ia (Khilafah) adalah kepimpinan berasaskan meritokrasi, bukannya warisan. Ia adalah kepimpinan yang mengembangkan sepenuhnya kemampuan yang dimiliki oleh masyarakatnya yang majmuk yang merangkumi tradisi Islam, Kristian dan Yahudi. Kepimpinan yang cemerlang ini adalah kepimpinan yang memupuk budaya, keutuhan, kepelbagaian dan keberanian yang merakamkan sejarah 800 tahun yang penuh dengan rekacipta dan kemakmuran."
Apabila Islam tidak dilaksanakan sebagai mabda', aqidah Islam pun tidak terpelihara. Di Turki tentera telah membuat kajian bahawa menjelang 2020, 7 juta Muslim di Turki dijangka akan murtad menjadi kristian. Di Indonesia, 13 juta telah murtad menjadi kristian katolik. Di Malaysia, kita pernah d**ejutkan dengan berita seorang bernama Aishah murtad setelah jatuh kepada pujuk rayu kekasihnya. Kejadian ini tidak akan berlaku apabila peraturan Islam dilaksanakan iaitu mereka yang murtad dihukum bunuh jika enggan bertaubat sehingga 3 hari. Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia (Berita Harian, 29/1/05) dengan bimbang mengatakan:"Saya nampak kes jenayah semakin menjadi-jadi. Apa nak jadi pada negara kita. Ini menunjukkan penjenayah tidak takut kepada undang-undang kita." Islam telah membuktikan bahawa ketika ia diterapkan, kadar jenayah begitu rendah, tercatat hanya 200 kes hudud sahaja yang dijatuhkan dalam tempoh 1400 tahun ia memerintah. KhatimahUmat Islam tidak sewajarnya ragu tentang Islam seperti d**ehendaki musuh-musuh Islam.
Ingatlah firman Allah swt:"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan berpuas hati dengan kamu selagi kamu tidak mengikut aqidah mereka"
Musuh-musuh Islam seperti Amerika memahami bahawa Islam adalah mabda' yang sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan kebiadapan kapitalisme. Kita mendapat pelajaran yang berharga dari peristiwa serangan Serbia ke atas Bosnia dan serangan Amerika ke atas Iraq. Iraq dan Bosnia telah tunduk kepada kehendak musuh tetapi tetap diserang. Kita wajib yakin bahawa hanya dengan berpegang teguh kepada Islam sebagai mabda' yang lengkap kita akan mencapai kemuliaan dan mendapat keredaan Allah swt. Tiada siapa yang dapat menafikan hatta musuh-musuh Islam sekali pun bahawa umat Islam adalah umat yang disegani ketika Khilafah tertegak sejak Nabi Muhammad saw mendirikan Negara di Madinah hinggalah kejatuhan Khilafah Usmaniyah pada 3 Mac 1924.
Sebuah badan pemikir Amerika, National Intelligence Council (NIC), baru-baru ini meramalkan bahawa Khilafah akan tertegak menjelang 2020 dan menurut kajian mereka, Khilafah ini akan menerapkan mabda' Islam merangkumi wilayah yang luas dan mencabar kuasa besar seperti Amerika. Mereka melihat bahawa Khilafah bukanlah suatu khayalan malah adalah suatu realiti yang hanya menunggu masa sahaja untuk muncul. InsyaAllah dengan kegigihan mereka yang yakin dengan Allah dan RasulNya Khilafah akan tertegak lebih awal dari yang diramalkan oleh NIC. Oleh itu umat Islam mestilah memahami kewajiban untuk melaksanakan Islam sebagai mabda' yang praktikal dan tidak menganggapnya sebagai khayalan dan bersegera melakukan dakwah pemikiran supaya Khilafah akan kembali untuk menerapkan keadilan, membawa kemakmuran dan menyelamatkan manusia dari penindasan ideologi buatan manusia khususnya kapitalisme.
Wallahua'lam
0 comments:
Post a Comment