HIKAYAT 1 DALIH, 1001 PEPERANGAN
HIKAYAT 1 DALIH, 1001 PEPERANGAN
[SN] 11 September 2006 menandakan genapnya 5 tahun peristiwa pelanggaran pesawat terbang ke atas bangunan World Trade Centre (WTC), sebuah mercu tanda kemegahan rejim Amerika Syarikat (AS). Walaupun tragedi ini telah lama berlalu, tetapi perhatian, penyiaran, perbincangan dan respon yang diberi menunjukkan seolah-olah ianya seperti baru semalam berlaku. Inilah di antara kejayaan AS dalam membawa dunia untuk sentiasa memikirkan dan bersetuju dengan apa yang mereka lakukan rentetan dari peristiwa tersebut.
Seperti tahun-tahun yang lalu, tragedi ini akan diperingati di seluruh dunia samada dengan menyiarkan semula rakaman peristiwa, bertafakkur beberapa minit, mengalungkan bunga-bunga di pusara, serta menangisi pemergian mereka yang telah terkorban termasuklah anjing kesayangan mereka. Peringatan sebegini dibuat oleh AS di dalam usaha mereka untuk cuba menunjukkan kepada dunia bahawa keganasan seperti ini patut dijadikan pengajaran agar tidak berulang di masa akan datang. Yang lebih tepat adalah peringatan tersebut sebenarnya ditujukan kepada rakyat AS khasnya dan penduduk dunia amnya agar sentiasa berwaspada terhadap Islam (Islamphobia) dan kaum Muslimin yang dianggap sebagai golongan ‘pengganas’.
‘Peringatan’ juga ditujukan khas kepada pemimpin-pemimpin kaum Muslimin yang tunduk kepada Barat agar berhati-hati dengan golongan yang ingin menegakkan semula Deen Allah di muka bumi ini kerana mereka ini adalah ‘pengganas’. Jika perlu, tangkap, penjara dan bunuh sahaja mereka. Tetapi bagi golongan yang mengamalkan cara hidup Barat, mengambil undang-undang dan sistem Barat, berpemikiran sekular dan liberal, mesti dijaga, malah diangkat setinggi-tingginya. Inilah kesan yang paling nyata selepas tragedi 9/11 di mana siapa sahaja di kalangan umat Islam yang tidak tunduk kepada kehendak rejim AS akan dianggap sebagai pengganas, tetapi mereka yang mengikut telunjuk mereka akan dianggap sahabat. Oleh itu, selagi ada golongan yang memusuhi AS, maka selagi itulah AS akan memanfaatkan tragedi 9/11 ini untuk menghapuskan umat Islam melalui dasar ‘Perang Melawan Keganasan’.
SEGALA-GALANYA 11 SEPTEMBER
Semenjak tragedi 11 September 2001, sandiwara AS benar-benar terserlah di dalam setiap peristiwa yang berlaku. Setelah rejim kejam AS berpuas hati membunuh umat Islam di Afghanistan dan meletakkan agen mereka, Hamid Karzai di sana, AS kemudian merancang untuk menyerang Iraq. Selain dari alasan Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran, AS juga turut menjustifikasi serangan mereka dengan mengatakan bahawa Iraq mempunyai hubungan dengan kejadian 11 September 2001. Ia dikatakan bermula dengan pertemuan sulit Muhammad Atta (kononnya salah seorang perancang 11 September) dengan perisik Iraq di Prague, Republik Czech pada April 2001. Menteri Dalam Czech, Stanislar Gross mengesahkan Atta berada di Prague pada 2001 dan telah bertemu dengan Samir al-Ani, diplomat Iraq. Menurut satu akhbar German, Atta telah memberikan arahan tentang serangan pada 11 September pada satu pertemuan yang lebih awal dan beliau datang kembali ke Prague untuk mengambil bungkusan antraks pada April 2001 [Daily Telegraph, 1/12/2001].
Itulah di antara kejadian-kejadian yang dikatakan berlaku. Tetapi pada akhir siasatan, polis Czech memutuskan bahawa tiada dokumen ditemui yang membuktikan Atta pernah melawat Prague pada 2001. Bukti yang ada hanya menunjukkan bahawa dia pernah melawat Prague dua kali pada tahun 2000. Polis juga menyatakan bahawa lelaki yang kelihatan seperti Atta yang bertemu Samir al-Ani sebenarnya adalah seorang warga Iraq yang bernama Saleh, seorang penjual kereta terpakai yang datang dari Nuremberg, German [Daily Telegraph, 18/12/2001].
Cerita ini sebenarnya direka oleh Barat sebagai propaganda agar dunia mempercayai bahawa wujud satu konspirasi (oleh orang Islam) dalam meletupkan WTC. Kepercayaan masyarakat dunia kepada propaganda ini akan memudah dan memperlancarkan segala serangan rejim AS ke atas negeri umat Islam. Dakwaan AS di atas disahkan salah apabila Time Magazine pada 13/5/2002 menyatakan bahawa cerita tersebut adalah lemah, manakala BBC Online mengesahkan bahawa Atta berada di Florida ketika itu [BBC Online, 1/5/2002]. Perang Iraq sebenarnya tiada kaitan dengan 11 September, tetapi cerita pertemuan Atta di Prague masih ditanam supaya melekat di pemikiran orang ramai. Barat mahu kita percaya bahawa perang Iraq juga berkaitan dengan perang melawan pengganas. Dengan kata lain, pemikiran masyarakat dunia sentiasa dikongkong agar tidak melupakan peristiwa 11 September.
Walaupun AS sebenarnya telah lama mengaitkan umat Islam dengan keganasan, mereka benar-benar berjaya melakukannya setelah peristiwa 11 September 2001. Bermula dari sini, setiap kejadian yang berlaku dilabel dengan begitu mudah sebagai ‘keganasan’. Dunia pun diheret untuk mempercayainya sebagai keganasan. Yang terbaru adalah peristiwa cubaan meletupkan kapal terbang Trans Atlantik yang dikatakan bertujuan menyerang rejim AS dari London. Kejadian ini mungkin direka kerana dunia telah melupakan kisah letupan bas dan keretapi di London pada 7 Julai 2005 yang sudah semakin lapuk. Bukan sahaja di Barat, malah letupan keretapi di India pun dikaitkan dengan pengganas atau 11 September. Maka keluarlah kenyataan-kenyataan dari pemimpin Barat yang mahu kita percaya kewajaran dan kepentingan ‘perang melawan pengganas’(War on Terror).
Rejim Amerika secara konsisten menggunakan isu ini untuk menarik persetujuan rakyat menyokong dasar luar mereka. Perang-perang yang berlaku juga sering dikaitkan dengan isu melawan pengganas. Usaha rakyat Palestin yang mempertahankan bumi mereka dari pencerobohon Israel dilabelkan pengganas. Kemenangan parti Hamas melalui pilihanraya tidak disahkan kerana dikatakan ekstrim dan serangan sentiasa dilakukan ke atas Hamas atas alasan menghapuskan pengganas. Serangan terbaru Israel selama 34 hari ke atas Lebanon turut dikatakan untuk melemahkan Hizbullah yang dicop sebagai pengganas. Pendek kata, apa-apa sahaja perang yang mereka isytiharkan akan dikatakan perang melawan keganasan.
Wahai kaum Muslimin! Allah Subhanahu wa Ta’ala memperingatkan kita di dalam firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti...” [TMQ Al-Hujurat (49):6]. Jika Allah mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan berita dari orang-orang fasik, apatah lagi jika berita-berita tersebut datangnya dari orang-orang kafir yang memusuhi Islam, orang-orang kafir yang menjadi musuh Allah dan musuh kita semua. Oleh itu, sungguh pelik sekiranya pemimpin kaum Muslimin benar-benar percaya dengan berita yang dibawa oleh rejim Amerika. Sungguh aneh sekiranya para pemimpin benar-benar percaya bahawa majoriti gerakan Islam adalah gerakan pengganas sebagaimana yang diberitakan oleh rejim AS. Sungguh keji pula bagi para pemimpin kaum Muslimin yang sengaja mengada-ngadakan berita bahawa gerakan ini dan gerakan itu adalah pengganas. Mereka ini benar-benar mengikut telunjuk Barat.
ISLAM TERUS MENJADI MANGSA
Atas satu tiket ‘Perang Melawan Keganasan’ dengan harga bangunan berkembar WTC dan 2,973 nyawa rakyat Amerika serta warga asing, umat Islam terus-menerus menjadi mangsa dan habuan AS. Dengan mengkambing hitamkan sebuah organisasi ‘pengganas’ al-Qaeda, harta, nyawa dan negeri-negeri umat Islam terus diceroboh dan diserang. Bermula dengan Afghanistan atas nama Operasi Keadilan Sejagat, sekitar 20,000 hingga 49,600 nyawa terkorban, yang kebanyakannya adalah orang awam, wanita, kanak-kanak dan warga tua. 16 Oktober 2002, Iraq pula mendapat gilirannya. Pemimpin-pemimpin dunia Islam hanya berpeluk tubuh menyaksikan saudara-saudara mereka dibunuh sehingga ke hari ini, walaupun angka kematian terus meningkat dari sehari ke sehari.
Secara logiknya, jika benar tragedi 9/11 adalah hasil kerja tangan orang Islam, AS sepatutnya membalas dengan balasan yang sewajarnya sahaja. Tetapi hakikatnya, rejim pengganas Amerika membunuh ratusan ribu nyawa umat Islam yang mereka tahu langsung tidak terlibat dengan kejadian tersebut. Kempen ‘Perang Melawan Keganasan’ yang dilancarkan telah mengorbankan jumlah yang jauh tidak munasabah berbanding korban di WTC. AS bukan sekadar membunuh, malah mereka berjaya mengaut segala kekayaan yang ada di negara umat Islam dan menempatkan boneka mereka. Jika dulu Afghanistan diperintah oleh Taliban yang dikenali tidak tunduk kepada AS, maka sekarang rejim AS berjaya ‘memerintah’ Afghanistan dengan meletakkan agen mereka, Hamid Karzai si pengkhianat umat. Jika dulu Iraq diperintah oleh si pembunuh yang kejam, Saddam Hussein tanpa campurtangan langsung dari AS, maka sekarang, AS sekali lagi berusaha menempatkan ‘orang’nya di sana. Dalam pada itu, segala kekayaan bumi Iraq telah pun disedut oleh rejim durjana AS. Sungguh pembunuhan dan pencerobohan yang dilakukan oleh regim Amerika di luar batas kemanusiaan. Tidak hairanlah sekiranya mereka akan sanggup meletupkan WTC dan membunuh ribuan rakyat mereka sendiri demi untuk mendapatkan habuan yang lebih besar. Barat ingin menuduh Islam ganas dan kejam, tetapi tindakan mereka sebenarnya yang lebih kejam dan ganas!
Itu hanyalah satu sisi dari kejayaan AS yang ternampak oleh mata kasar. Satu sisi lagi yang lebih bahaya yang tidak disedari oleh umat Islam ialah berjayanya AS menanamkan pemikiran kepada para pemimpin umat Islam bahawa sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Barat adalah pengganas. Malah yang lebih dahsyat lagi, AS berjaya menanamkan kefahaman dan menakutkan para pemimpin umat Islam bahawa sesiapa sahaja yang berjuang untuk menegakkan agama Allah adalah pengganas. Dengan propaganda baru yang dilancarkan ini, maka rejim AS tidak perlu lagi ‘turun padang’ untuk memerangi golongan ini, sebaliknya para pemimpin umat Islam sendirilah yang akan memerangi gerakan-gerakan Islam yang ikhlas samada dengan menangkap, membicarakan, memenjarakan atau membunuh mereka. Golongan yang menjadi sasaran sudah pasti golongan yang benar-benar cintakan Islam dan berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam di muka bumi. Oleh itu, kita menyaksikan betapa gerakan-gerakan Islam dipantau oleh pemerintah kaum Muslimin kerana mereka benar-benar telah terbius dengan pemikiran kufur Barat bahawa setiap gerakan Islam adalah bahaya dan mereka adalah ‘pengganas’, terutamanya gerakan yang benar-benar ingin menegakkan Sistem Pemerintahan Islam dengan mengikut thariqah (method) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Wahai kaum Muslimin! Lihat dan nilailah dengan pandangan yang jernih bahawa gerakan Islam yang dituduh melakukan keganasan (jikapun ada), pada hakikatnya berjuang untuk menyambung kembali kehidupan Islam dan menghapuskan hegemoni Barat dan kepentingan-kepentingan mereka di negara umat Islam. Setiap peristiwa keganasan, sudah pasti Al-Qaeda yang dituduh, meskipun tanpa bukti yang nyata. Setiap peristiwa yang dilaporkan, sudah barang pasti ditanggapi sebagai penentangan terhadap rejim kufur AS. Selain itu, setiap kejadian yang berlaku pasti akan dipenuhi dengan segala kontrovesi, dari A sampai Z. Peristiwa bom Bali sebagai contoh; bom yang digunakan adalah dari jenis C4 yang ternyata bukan mudah untuk diperolehi di Indonesia tetapi cukup banyak digunakan di negara AS sendiri.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah kenapa Barat terus menerus menuduh dan memaksa kita untuk mempercayai bahawa ‘pengganas’ benar-benar wujud, agar selepas ini para pemimpin kaum Muslimin boleh dicucuk hidung untuk ditarik bagi mencari dan menghapuskan mereka hingga ke akar umbi. Inilah kehendak Barat dan mereka berjaya melakukannya dengan bantuan yang telah diberikan sepenuhnya oleh para pemimpin kaum Muslimin. Inilah taktik jahat rejim Amerika - dengan mengorbankan beberapa nyawa, kemudian mencop umat Islam sebagai pengganas, seterusnya pemimpin-pemimpin umat Islam diperangkap dan ditundukkan dengan propaganda ‘Perang Melawan Keganasan’, yang sebenarnya adalah ‘Perang Melawan Umat Islam’. Maka kita menyaksikan bahawa pemimpin umat Islam yang Allah amanahkan untuk menjaga umat ini, sebaliknya memerangi rakyat mereka sendiri, hasil kelicikan Barat dan menebalnya pemikiran kufur yang ada pada mereka. Mereka bekerjasama dengan Barat untuk menghancurkan umat Muhammad atas alasan memerangi pengganas. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat perbaikan.’” [TMQ Al-Baqarah (2):11].
Konspirasi kejadian 9/11 lama kelamaan menjadi semakin jelas dan terang. Wujudnya sebuah konspirasi tidak dibuktikan oleh umat Islam tetapi oleh rakyat Amerika sendiri. Kumpulan “Re-open 9/11” telah mengumpulkan pelbagai bukti termasuk melalui tayangan semula video yang disaksikan oleh seluruh dunia membuktikan bahawa tragedi 9/11 tidak ada kena mengena dengan umat Islam atau mana-mana ‘kumpulan pengganas’. Pihak Re-open 9/11 mendedahkan pelbagai persoalan yang tidak boleh dijawab oleh rejim Amerika, sekaligus membuktikan terdapat perancangan yang cukup teliti oleh pentadbiran Bush bagi mencipta sebuah ‘kisah benar’ yang penuh dengan kekejaman.
Kejadian-kejadian yang didedahkan cukup membatalkan segala dakwaan dan tuduhan jahat AS ke atas Al-Qaeda khasnya dan umat Islam amnya. Oleh itu perkaitan Islam dengan peristiwa 11 September ini adalah satu jenaka yang paling tidak rasional, satu lakonan yang paling tidak berjaya. Dengan bukti yang sebegini jelas, mengapakah para pemimpin kaum Muslimin masih menyembah Amerika, masih terpengaruh dengan propaganda jahat Amerika? Mengapakah para pemimpin kaum Muslimin masih menganggap setiap gerakan Islam adalah ganas, masih memburu gerakan Islam yang berjuang semata-mata untuk meninggikan kalimah Allah? Mengapakah para pemimpin kaum Muslimin masih mempertahankan sistem kufur ciptaan Barat yang ada sekarang dan memerangi gerakan Islam yang ikhlas berjuang untuk menukar sistem kufur ini dengan sistem Islam?
KEWAJIBAN BERPOLITIK
Wahai kaum Muslimin! Kita semua sedar dan meyakini bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bukan sahaja seorang ahli ibadah, seorang ketua rumahtangga, seorang ahli ekonomi, seorang hakim dan sebagainya, malah baginda juga adalah seorang ahli politik yang agung. Kita diperintahkan oleh Allah untuk menjadikan Rasulullah sebagai suri teladan. Apakah maksudnya? Tidak lain dan tidak bukan, kita wajib mengikuti Rasulullah dari segala aspek, termasuklah politik. Sehubungan dengan ini, kita wajib memahami politik sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah, bukannya politik sebagaimana yang diajar oleh Barat. Politik Rasulullah adalah politik Islam yang datangnya dari Allah, penuh dengan segala kesucian dan kesempurnaan. Adapun politik yang ada sekarang adalah penuh dengan najis dan kekotoran kerana berasal dari kafir Barat. Sebagai contoh yang mudah, di dalam memelihara rakyatnya, seorang pemimpin diharamkan menipu mereka. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda “Seseorang yang memimpin kaum Muslimin dan dia mati, sedangkan dia menipu mereka (umat), dia tidak akan mencium bau syurga”. [HR Bukhari dan Muslim]. Inilah gambaran politik Islam. Tetapi di dalam politik kotor ciptaan Barat yang diamalkan sekarang penipuan sudah menjadi suatu ‘kewajiban’ bagi ahli-ahli politik.
‘Siyasah’ (Politik) bermaksud “memerhati dan mengatur urusan umat baik di dalam negeri mahupun luar negeri”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Dahulu Bani Israel diuruskan (‘tasusu’) oleh Nabi-nabi, setiap kali Nabi wafat maka akan diganti dengan Nabi yang lain. Ingatlah sesungguhnya sesudahku tidak akan ada Nabi, tetapi akan ada para khalifah (yang akan menjaga urusan kaum Muslimin) dan jumlahnya banyak...” [HR Muslim dari Abu Hurairah ra]. Perkataan ‘tasusu’ adalah berasal dari akar kata sasa-yasusu-siasatan yang bermaksud ‘memerhati dan menguruskan’. Definisi ‘politik’ yang tepat adalah sebagaimana yang ditunjukkan oleh hadis ini dan beberapa hadis lain yang senada dengannya. Di dalam hadis ini juga, Rasulullah telah mengkhabarkan kepada kita bahawa kerja baginda adalah ‘mengurus’ umat Islam sebagaimana Nabi-nabi yang terdahulu menguruskan umat masing-masing. Dan setelah baginda, urusan (politik) umat ini akan dijaga oleh Khalifah. Ini sekaligus menunjukkan kepada kita bahawa Sistem Pemerintahan Islam itu adalah Sistem Khilafah, yang akan menjaga umat ini, samada di dalam negeri atau di luar negeri. Tugas Khalifah Islam adalah sebagaimana Rasulullah, iaitu menjaga umat Islam, bukan menjahanamkannya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian dari pemimpin umat Islam sekarang.
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Barangsiapa (bangun) di pagi hari sementara perhatiannya adalah selain daripada Allah, maka Allah akan berlepas diri daripada orang itu. Dan barangsiapa (bangun) di pagi hari dan tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk daripada golongan mereka (kaum Muslimin)”. [HR Hakim dan Al-Khatib dari Huzaifah ra]. Hadis ini menunjukkan bahawa mengambil berat tentang urusan (politik) umat Islam adalah satu kefardhuan. Yang dimaksudkan ‘yahtamma’ (‘memerhatikan’) adalah memelihara dan mengambil tahu kesemua perkara yang berlaku ke atas kaum Muslimin di mana sekalipun mereka berada dan dari aspek mana sekalipun, samada pemerintahan, ekonomi, undang-undang, pendidikan, sosial dan sebagainya. Kita wajib memperhatikan apa yang telah dilakukan oleh orang kafir ke atas kaum Muslimin, wajib memperhatikan segala kezaliman dan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh pemerintah kaum Muslimin ke atas saudara kita, wajib mengatur segala urusan dengan hukum Islam dan menegur mereka yang berhukumkan hukum kafir, wajib merubah negara kufur menjadi negara Islam dan sebagainya. Itulah yang dimaksudkan dengan politik.
Sehubungan dengan ini juga, wajib di kalangan umat Islam untuk ada sekurang-kurangnya sebuah parti politik yang kerjanya adalah berdakwah (menyeru) kepada ma’ruf dan mencegah segala kemungkaran. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang menang” [TMQ Ali Imran (3):104].
Di dalam keadaan tidak ada Negara Islam, maka wajib pula ke atas parti tersebut berjuang untuk menegakkan Islam dengan mengikuti jalan (thariqah) yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam semasa di Makkah sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Itulah thariqah yang benar lagi suci yang ditunjukkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Rasulullah tidak pernah ikut serta atau bertolak ansur dengan pemerintahan kufur atau bergabung dengan mana-mana kaum kuffar di dalam menegakkan Daulah. Rasulullah tidak pernah mengambil langkah-langkah fizikal atau kekerasan di dalam mendirikan sebuah Negara. Jalan yang baginda ambil hanyalah semata-mata berdasarkan perintah Allah dan tidak pernah menggunakan logik aqalnya sendiri, walaupun kemenangan berada di depan mata. Sirah menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah pernah ditawarkan untuk menjadi raja atau pemimpin Makkah oleh kafir Quraish dengan syarat baginda meninggalkan ajaran Islam, tetapi tawaran tersebut ditolak mentah-mentah oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, walaupun pada logiknya adalah baik untuk berbuat demikian. Yang dicari adalah keredhaan, bukan kemenangan. Kemenangan akan menyusul dengan pertolongan Allah.
KHATIMAH
Wahai kaum Muslimin! Islam datang dengan satu ‘pakej’ yang sempurna, dari ibadah sehinggalah pemerintahan, dari urusan peribadi hinggalah urusan negara, dari urusan dunia hinggalah urusan akhirat. Meninggalkan mana-mana pakej adalah berdosa, mengingkarinya adalah kufur. Oleh itu, umat Islam wajib mengambil sekaligus pakej yang telah Allah sediakan,
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan jangan kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ Al-Baqarah (2):208].
“.....Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan kufur terhadap sebahagian lainnya? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” [TMQ Al-Baqarah (2):85].
Di dalam pakej pemerintahan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mewajibkan kepada kita untuk mengambil Sistem Pemerintahan Islam yakni Sistem Khilafah, dan bukannya Sistem Demokrasi ciptaan manusia. Di dalam perjuangan untuk menegakkannya, Allah telah mewajibkan untuk ada sekurang-kurangnya satu parti politik yang berjuang untuk mewujudkan Daulah Khilafah yang akan menyatukan umat Islam di seluruh dunia dan perjuangannya mestilah bersifat internasional dan bukannya lokal. Di dalam menyahut seruan Allah di dalam Surah 3:104, maka berdirilah Hizbut Tahrir, sebuah parti politik yang berideologikan Islam dan hanya mengambil hukum Islam semata-mata di dalam melakukan setiap aktivitinya. Hizbut Tahrir melakukan segala aktiviti politik (sebagaimana definisi di atas) demi untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan semula Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah. Dengan itu, hukum Allah akan kembali tertegak di muka bumi, umat Islam akan kembali bersatu, kaum kuffar akan dikalahkan dan segala maksiat serta kekufuran akan dihapuskan. Kaum Muslimin akan kembali kepada kemuliaan, Deen Allah akan zahir di atas segala agama yang lain dan rahmat Allah akan tersebar ke seluruh alam. Daulah Khilafah adalah satu-satunya penyelamat kita wahai kaum Muslimin. Oleh itu, marilah bersama-sama dengan Hizbut Tahrir untuk merealisasikannya. Hanya kepada Allah kami bermohon dan hanya kepadaNya kami berharap.
Amin ya Rabbal ‘alamin
SN Keluaran - 08 Sept 2006
0 comments:
Post a Comment